Hanya 19 di dunia, Nissan Skyline GT-R Clubman Race Spec untuk dijual di Dubai
Bagi peminat tegar Nissan Skyline, model GT-R R34 sememangnya sudah dianggap legenda. Namun, bagi yang mencari versi paling eksklusif, Clubman Race Spec adalah antara yang paling sukar ditemui.
Difahamkan hanya 19 unit wujud di seluruh dunia, dan kini salah satu daripadanya muncul untuk dijual di sebuah pengedar kereta mewah di Dubai.
Model ini bukan sekadar GT-R biasa-biasa. Ia merupakan projek restomod yang dilakukan oleh divisyen prestasi Nissan iaitu Nismo, dan dibina di kilang Omori yang terkenal.
Jika duit bukan masalah, pemilik boleh menghantar kereta mereka ke sana, dan Nismo akan membina semula keseluruhan kereta, menambah baik prestasi dan memperbaharui reka bentuk. Sudah tentu, mereka juga sedia memenuhi pelbagai permintaan peribadi pelanggan.
Di bawah bonet terletak enjin RB26 dalam spesifikasi R2 yang dibangunkan oleh Nismo. Ia masih mengekalkan konfigurasi 2.8-liter twin-turbo enam silinder sebaris, namun telah ditala semula menggunakan komponen premium seperti salur masuk udara gentian karbon.
Hasilnya, enjin ini menghamburkan 450 hp dan 475 Nm tork, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan serta sistem pacuan semua roda canggih ATTESA E-TS Pro.
Dari segi penampilan, ia mengadaptasi kit badan daripada Z-Tune (satu lagi model R34 yang rare), disempurnakan dengan warna Midnight Purple III, yang dianggap sebagai antara warna paling ikonik dalam sejarah Skyline.
Rim tempa serta angkup brek berwarna emas menambahkan lagi daya tarikan jentera ini.
Kereta ini ditawarkan oleh F1rst Motors di Dubai, sebuah pengedar yang biasanya menjual jentera seperti Lamborghini dan McLaren, bukan kereta JDM klasik.
Bacaan odometer menunjukkan perbatuan 40,747 km, namun tidak jelas sama ada itu jarak keseluruhan atau selepas restorasi penuh oleh Nismo.
Harga tidak didedahkan, tetapi dengan tahap eksklusiviti dan kondisi yang hampir sempurna, nilainya dijangka melebihi $800,000 (RM3.4 juta) dan mungkin mencecah $1 juta (RM4.2 juta) jika ada yang berani.
Bagi pengumpul GT-R sejati, inilah antara permata paling bernilai dalam dunia automotif Jepun.
Peminat segala jenis kenderaan


















