Kenderaan berat wajib pasang peranti had laju bermula 1 Oktober ini

KENDERAAN MUATAN BERAT
sumber gambar: Bernama

Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan pemasangan peranti had laju (SLD) ke atas kenderaan berat secara berperingkat bermula 1 Oktober ini, lapor Bernama.

Dengan adanya peranti ini, semua jenis kenderaan berat akan dihadkan kelajuannya kepada 90 km/j.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, untuk permulaan ia akan dilaksanakan kepada semua bas ekspres dan persiaran, serta kenderaan berat maksimum 3,500 kg yang didaftarkan bermula 1 Januari 2015.

Jelasnya lagi, pengaktifan SLD akan diwajibkan ke atas kenderaan barangan berat maksimum 3,500 kg dan kenderaan membawa penumpang lebih lapan orang sebelum 1 Januari 2026.

Penguatkuasaan itu turut terpakai untuk kenderaan binaan semula dan kenderaan barangan import terpakai berat maksimum 3,500 kg.

Sementara kenderaan melebihi berat 3,500 kg dan kenderaan yang membawa lebih lapan penumpang yang tidak dilengkapi SLD akan diwajibkan pemasangan SLD secara retrofit yang mendapat pengesahan JPJ sebelum 1 Julai 2026.

Setiap pemasangan SLD akan disertakan dengan dokumen pengesahan kefungsian daripada pengilang atau pengeluar kenderaan, bengkel atau fasiliti servis diiktiraf JPJ, selain badan pensijilan bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia.

Menurut Anthony Loke lagi, dokumen pengesahan dan laporan SLD ini wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), serta ketika membuat permohonan atau pembaharuan permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Dokumen ini juga perlu dibawa setiap masa untuk tujuan penguatkuasaan JPJ.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved