Wuyang Honda E-VO: cafe racer elektrik untuk pasaran China, jarak gerak cecah 170 km

WUYANG HONDA E-VO 2025 (5)

Cafe racer ini merupakan E-VO, motosikal elektrik pertama oleh jenama Wuyang Honda yang direka untuk pasaran China.

Jentera retro moden ini dikuasakan oleh motor elektrik dengan kuasa puncak 20.5 hp (15.3 kW) atau kuasa berterusan 11 hp, dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 120 km/j.

Terdapat dua opsyen bateri, iaitu 4.1 kWh dan 6.2 kWh.

Versi 4.1 kWh merupakan tetapan bateri berkembar yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 120 km, dan boleh dicas dalam tempoh masa 1 jam 30 minit.

Tempoh pengecasan sejam boleh dicapai sekiranya pemilik menggunakan pengecas kereta konvensional.

Sementara versi 6.2 kWh pula membawakan tetapan tiga unit bateri yang menawarkan jarak sejauh 170 km.

Ia boleh dicas dalam tempoh 2 jam 30 minit di rumah, atau 1 jam 30 minit menggunakan pengecas kereta.

Aspek tunggangan dibantu dengan tiga mod kuasa (Eco, Normal, Sport) diikuti fork teleskopik jenis terbalik di depan, serta penyerap hentak tunggal di belakang.

Secara standard, E-VO didatangkan dengan ciri seperti skrin paparan TFT tujuh inci, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera perakam tunggangan hadapan (tambah unit belakang untuk model 6.2 kWh), serta pelana setinggi 765 mm.

E-VO versi dua bateri mempunyai berat sekitar 143 kg, manakala versi tiga bateri pula seberat 156 kg.

Di China, Wuyang Honda E-VO dijual pada harga bermula dari CNY 29,999 hingga CNY 36,999 (RM17,683-RM21,809).

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved