BMW R 1300 RT 2025 tiba di Malaysia – lima varian, harga jualan dari RM167,000

01. The New BMW R 1300 RT

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan ketibaan motosikal sports-tourer untuk pasaran tempatan, iaitu BMW R 1300 RT 2025 dengan harga jualan bermula dari RM167,000.

Jentera tersebut dikuasakan oleh enjin boxer dua silinder bersesaran 1,300 cc menghasilkan kuasa 145 hp @ 7,750 rpm dan daya kilas 149 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dan sistem pacuan aci.

Penunggang boleh memanfaatkan sistem Bantuan Penukaran Gear Automatik (ASA) untuk penukaran gear tanpa klac dalam mod manual dan automatik sepenuhnya.

Sistem suspensi pula terdiri daripada EVO Telelever untuk gandar depan dengan jarak gerak roda 149 mm dan EVO Paralever untuk gandar belakang dengan jarak gerak roda 158 mm, lengkap dengan pelarasan elektronik.

Jentera ini turut dilengkapi dengan fungsi Dynamic Chassis Adaptation (DCA) yang menawarkan dua posisi tunggangan untuk keselesaan dan pengendalian yang dinamik, serta tiga mod tunggangan (Rain, Road, Eco).

Ciri bantuan tunggangan lain termasuklah kawalan cengkaman dinamik (DTC), kawalan tork seretan enjin (MSR), kawalan brek dinamik (DBC), ABS Integral Pro, kawalan jelajah aktif (ACC), amaran pelanggaran hadapan (FCW), serta amaran penukaran lorong (SWW).

Segala info penting dipaparkan menerusi skrin TFT 10.25 inci, lengkap dengan fungsi navigasi dan kandungan media aktif, selain boleh disepadukan menerusi aplikasi Connected BMW Motorrad.

BMW R 1300 RT juga dilengkapi dengan sistem audio pro empat saluran yang menampilkan komponen premium seperti tweeter, pembesar suara frekuensi pertengahan dan woofer.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah unit lampu hadapan LED dengan fungsi lampu adaptif, kotak simpanan sisi berkapasiti 27 liter setiap satu (atau opsyen 33 liter), serta kotak simpanan atas berkapasiti 39 liter (atau opsyen 54 liter).

Setiap kotak boleh dibuka menggunakan sistem kekunci pusat dengan bantuan sistem pencahayaan dalaman.

Kotak simpanan kiri dilengkapi dengan port pengecas USB Type-C, sementara unit kotak 54 liter pula mempunyai penyandar belakang dengan fungsi pemanas untuk keselesaan pembonceng.

Terdapat lima varian warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan seperti berikut:
Alpine White – RM167,000
Triple Black – RM170,000
Impulse – RM173,000
Triple Black Limited Edition – RM177,000
Impulse Limited Edition – RM180,000

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved