Sepanjang bulan Jun 2025, Proton mencatatkan angka jualan berjumlah 11,069 unit, dengan jumlah jualan keseluruhan setakat ini (YTD) mencecah 72,156 unit.
Ini menjadikan Proton sebagai jenama nombor dua di dalam industri, biarpun jumlah volum industri (TIV) merosot 21 peratus kepada 53,500 unit berbanding 68,007 unit pada bulan Mei.
Pegangan pasaran Proton bagi bulan Jun dianggarkan 20.7 peratus, atau peningkatan sebanyak 1.1 peratus berbanding bulan terdahulu, dan 1.2 peratus lebih tinggi berbanding angka YTD 19.5 peratus.
Menurut Proton, jualan automotif menurun pada Jun disebabkan oleh faktor luaran seperti peningkatan ketegangan di Timur Tengah, dan perluasan skop SST yang menjejaskan sentimen pembeli.
Setakat ini, Proton Saga masih lagi mendahului carta sebagai kereta Proton yang paling laris terjual, dengan jumlah 5,206 unit, diikuti Proton X50 (1,657 unit), Proton S70 (1,402 unit), Proton Persona (1,171 unit), Proton X70 (533 unit), Proton Iriz (288 unit) dan Proton X90 (174 unit).
Dalam pada itu, satu-satunya model EV Proton e.MAS 7 menamatkan separuh pertama 2025 dengan 4,253 unit terjual di pasaran domestik dan eksport, dengan penguasaan pasaran 24 peratus.
Jumlah eksport kenderaan Proton melonjak 56.8 peratus kepada 414 unit sepanjang Jun 2025 berbanding Jun 2024, menjadikan jumlah eksport untuk separuh pertama tahun ini meningkat 39.9 peratus kepada 2,250 unit.
Proton menjangkakan angka tersebut akan terus meningkat apabila model Proton e.MAS7 diperkenalkan di lebih banyak negara kelak.
Berbalik semula kepada pasaran tempatan, Proton dijangka akan melancarkan model X50 facelift pada bulan Julai ini, membawakan perubahan dari segi rupa paras, enjin, serta penambahbaikan pada sistem ADAS 2.0.
