Lamborghini Temerario 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM1.35 juta

Lamborghini Temerario 2025

Lamborgini Kuala Lumpur mengumumkan ketibaan model supercar plug-in hibrid (PHEV) yang merupakan pengganti kepada model Huracan, iaitu Lamborghini Temerario 2025 untuk pasaran tempatan.

Setiap satu Temerario memiliki tanda harga bermula dari RM1.35 juta tidak termasuk duti, cukai dan kos penyesuaian.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang anda perlu tahu tentang HPEV (High-Performance Electrified Vehicle) Lamborghini ini:

 

1. Kuasa

Tiada lagi nadi V10, ini kerana Lamborghini telah memadankan unit rangkaian kuasa yang dibangunkan serba baharu.

Temerario 2025 dilengkapi dengan enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar (789 hp/730 Nm) yang dipadankan dengan tiga motor elektrik jenis axial-flux.

Kuasa keseluruhan 920 hp, membolehkannya memecut sepantas 2.7 saat dari pegun ke 100 km/j sebelum mencapai kelajuan maksimum 343 km/j.

 

2. Ada mod sifar emisi

Menariknya, Lamborghini boleh dipandu dalam mod sifar emisi menggunakan dua motor elektrik pada gandar hadapan, masing-masing berkuasa 82 hp.

Ia dilengkapi pek bateri 3.8 kWh yang boleh dicas dalam tempoh 30 minit menggunakan port AC 7 kW, atau sepantas enam minit menggunakan kuasa daripada enjin V8 itu tadi.

Di mana letaknya satu lagi motor elektrik? Ia diposisikan antara enjin dan kotak gear klac berkembar 8-kelajuan, mampu menjana kuasa sehingga 150 hp dan 300 Nm.

 

3. Casis

Berbanding casis Huracan yang menggunakan campuran aluminium dan gentian karbon, Lamborghin menggunakan bahan aluminium sepenuhnya untuk casis Temerario.

Selain memastikan berat badan berada pada tahap yang diinginkan, casis Temerario juga dikatakan 20 peratus lebih tinggi tahap kekakuan kilasan.

 

4. Elemen heksagon menguasai

Bahagian luaran Temerario membawakan gandingan elemen rekaan yang wujud antara model Revuelto dan Huracan.

Unit lampu utama Temerario lebih nipis berbanding Huracan, dan jika anda perasan elemen grafik heksagon menguasai bahagian luar jentera PHEV ini.

Lihat saja pada lampu pada bampar depan, lampu belakang, corong ekzos, dan tidak ketinggalan kedua-dua penutup tangki bahan api dan port pengecasan.

 

5. Ruang kabin

Tema heksagon turut diterapkan pada ruang kabin, dengan rekaan yang diinspirasikan daripada ruang kokpit jet pejuang.

Terdapat skrin kluster digital sebesar 12.3 inci, skrin tengah menegak sebesar 8.4 inci, dan untuk penumpang terdapat skrin 9.1 inci.

Aspek keselesaan turut menjadi keutamaan, di mana Temerario kini menawarkan ruang kepala dan kaki yang lebih besar berbanding Huracan.

Sehinggakan Lamborghini mendakwa, pemain bola keranjang NBA setinggi 198 cm boleh muat duduk di dalam kabin Temerario sambil memakai helmet!

 

Lamborghini Temerario 2025

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved