Toyota GR Supra sah dapat pengganti, cuma tidak tahu bila

toyota-gr-supra-performance-power-in-its-purest-form

Dengan pengenalan model edisi penamat GR Supra A90 Final Edition, ia merupakan satu petanda hayat kereta sports tersebut bakal berakhir.

Ini kerana produksi bagi generasi kelima GR Supra itu dijadualkan berakhir pada musim bunga tahun 2026

Untuk info, Toyota GR Supra merupakan model ‘kembar’ kepada BMW Z4, di mana kedua-dua model tersebut dipasang secara eksklusif di kilang Magna Steyr, Austria.

Dengan berakhirnya produksi BMW Z4, tidak ada sebab bagi pihak pengilang untuk meneruskan produksi bagi model GR Supra, apatah lagi kedua-dua kereta sports tersebut merupakan model volum rendah.

Berita baiknya, legasi GR Supra akan diteruskan dengan kehadiran model generasi baharu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh naib presiden kanan Perancangan Produk dan Strategi Toyota Amerika Utara, Cooper Ericksen kepada laman MotorTrend.

“Adalah logik untuk kami mempunyai Supra generasi baharu. Namun bila dan bagaimana ia masih lagi belum ditentukan.”

“(untuk model baharu ini) sudah pasti akan ada jurang masa. Persoalannya, seberapa besar jurang masa itu nanti,” ujarnya lagi.

Persoalan itu ada logiknya, ini kerana GR Supra A90 membuat kemunculan setelah sekian lama menyepi, dengan jurang masa hampir dua dekad selepas model Supra A80 dihentikan produksi pada tahun 2002.

“Matlamat kami adalah untuk mengurangkan jurang masa tersebut (untuk GR Supra generasi baharu).”

Jelasnya lagi, GR Supra sedia ada sudah sampai ke satu tahap ia sudah mempunyai model Final Edition dan sebabnya mudah, pelaburan yang tidak berbaloi untuk terus memenuhi peraturan yang semakin ketat.

“(GR Supra baharu) perlukan rumah (platform) baharu. Bila kami boleh dapatkan rumah baharu untuk dibina, itu adalah persoalannya pada ketika ini.

Eriksen menegaskan pihaknya akan tetap terus menghasilkan GR Supra generasi baharu “dengan atau tanpa rakan kongsi.”

“Kami harus lihat dan tunggu. Impian kami adalah untuk menghasilkan produk generasi baharu yang hebat dan bakal disukai oleh golongan peminat kami,” ujarnya lagi.

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved