Bentley Bentayga Speed 2025 – tempahan dibuka, harga jualan dari RM2.8 juta
Inilah dia SUV Bentayga yang paling berkuasa pernah dihasilkan, iaitu Bentayga Speed 2025.
Untuk mereka yang berminat, tempahan bagi model ini sudah pun dibuka menerusi Bentley Kuala Lumpur.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang Bentley Bentayga Speed 2025:
1. Kuasa
SUV ini dijana oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar, menghasilkan kuasa 641 hp dan daya kilas 850 Nm.
Ia mampu memecut sepantas 3.6 saat dari pegun ke 100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 310 km/j.
2. Mod pemanduan
Terdapat empat mod pemanduan termasuklah Comfort, Bentley, dan Sport yang dipertingkatkan.
Dalam mod Sport itu tadi turut disertakan dengan tetapan ESC Dynamic Mode untuk fungsi tambahan seperti Launch Control dan mod drift.
3. Kelengkapan standard
Penampilan luar diserikan dengan rim sebesar 22 inci, atau rim 23 inci yang mana anda boleh dapatkan sistem brek seramik karbon berserta angkup 10 omboh untuk roda depan (opsyen untuk rim 22 inci).
Selain sistem ekzos sport standard yang mampu menyalurkan bunyi V8 dengan lebih berkesan, pembeli juga boleh mendapatkan sistem ekzos titanium Akrapovic.
Bentley Bentayga Speed juga kini tersedia dengan penambahan sistem anti-oleng elektronik Bentley Dynamic Ride, dan sistem stereng semua roda untuk memudahkan pengendalian di laluan yang sempit, selain menyumbang kepada kestabilan pada kelajuan tinggi.
4. Ciri luaran
Membezakan Bentley Bentayga Speed dengan varian lain adalah kemasan tema gelap bagi menggantikan komponen krom, termasuklah perumah lampu depan dan belakang.
Selain itu, aspek estika luaran diserikan dengan pakej Styling Specification, bumbung berwarna hitam serta pancaran lampu beranimasi oleh Mulliner apabila pintu dibuka.
5. Kabin tema kelajuan
Ruang kabin Bentayga Speed mendapat kemasan corak Precision Diamond Quilt, emblem Speed pada tempat duduk, serta pakej Dark Chrome Interior Specification bagi menggantikan warna krom standard.
Skrin paparan kluster instrumen juga turut diberikan grafik khas yang menggambarkan karakter sebenar SUV ini.
Antara ciri lain tersedia termasuklah sokongan Apple CarPlay/Android Auto, slot pengecasan USB, penapis udara kabin PM2.5, paparan keliling 3D, serta fungsi Manoeuvre Assist.
Untuk sistem bunyi pula, Bentayga Speed dibekalkan dengan unit Bentley Signature Audio dengan pilihan naik taraf kepada sistem Bang & Olufsen for Bentley atau Naim for Bentley.
6. Harga
Harga jualan anggaran untuk Bentayga Speed 2025 bermula sekitar RM2.8 juta, tidak termasuk kos tambahan untuk pakej pemperibadian.
Pembeli boleh mendapatkan opsyen sehingga lebih 80 palet warna, kemasan Blackline Specification untuk bahagian luar, kemasan papan pemuka yang berbeza, Front Seat Comfort Specification (fungsi urut, ventilasi serta larasan tambahan), pakej Bentley Rear Entertainment (dua skrin 10.1 inci untuk penumpang belakang), serta Touring Specification (paparan head-up, sistem pandangan malam, dan tambahan ciri keselamatan).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






















