Eurorepar masuk Malaysia sebagai pembekal alat ganti aftermarket pelbagai jenama

Stellantis baru-baru ini mengumumkan kehadiran jenama pembekal alat ganti aftermarket yang dinaunginya, iaitu Europar untuk pasaran Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 2002, Europar menawarkan lebih 17,000 produk automotif termasuklah alat ganti, aksesori, tayar, minyak enjin dan barangan pakai buang pada harga yang lebih kompetitif.

Selain itu, terdapat juga perkhidmatan Eurorepar Car Service yang akan diposisikan sebagai jaringan pusat servis pelbagai jenama untuk kenderaan di bawah jenama Stellantis serta jenama-jenama lain.

Dengan mempunyai jaringan sebanyak 6,500 pusat servis di lebih 30 buah negara, Eurorepar berhasrat untuk menawarkan pendekatan berpaksikan nilai dan kualiti untuk pasaran Malaysia.

Ini membolehkan pusat servis bebas untuk menonjolkan perkhidmatan bertaraf profesional dalam masa yang sama menawarkan kos lebih munasabah dan disokong oleh alat ganti tulen OEM.

Menurut Isaac Yeo selaku Pengarah Urusan Stellantis ASEAN berkata, “Pengenalan Eurorepar dan jaringan Eurorepar Car Service di Malaysia mewakili satu perkembangan penting dalam meluaskan jejak global selepas jualan Stellantis, selain menyediakan penyelesaian sehenti yang menyeluruh untuk alat ganti berkualiti serta khidmat profesional.

Jelasnya lagi, Hab Alat Ganti Serantau yang terletak di Zon Bebas Pelabuhan Klang akan menjadi tulang belakang bagi Eurorepar untuk memastikan bekalan stok mencukupi serta penghantaran tepat pada masanya untuk rakan kongsi, pengedar dan juga pelanggan.

“Dengan lebih 60 keluarga produk dalam portfolio syarikat, Eurorepar akan menawarkan pelbagai jenis alat ganti yang mampu milik kepada semua pelanggan di Malaysia.

“Ramai pelanggan mencari keseimbangan antara perkhidmatan profesional pada harga mampu milik.

“Kami yakin dengan penawaran servis dan alat ganti OEM bertaraf profesional pada kadar yang menjimatkan kos, ia dapat menembusi permintaan unik yang cuba disediakan oleh Eurorepar.

Eurorepar juga dijangka akan mengumumkan kerjasama dengan rakan pengedar pada tahun ini berikutan sambutan tempatan yang menggalakkan.

Setiap alat ganti Eurorepar akan dilindungi jaminan standard selama dua tahun bagi memastikan tahap kecekapan operasi selain menawarkan ketenangan minda kepada ejen servis dan pelanggan.