Mazda RX-7 Han dari Tokyo Drift dijual pada harga RM5.6 juta dalam lelongan Bonhams

1992-mazda-rx-7-fd-veilside-fortune-coupe-from-tokyo-drift

Sebuah kereta yang cukup ikonik dari francais Fast and Furious telah dijual pada harga yang mengejutkan iaitu $1.2 juta (kira-kira RM5.6 juta) dalam satu acara lelongan Bonhams sempena Goodwood Festival of Speed.

Kereta yang dimaksudkan adalah Mazda RX-7 tahun 1992 yang dipandu oleh watak Han, lakonan Sung Kang, dalam filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift.

RX-7 ini dipercayai satu daripada hanya dua unit yang masih wujud selepas penggambaran filem tersebut. Walaupun tidak digunakan untuk babak aksi kelajuan tinggi, ia banyak muncul dalam babak statik dan jarak dekat.

Lebih menarik lagi, kereta ini masih mempunyai tanda-tanda asal dari set penggambaran seperti label “#71 HANS” dan bekas tapak kamera.

Namun apa yang benar-benar membezakan RX-7 ini, selain statusnya sebagai kereta filem, ialah kit badan lebar dari VeilSide, iaitu tuner terkenal dari Jepun.

Kit ‘Fortune’ ini menjadikan casis asal FD lebih lebar sebanyak 8 inci. Sebahagian besar panel badan telah diganti, dengan hanya bumbung dan pintu tailgate dikekalkan daripada kereta asal.

Bukan itu sahaja, gabungan warna oren berkilau dan hitam, spoiler besar, serta rim 19 inci Andrew Premier Series menjadikan kereta ini mudah dikenali oleh peminat.

Enjin rotari dua rotor turbo asal telah dibaik pulih sepenuhnya oleh RE-Amemiya, satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia rotary.

Walaupun mencatatkan 66,785 batu di odometer, kereta ini hanya dipandu sejauh 5,000 batu sejak dibaik pulih. Ia juga telah disimpan dengan rapi sejak dibawa masuk ke UK pada tahun 2008.

Harga jualan di Bonhams menjadikannya antara Mazda paling mahal pernah dijual, melepasi harga $550,000 (RM2.6 juta) yang dibida untuk Toyota Supra milik mendiang Paul Walker pada tahun 2021.

Namun begitu, ia masih belum dapat menandingi harga $1.35 juta (RM6.3 juta) untuk Nissan Skyline GT-R milik Walker yang dijual dua tahun kemudian.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved