Inilah dia kereta VW paling pantas di Nurburgring – Golf GTI Edition 50

Volkswagen Golf GTI EDITION 50

Tahun depan (2026) menandakan ulang tahun yang ke-50 sejak model Golf GTI pertama kali menjengah dunia, dan Volkswagen mempunyai cara tersendiri untuk meraikan pencapaian tersebut.

Bertempat di Litar Nurburgring, Volkswagen berjaya memecahkan rekod pusingan terpantas dengan catatan masa 7 minit 46.13 saat menggunakan hot hatch Golf GTI Edition 50.

Ini menjadikan jentera tersebut sebagai kereta jenama Volkswagen yang terpantas di Litar Neraka Hijau mengalahkan model Golf R 20 Years (7:47:31) dan Golf Clubsport S (7:49:21).

Sebagai info, catatan masa Golf GTI Edition 50 dibuat dalam konfigurasi litar penuh sepanjang 20.8 km berbanding catatan masa format lama (20.6 km) yang digunakan pada dua model Golf yang disebutkan tadi.

Sayang sekali, Golf GTI Edition 50 masih belum cukup pantas untuk memecahkan rekod pesaingnya Honda Civic Type R dalam kategori kenderaan pacuan roda depan yang mencatatkan masa 7:44:481 yang dibuat pada tahun 2023.

Volkswagen akan memperkenalkan Golf GTI Edition 50 pada acara perlumbaan endurans 24 jam di Nurburgring pada 20 Jun ini, membawakan opsyen Performance Package yang merangkumi rim aloi 19 inci yang lebih ringan, tayar semi-slick Bridgestone Potenza serta naik taraf casis.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved