Toyota RAV4 2026 tampil dengan rupa paras yang lebih berani, pilihan HEV atau PHEV

Inilah dia generasi keenam SUV kompak Toyota RAV4 yang baru sahaja dilancarkan di peringkat global.

Dibina berdasarkan pelantar terkini daripada senibina Toyota New Global Architecture (TNGA), RAV4 membawakan penggayaan yang lebih mirip dengan barisan model sedia ada seperti bZ, Camry dan juga Prius.

Apa yang anda perlu tahu pasal RAV4 2026 ini?

 

1. Varian

Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan oleh Toyota, iaitu:
• Core – penggayaan urban
• Adventure – penampilan lebih ranggi dan mesra off-road
• GR Sport – pemanduan yang lebih menyeronokkan

 

2. Dimensi

Berbanding generasi terdahulu, RAV4 baharu ini jauh lebih panjang (4,600 mm), namun mengekalkan ukuran lebar 1,855 mm serta jarak antara roda 2,690 mm.

Varian Adventure dan GR Sport membawakan ukuran yang lebih lebar, iaitu 1,880 mm.

 

3. Pilihan rangkaian kuasa HEV dan PHEV

Generasi baharu RAV4 hanya boleh didapati dalam versi hibrid (HEV) serta plug-in hybrid (PHEV).

RAV4 HEV dikuasakan oleh enjin 2.5 liter dengan pilihan pacuan roda depan (FWD) 226 hp, atau pacuan semua roda (AWD) 236 hp.

Varian PHEV pula hanya didatangkan dengan sistem AWD, kuasa keseluruhan mencecah 320 hp dan jarak gerak sifar emisi mencecah 150 km.

Selain itu, RAV4 PHEV turut menyokong fungsi vehicle-to-home (V2H), pengecasan pantas DC (bateri dicas sehingga 80 peratus dalam 30 minit), serta pengalaman pemanduan off-road yang lebih baik.

 

4. Rekaan luar

Sama seperti kereta moden Toyota, RAV4 membawakan pendekatan rekaan muka depan gaya ikan jerung tukul.

Perumah lampu belakang pula direka dengan grafik LED yang lebih ringkas, diikuti dengan perkataan RAV4 pada bahagian tengah.

Bergantung kepada spesifikasi, terdapat pilihan rim bersaiz 17, 18 atau 20 inci.

 

5. Ruang kabin

Dengan struktur atas papan pemuka 40 mm lebih rendah, RAV4 menawarkan medan penglihatan keluar yang lebih luas.

Menggunakan pendekatan senibina pulau, struktur papan pemuka RAV4 direka supaya memudahkan urusan pemandu mencapai skrin dan butang fungsi penting, selain mengurangkan pergerakan mata semasa pemanduan.

Antara ciri unik pada ruang kabin RAV4 termasuklah penutup konsol tengah yang boleh dijadikan sebagai perehat tangan atau dulang untuk meletakkan barang.

Ruang kargo RAV4 kini mencecah kapasiti 749 liter, atau 16 liter lebih besar berbanding model terdahulu.

Akhir sekali, RAV4 merupakan model Toyota pertama yang menggunakan perisian Arene yang dibangunkan oleh Woven by Toyota, merangkumi operasi sistem infohibur serta kelengkapan keselamatan termaju Toyota Safety Sense 4.0 (TSS 4.0).

 

6. RAV4 Adventure

Berbanding model Core yang lebih ringkas, RAV4 Adventure membawakan ciri unik seperti:
dimensi lebih lebar
plastik pelindung badan lebih menonjol
rekaan rim yang lebih ringkas
bampar depan yang lebih berpetak
bukaan jeriji yang lebih besar dan menegak
struktur hidung yang lebih tinggi
padanan rel bumbung

 

7. RAV4 GR Sport

Tidak dilupakan, varian GR Sport khas untuk mereka yang mahu gandingan praktikaliti dan pemanduan yang lebih menyeronokkan dalam satu pakej.

Dari segi rupa, RAV4 GR Sport diberikan bampar yang agresif lengkap dengan spoiler hadapan dan juga spoiler belakang yang dapat menambah baik aspek aerodinamik dan kestabilan pengendalian.

RAV4 GR Sport turut mendapat trek yang lebih lebar (+20 mm), talaan suspensi dan stereng yang istimewa, serta set rim aluminium yang lebih ringan.

 

8. Sistem TSS 4.0

Toyota RAV4 juga merupakan model Toyota pertama yang mendapat kelengkapan keselamatan TSS 4.0.

Antara ciri baharu yang dimuatkan pada RAV4 termasuklah sistem penghalang pecutan tiba-tiba, serta sistem henti memandu kecemasan (EDSS) sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kepada pemandu.