Proton tawar khidmat pasang tayar Continental di pusat 3S/4S terpilih, harga serendah RM211
Proton mengumumkan kerjasama strategik dengan Continental Malaysia untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan di seluruh negara.
Menerusi kerjasama terbaharu, Proton akan memperkenalkan perkhidmatan tayar bersepadu di beberapa pusat servis terpilih di seluruh negara, di mana pelanggan boleh mendapatkan tayar Continental pada harga yang lebih kompetitif.
Menjelang akhir tahun ini, Proton menyasarkan sekurang-kurangnya 60 cawangan akan menyediakan perkhidmatan ini bagi memudahkan pelanggan mendapatkan pakej penyelenggaraan lengkap di bawah satu bumbung.
Selain daripada pakej harga kompetitif (bermula serendah RM211), terdapat juga pakej perlindungan Total Confidence Plan (TCP) yang disediakan oleh Continental Malaysia.
Ia merangkumi jaminan kerosakan jalan raya selama setahun, serta penggantian tayar satu dengan satu secara percuma bagi kes-kes yang tidak diduga.
Perkhidmatan pembiayaan secara ansuran juga turut disediakan.
Menurut Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, “pengenalan perkhidmatan penukaran tayar merupakan langkah seterusnya dalam usaha kami mentransformasikan pusat 3S/4S menjadi penyelesaian sehenti yang lengkap.
“Ini mencerminkan usaha kami untuk memperkukuh imej Proton sebagai jenama automotif pilihan utama rakyat Malaysia,” jelasnya lagi.
Proton kini mempunyai lebih 173 pusat servis dan 73 pusat badan & cat di seluruh negara.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
