Mazda CX-5 2026 – generasi ketiga tampil rekaan lebih mewah, kabin minimalis
Setelah sembilan tahun generasi kedua Mazda CX-5 menguasai jalanan, Mazda kini sedia untuk memperkenalkan generasi ketiga SUV saiz kompak tersebut ke dunia.
Tidak banyak perincian didedahkan, namun yang pasti generasi baharu CX-5 ini menawarkan pakej dimensi yang lebih besar, rekaan Kodo yang diperbaharui serta susun atur ruang kabin serba baharu.
Berikut beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang Mazda CX-5 2026:
Dimensi
CX-5 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,690 mm (+140 mm), lebar 1,860 mm (+20 mm), serta tinggi 1,695 mm (+10 mm).
Jarak antara roda pula sekitar 2,775 mm (+75 mm).
Perubahan ukuran ini dilihat memberikan kesan kepada ruang kabin yang nampak lebih lapang dan luas, serta ruang kargo yang lebih besar (+61 liter).
Rekaan luar
Tidak dinafikan, rekaan Kodo yang dibawakan pada CX-5 terdahulu (2016-2025) merupakan antara hasil kerja Mazda yang paling cantik.
Untuk generasi ketiga, pendekatan tersebut telah diolah semula untuk penampilan yang lebih bergaya, terutama jeriji Signature Wing, lampu yang lebih bersegi dan bampar yang lebih sporti.
Bahagian belakang pula kini lebih mirip kepada abangnya CX-70/CX-80, namun logo Mazda telah dibuang dan kini digantikan dengan perkataan MAZDA sahaja.
Kabin minimalis
Mazda sentiasa terkenal dengan pendekatan rekaan kabin yang minimalis untuk model-model terbaharunya, dan CX-5 2026 tidak terkecuali.
Susun atur papan pemuka kini lebih ringkas, di mana bahagian tengah kini menempatkan skrin sebesar 15.6 inci yang lengkap dengan sistem Google terbina.
Sayang sekali, Mazda terlalu serius dalam usaha untuk meminimumkan kehadiran butang fungsi, sehinggakan segala kawalan kini disumbatkan ke dalam skrin besar itu tadi.
Selain itu, terdapat juga skrin kluster digital 10.25 inci di sebalik roda stereng yang kini tidak lagi mempunyai logo M.
Untuk varian yang lebih rendah, Mazda menawarkan skrin tengah sebesar 12.9 inci.
Pilihan enjin
Mazda CX-5 2026 akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin.
Nadi Skyactiv-G 2.5 liter (187 hp/251 Nm) sedia ada akan terus dikekalkan, sementara di Eropah pula terdapat versi hibrid ringan e-Skyactiv G 2.5 liter (140 hp/238 Nm).
Mazda turut mengesahkan varian hibrid akan dibekalkan dengan enjin Skyactiv-Z serba baharu yang menjanjikan prestasi dan kecekapan yang jauh lebih tinggi.
Generasi baharu CX-5 ini akan mula menerjah pasaran Eropah menjelang akhir tahun ini, diikuti pasaran lain menjelang akhir tahun 2026.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



























