Nissan sedang usaha bangunkan GT-R generasi baharu, kekal ICE atau jadi EV?

nissan-hyper-force-concept2

Biarpun Nissan kini sedang bergelut dengan keadaan semasa yang tidak menentu, syarikat itu tetap mempunyai perancangan tersendiri untuk barisan model akan datang.

Salah satu daripada perancangan utama Nissan adalah untuk menumpukan perhatian kepada sub-jenama berprestasi tinggi Nismo.

Menurut naib presiden pemasaran dan mobiliti serantau Nissan, Arnauld Charpentier berkata, “saya melihat masa depan yang cerah untuk Nismo. Kami akan meletakkannya sebagai titik tengah jenama.

Nissan tidak mendedahkan perincian tentang mana-mana model Nismo, namun yang pasti Nissan GT-R baharu akan menjadi sebahagian daripada perancangan tersebut.

“Terdapat pihak yang sedang mengusahakan projek ini. Bila, bagaimana, secara jujurnya kami tidak tahu.

Beliau juga tidak menyebut secara spesifik sama ada GT-R akan kekal dengan resipi asal (enjin pembakaran dalaman) atau elektrik sepenuh masa (EV).

“Walaupun (Nissan GT-R) sebuah kereta elektrik atau dengan bantuan elektrik, ia perlu kekal sebagai sebuah kereta sports. Namun jika ia mempunyai prestasi yang sama seperti sebuah SUV elektrik, itu akan menjadi satu masalah.

“Kita perlu mencipta semula tanggapan terhadap kereta sports,” ujarnya lagi.

Apa yang pasti, produk yang terpencil (niche) seperti GT-R mungkin tidak akan menjadi keutamaan Nissan pada ketika ini.

Secara realistiknya, Nissan sedang merancang untuk mengurangkan sehingga 20,000 pekerja selain menutup sehingga tujuh buah kilang di seluruh dunia.

Selain itu, Nissan juga merancang untuk meringkaskan lagi portfolio produk dengan membuang sehingga enam platform kenderaan, selain menyasarkan tahap kerumitan alat ganti dapat dikurangkan sehingga 70 peratus.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved