Honda Type R edisi penamat untuk pasaran Eropah, hanya 40 unit sahaja
Berita kurang enak buat para penggemar hot hatch Civic Type R di pasaran Eropah.
Ini kerana Honda membuat keputusan untuk tidak lagi menawarkan model tersebut bermula tahun hadapan disebabkan tidak lagi mematuhi piawaian Euro yang lebih ketat.
Namun, sebagai satu penghormatan terakhir, Honda melancarkan Civic Type R Ultimate Edition dengan hanya 40 unit sahaja tersedia.
Setiap satu jentera pantas itu dilayangkan warna Championship White, kemasan jalur merah pada hud enjin dan sisi, bumbung berwarna hitam, serta sayap belakang gentian karbon.
Selain itu, terdapat juga lampu lopak berlogo Type R, trim gentian karbon pada ambang pintu dan konsol tengah, serta lampu tambahan pada panel pintu, tempat letak cawan, ruang kaki dan bawah tempat duduk.
40 orang pemilik model istimewa ini akan turut mendapat kotak hadiah yang mengandungi emblem bernombor siri, serta key ring gentian karbon.
Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal, di mana Civic Type R ini masih lagi kekal dengan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 325 hp dan 420 Nm.
Dengan padanan transmisi manual enam-kelajuan, kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan untuk membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat.
Perincian harga belum didedahkan buat masa ini, namun yang pasti dengan statusnya sebagai model edisi terhad, ia dijangka lebih mahal berbanding Civic Type R sedia ada yang berharga £51,905 (RM297,938).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.







