Honda NSX-R keluaran tahun 2003 ini dibida pada harga RM5 juta!

2003-honda-nsx-r

Sebuah Honda NSX-R tahun 2003 baru sahaja terjual pada harga €934,375 atau $1,061,866 (anggaran RM5 juta) dalam lelongan Broad Arrow di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este di Itali, sekaligus mencatat rekod baharu untuk model ini.

Model ini merupakan salah satu daripada kurang 140 unit NSX-R yang dikeluarkan antara tahun 2002 hingga 2005 eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja.

Ia hadir dengan warna ikonik Championship White, rim BBS sedondon, kemasan dalaman merah, dan hanya mencatat kira-kira 16,000 km. Unit ini juga berada dalam kondisi hampir sempurna, dengan servis terkini dilakukan pada tahun 2023.

NSX-R direka sebagai versi paling ringan dan paling berfokuskan pemanduan berbanding model standard. Ia dikuasakan oleh enjin 3.2-liter V6 yang menjana 290 hp, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Dengan pengurangan berat sebanyak 120 kg, ia menawarkan pengalaman pemanduan tulen yang sukar ditandingi, dan masih dihormati dalam komuniti kaki kereta walaupun tidak mempunyai pengecas turbo.

NSX asal yang diperkenalkan pada 1989 telah mengubah persepsi ramai terhadap kereta sport dari Jepun. Ia bukan sekadar pantas dan boleh dipercayai, tetapi juga benar-benar mantap dari segi pengendalian.

Malah, pereka McLaren F1 iaitu Gordon Murray pernah menjadikan NSX sebagai rujukan semasa membangunkan supercar tersebut. Ferrari juga dikatakan menghasilkan F355 sebagai tindak balas kepada kehebatan NSX.

Walaupun nilai NSX semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sangat jarang ia mencecah angka tujuh digit. Pada 2023, sebuah NSX-R tahun 1995 terjual pada harga $632,000 (lebih RM3 juta). Namun lelongan terbaharu ini memecah rekod untuk model NSX jalanan, tidak termasuk unit yang dijual untuk tujuan amal.

Menurut Broad Arrow, bidaan datang dari seluruh dunia termasuk UK, Australia, Argentina, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, menunjukkan daya tarikan NSX-R semakin kukuh dalam kalangan pengumpul.

Soalnya sekarang, adakah pemilik baharu akan simpan kereta ini dalam garaj atau melenjannya di jalan raya?

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved