Honda HR-V 2025 facelift rasmi dilancarkan – dari RM116 ribu
Honda Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV segmen B terlaris mereka yang telah dikemas kini, iaitu Honda HR-V 2025.
Versi facelift ini membawakan pembaharuan dari segi kosmetik bagi menjadikannya lebih menyerlah berbanding model pesaing seperti Proton X50 dan Chery Tiggo Cross.
Berikut merupakan perincian ringkas yang perlu anda tahu:
1. Rupa luaran
Apa yang berubah pada HR-V facelift ini ialah jeriji yang lebih besar dan lebar, lampu hadapan kini dengan fungsi bantuan membelok aktif, serta rim aloi 18 inci.
Untuk bahagian belakang, unit lampu utama kini dengan grafik yang lebih kemas, diikuti dengan bar LED melintang penuh.
2. Perubahan pada ruang kabin
Susun atur papan pemuka tidak banyak yang berubah, melainkan kehadiran ruang simpanan baru pada bahagian bawah tombol kawalan pendingin hawa.
Perubahan ini menjadikan papan pemuka HR-V facelift ini tampak lebih seimbang.
Selain itu, skrin paparan tengah lapan inci kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta slot pengecasan tanpa wayar Qi.
3. Pilihan enjin
Sama seperti penawaran terdahulu, Honda HR-V facelift masih lagi ditawarkan dengan tiga pilihan enjin.
Versi asas S didatangkan dengan enjin aspirasi semula jadi 1.5 liter berkuasa 121 PS dan 145 Nm, sementara varian E dan V pula dikuasakan oleh enjin turbo VTEC 1.5 liter berkuasa 181 PS dan 240 Nm.
Varian hibrid pula mendapat enjin 1.5 liter kitaran Atkinson (107 PS/131 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik 131 PS/253 Nm, dipadankan dengan transmisi e-CVT.
4. Keselamatan
Secara standard, semua varian Honda HR-V kini mendapat kelengkapan keselamatan Honda Sensing, merangkumi fungsi berikut:
Amaran Penukaran Lorong (LDW)
Pengelakan Keluar Lorong (RDM)
Sistem Pengekalan Lorong (LKA)
Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
Sistem Brek Pengelakan Pelanggaran (CMBS)
Bantuan Suluhan Tinggi
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF)
Sistem Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan
Ciri lain termasuklah Honda LaneWatch, kamera undur dengan pelbagai tetapan sudut, peringatan tali pinggang keledar dan cagak ISOFIX.
5. Pakej aksesori
Terdapat pakej aksesori Modulo yang ditawarkan untuk Honda HR-V, merangkumi spoiler depan, kemasan sisi, spoiler bawah belakang, serta emblem hitam.
Pembeli juga boleh mendapatkan Urban RS Package, Smart Urban Package, Utility Package dan juga Protection Package.
6. Harga
Harga jualan Honda HR-V adalah seperti berikut:
HR-V S – RM115,900
HR-V E – RM130,900
HR-V V – RM137,900
HR-V e:HEV RS – RM143,900
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.




























