Jaecoo J8 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM179 ribu
Omoda | Jaecoo Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan SUV premium Jaecoo J8 2025 membawakan slogan “Pengembaraan Lasak Kelas Pertama”.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Konfigurasi tempat duduk
Untuk pasaran Malaysia, Jaecoo J8 boleh didapati dalam versi pacuan roda depan (2WD) dengan tetapan dua baris atau lima tempat duduk.
Versi paling premium pula merupakan varian pacuan semua roda (AWD) dengan tetapan tiga baris tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2.
2. Dimensi
Jaecoo J8 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,820 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,699 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm.
Ruang kargo adalah sebesar 738 liter, atau 200 liter untuk versi AWD.
3. Kuasa
SUV ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo, menghasilkan 249 PS dan 385 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.8 saat manakala varian AWD pula mengambil masa 9.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.
Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 7.8 liter/100 km untuk versi 2WD, dan 8.1 liter/100 km untuk varian AWD.
Tiga mod pemanduan tersedia iaitu Eco, Normal dan Sport, sementara varian AWD pula mendapat tiga mod tambahan iaitu Mud, Sand dan Off-road.
4. Suspensi
SUV ini dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan tetapan multi-link di belakang.
Aspek pemanduan dibantu dengan ciri Continuous Damping Control (CDC) yang dikhususkan untuk varian AWD, selain keupayaan untuk mengharung air sedalam 450 mm.
Selain itu, varian AWD juga hadir dengan ciri vektor tork pintar untuk memastikan cengkaman yang stabil untuk apa jua permukaan.
5. Kelengkapan
Ciri luaran termasuklah sistem pencahayaan LED penuh, rim aloi 20 inci, pemegang pintu tertanam, struktur jeriji gaya air terjun, serta rekaan bumbung terapung.
Untuk ruang kabin pula, ia didatangkan dengan dua skrin lebar bersaiz 12.3 inci, skrin paparan head-up (HUD), sokongan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu ambien 256 warna, pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W, serta sistem audio premium 12 pembesar suara (atau 14 pembesar suara untuk versi AWD) serta sistem kamera 540 darjah.
Versi AWD pula mendapat ciri eksklusif seperti kerusi Ratu untuk penumpang hadapan, sistem audio Sony dengan 14 pembesar suara, 10 beg udara, sistem pewangi automatik, 10 beg udara, sistem kunci berasaskan NFC, serta ciri pemanas, pengudaraan, urutan dan memori (HVMM) untuk pemandu, penumpang hadapan dan penumpang baris kedua.
6. Keselamatan
Varian 2WD dilengkapi dengan enam beg udara serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), manakala varian AWD pula mendapat sehingga 10 beg udara.
Kelengkapan ADAS 2.5 turut dimuatkan pada Jaecoo J8, merangkumi fungsi seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Pemantauan Pemandu (DMS), Bantuan Penukaran Lorong (LCA), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Pemantauan Jarak Hadapan (FDM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), serta ciri Bantuan Parkir Automatik untuk varian AWD.
7. Harga
Jaecoo J8 merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Shah Alam dengan harga jualan bermula dari RM178,800 untuk versi 2WD, dan mencecah sehingga RM198,800 untuk versi AWD.
Untuk tempahan sebelum 21 Julai, setiap pelanggan akan menerima pakej menarik berupa jaminan enjin selama 10 tahun tanpa had perbatuan, perlindungan insurans percuma satu tahun percuma dan pakej eksklusif pengalaman off-road selama satu tahun.
Jaecoo J8 2WD
Jaecoo J8 AWD
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.










































