Isu pam bahan api: Honda Malaysia panggil semula 87,490 kenderaan
Honda Malaysia baru-baru ini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 87,490 unit kenderaannya untuk penggantian komponen pam bahan api.
Kempen terbaharu ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan kerosakan berlaku pada komponen tersebut.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 84,073 unit terkesan dengan isu pam pendesak yang mungkin mengembang selepas berendam dalam bahan api untuk tempoh masa yang lama.
Keadaan ini berpotensi menghalang kenderaan daripada dihidupkan, atau mampu mengakibatkan operasi enjin terhenti ketika memandu.
Berikut merupakan senarai model yang terjejas:
• Accord (2013-2017)
• BR-V (2017-2018)
• City (model tahun 2014-2019)
• City Hybrid (2018-2019)
• Civic (2017-2018)
• CR-V (2018-2020)
• Jazz (2015-2020)
• Jazz Hybrid (2018)
• HR-V (2015-2018)
• Odyssey (2017-2019)
Selain daripada itu, sebanyak 3,417 unit model Civic (model tahun 2023-2024) dan CRV (2024) terjejas dengan isu pam bahan api bertekanan tinggi.
Menurut Honda, komponen tersebut berkemungkinan retak berikutan penggunaan berpanjangan dan tekanan berlebihan yang mampu mengakibatkan kebocoran bahan api, serta menghasilkan bau petrol semasa pemanduan atau melahu.
Kos penggantian komponen yang terjejas itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia, di mana stok akan tersedia secara berperingkat.
Pemilik yang terjejas akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan, dan para pelanggan juga boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam panggilan semula itu menerusi aplikasi Honda Touch.
Honda Malaysia turut menyeru semua pelanggan yang terjejas untuk terus menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji sejurus menerima notis pemberitahuan.
Buat masa ini, tiada sebarang insiden kecederaan atau kemalangan disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi saluran berikut:
Talian bebas tol Honda Malaysia: 1-800-88-2020
Laman web: www.honda.com.my / productrecall.honda.com.my
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

