Hyundai Motor Malaysia rasmi, bakal perkenal tiga model baharu segmen SUV dan MPV
Hyundai Motor Company (HMC) secara rasmi menubuhkan entiti baharu Hyundai Motor Malaysia (HMY).
Langkah ini menandakan evolusi jenama Hyundai daripada model berasaskan pengedaran yang dikendalikan oleh Sime Motors kepada pendekatan operasi berasaskan prinsipal tanpa melibatkan orang tengah.
Menerusi langkah ini, Hyundai akan mengambil alih peranan dan tanggungjawab penuh untuk jenama, pemasaran, jualan dan pengalaman pelanggan secara terus.
Sebuah pasukan tempatan yang khusus akan dibentuk dan diberi kuasa untuk membuat keputusan yang lebih pantas dan relevan dengan pasaran yang akan beroperasi di ibu pejabat baharu di Menara Affin @ TRX.
Serentak dengan itu, HMY akan memperkenalkan tiga model baharu di dalam segmen SUV dan MPV untuk pasaran tempatan.
Hyundai juga akan menubuhkan operasi pemasangan tempatan di Kedah bermula suku ketiga tahun ini (Q3 2025) menerusi kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd.
Fasiliti tersebut dijangka akan mengeluarkan sehingga tujuh model kenderaan dalam tempoh masa lima tahun, dan mengintegrasikan Malaysia ke dalam rangkaian pengeluaran global jenama tersebut.
Untuk jangka masa terdekat, operasi pengeluaran Hyundai akan tertumpu kepada model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV) untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia, dengan 30 peratus akan dieksport ke negara jiran.
Menurut Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, “Malaysia merupakan pasaran yang sangat berpotensi dengan permintaan tertinggi untuk kenderaan penumpang di ASEAN sebanyak 35 peratus.
“Pertumbuhan KDNK stabil pada kadar 4.3 peratus mencerminkan keyakinan pengguna yang tinggi serta peningkatan kuasa pembeli. Keadaan inilah yang akan memacu inovasi dan pelaburan jangka panjang.
“Melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan, Malaysia menjadi lokasi ideal untuk memperluaskankehadiran Hyundai dan menubuhkan hab utama dalam strategi pengembangan Hyundai di rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Sime Motors akan terus menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar Hyundai.

Selain daripada itu, Hyundai merancang untuk menambah baik rangkaian perkhidmatannya dengan membuka sehingga 25 cawangan baharu menjelang 2030, dan menaik taraf sistem selepas jualan.
Pelanggan sedia ada boleh mengemas kini butiran mereka menerusi pautan INI untuk memastikan HMY dapat memberikan khidmat sokongan secara berterusan di bawah pengurusan baharu.
Hyundai menjadi satu nama yang tidak asing di pasaran Malaysia sejak awal 2000-an.
Pelbagai model telah diperkenalkan merangkumi pelbagai jenis rangkaian kuasa (ICE, HEV, BEV) dan pelbagai segmen (sedan, SUV, MPV) seperti Elantra, Ioniq 5, Ioniq 6, Ioniq Hybrid, Palisade, Santa Fe, Sonata, Starex, Staria serta Veloster.
Secara keseluruhan, Hyundai mencatatkan jumlah jualan melebihi 147,862 unit yang membuktikan penerimaan pasaran yang semakin meningkat.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

