MG Cyberster RWD kini di Malaysia, harga jualan bermula dari RM299,900

MG Cyberster

MG Motor Malaysia mengumumkan penawaran varian baharu pacuan roda belakang bagi roadster berkuasa elektrik MG Cyberster.

Dengan kemunculan varian RWD, MG Cyberster kini boleh didapati pada harga bermula dari RM299,900, sementara Cyberster 4WD pula berharga RM319,900.

Dari segi spesifikasi, Cyberster RWD dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan kuasa 340 PS dan daya kilas 475 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas lima saat, sementara pek bateri berkapasiti 77 kWh pula membenarkan jarak gerak sehingga 508 km.

Cyberster RWD turut menyokong pengecasan pantas DC di mana pek bateri boleh dicas dalam tempoh 38 minit dari 10-80 peratus.

Antara ciri lain termasuklah rim aloi 19 inci serta sistem brek Brembo yang memberikan kawalan yang sepadan dengan prestasinya.

Namun dari segi penampilan, kedua-dua varian Cyberster RWD dan 4WD membawakan elemen rekaan yang sama termasuklah pintu bukaan elektrik, unit lampu LED dan siluet rendah yang menampilkan rekaan ekor gaya Kammback.

Ruang kabin Cyberster diinspirasikan daripada sukan perlumbaan dengan kemasan kulit dan Alcantara, tempat duduk dengan sokongan tulang belakang, skrin paparan digital 10.25 inci, skrin sentuh sebesar tujuh inci, serta dua skrin tambahan tujuh inci.

Terdapat empat warna menarik yang ditawarkan, iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow, dan English White.

MG Malaysia turut menawarkan bumbung lembut berwarna merah sebagai opsyen RM2,000 kepada bumbung standard berwarna hitam.

Rakyat Malaysia boleh melihat dengan lebih dekat MG Cyberster RWD serba baharu di siri jelajah “Dare to Love” yang akan berlangsung di 1 Utama (Old Wing) bermula 9 hingga 13 Julai ini.

Pelanggan yang membuat tempahan MG Cyberster sepanjang tempoh ini akan menerima pakej pengecasan tanpa had JomCharge selama satu tahun, pengecas dinding AC 7kW percuma, serta model diecast MG Cyberster edisi terhad.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved