CFMoto 800MT-X 2025 rasmi di Malaysia, dari RM48,888
CFMoto Malaysia melancarkan model adventure touring berkuasa tinggi 800MT-X untuk pasaran tempatan.
Dijual pada harga bermula dari RM48,888, CFMoto 800MT-X boleh didapati dalam pilihan warna Zephyr Blue dan juga Nebula Black.
CFMoto 800MT-X dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris 799 cc dengan janaan kuasa 93.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 87 Nm @ 6,750 rpm, dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi klac jenis ‘sliding’ serta sistem pacuan rantai.
Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal boleh laras.
Sistem brek J.Juan terdiri daripada rotor berkembar di depan, diikuti rotor tunggal di belakang yang dibantu dengan fungsi ABS dua saluran yang boleh dimatikan (roda belakang sahaja).
Selain itu, 800MT-X ini turut didatangkan dengan fungsi kawalan cengkaman, penukaran gear pantas (quickshifter), mod tunggangan (Standard, Rain, off-road), serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT bersaiz tujuh inci, lengkap dengan port pengecasan USB Type-A dan Type-C.
Untuk kemudahan perjalanan, CFMoto 800MT-X ini turut didatangkan dengan pelindung bar hendal, penghadang angin boleh laras (manual), kotak atas 45 liter, serta dua kotak sisi bersaiz 35 liter.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 22.5 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 830 mm.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






















