Porsche 963 RSP – jelmaan jentera Le Mans yang halal digunakan atas jalan raya

Porsche 963 RSP (8)

Porsche baru-baru ini mengejutkan dunia dengan kehadiran sebuah jentera 963 RSP, atau lebih tepat lagi jentera lumba Porsche 963 LMDh yang halal digunakan di atas jalan raya.

Porsche 963 RSP ini merupakan unit binaan sekali (one-off), di mana RSP itu sebenarnya merujuk kepada Roger S. Penske.

Ya, beliau merupakan bekas pelumba dan individu yang memiliki pasukan perlumbaan Team Penske yang pernah meraih kejuaraan di dalam pelbagai kejohanan terkemuka termasuklah IndyCar, IMSA, dan FIA World Endurance Championship.

Nama beliau dicadangkan sebagai pemilik bertuah Porsche 963 RSP sebagai satu penghormatan terhadap sumbangannya menaikkan nama Porsche.

Idea untuk menghasilkan 963 RSP datang daripada Timo Resch, Presiden dan CEO Porsche Cars Amerika Utara dengan mengambil inspirasi daripada jentera lagenda 917.

Untuk disesuaikan kegunaannya di atas jalan raya awam, beberapa perubahan dibuat pada 963 RSP.

Antaranya termasuklah mengubah beberapa panel badan, menambah liang fender, sayap belakang yang diubah suai, serta memasang lampu membelok, lampu brek dan juga hon.

Keempat-empat sudut dipasangkan rim OZ 18 inci yang dibaluti tayar Michelin.

Jarak kelegaan tanah juga telah ditinggikan sedikit, dibantu dengan tetapan suspensi yang lebih lembut terima kasih kepada penggunaan peredam boleh laras Multimatic DSSV.

Bahagian luaran jentera ini dilayangkan dengan warna khas Martini Silver yang diserikan dengan aksen hitam satin.

Ruang kabin 963 RSP turut diberikan perubahan supaya lebih selesa untuk digunakan atas jalan raya.

Tempat duduk gentian karbon diambil terus daripada jentera lumba, namun telah diberikan balutan upholsteri buatan tangan dan pelapik sebenar, sementara keseluruhan kabin turut diberikan balutan kulit tan dan Alcantara.

Roda stereng dan panel pintu pula diberikan kemasan balutan kulit.

Tidak ketinggalan, tempat meletak cawan yang dihasilkan menggunakan percetakan 3D, dan ruang khas di sebelah pemandu untuk meletakkan helmet, atau laptop khas yang mengawal perisian jentera ini.

Akhir sekali, terdapat plak pada bahagian pintu yang memaparkan nombor casis berserta tarikh dan lokasi ia dipasang.

Porsche 963 RSP ini menggunakan enjin V8 hibrid 4.6 liter dipadankan dengan transmisi sekuential Xtrac tujuh-kelajuan yang diambil secara terus daripada jentera lumba sebenar.

Namun, pemetaan semula telah dibuat pada unit motor elektrik dan penjana (MGU) supaya mampu menyalurkan kuasa dengan lebih lancar.

Secara standard, 963 RSP mampu menghasilkan 680 hp.

Sebagai pelengkap, Porsche turut menghasilkan helmet karbon kustom berserta set perkakasan Snap On dengan balutan kulit pada tempat pemegang.

Walaupun disifatkan sebagai jentera halal digunakan atas jalan, Porsche 963 RSP hanya menerima kebenaran daripada kerajaan Perancis untuk dipandu dalam acara tertentu sahaja.

Menurut laporan Autocar, kos untuk membina sebuah Porsche 963 RSP ini adalah sekitar €5 juta (RM24 juta).

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved