Menteri akui sistem Kejara gagal, akan dirombak semula

KL

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengakui Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan sejak April 2017 sebagai sistem yang gagal dan tidak efektif, lapor Bernama.

Menurutnya, sistem sedia ada hanya akan melaksanakan pemotongan mata demerit setelah pesalah trafik selesai membayar saman atau didakwa di mahkamah, dan bukannya bermula ketika mereka menerima notis saman.

Justeru itu, beliau mengumumkan sistem Kejara tersebut akan dirombak secara besar-besaran tidak lama lagi.

“Sebagai Menteri Pengangkutan, saya mengakui sistem Kejara ini gagal sebab kita punya pendekatan salah.

“Sebab itu, saya katakan sistem ini memang perlu dirombak dan (kementerian) sedang melihat (pendekatan baharu) yang akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd minggu lalu.

Sistem Kejara adalah suatu prosedur pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Sebanyak 20 kesalahan yang dikenal pasti boleh menyebabkan kemalangan serius atau kemalangan maut dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain dimasukkan di dalam senarai kesalahan di bawah pelaksanaan sistem mata demerit itu.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved