Nissan Jepun lancar koleksi barangan tema Datsun, GT-R & NISMO, mula jual 16 Mei ini

Nissan Jepun mengumumkan koleksi terbaharu barangan dan aksesori original musim bunga/musim panas yang boleh didapati di seluruh Jepun bermula 16 Mei ini.

Antara yang mencuri tumpuan penulis ialah model diecast Nissan GT-R NISMO 2024.

Di bawah pengawasan pakar, model GT-R tersebut telah dibina dengan teliti, sebelum diakhiri dengan layangan warna NISMO Stealth Gray dan kemasan gentian karbon pada sesetengah tempat.

 

Selain daripada itu, pemilik dan peminat GT-R juga boleh mendapatkan jam tangan chronograph GT-R berharga 71,500 yen (RM2,181) yang menampilkan binaan casis dan tali jam keluli dan muka jam yang dilindungi oleh kaca sapphire.

Difahamkan, jam tangan chronograph GT-R ini akan ditawarkan secara rasmi bermula bulan depan.

 

Antara barangan yang turut disenaraikan termasuklah beg tote berlogo warisan Datsun, T-shirt dengan grafik Skyline GT-R R32, R33 dan R34, keychain berbentuk penutup rim klasik, t-shirt polo, patung beruang, sandal kulit, dompet, jam dinding dan bermacam-macam lagi.

Terdapat lebih daripada 180 barangan eksklusif bertemakan Nissan, GT-R, Datsun dan NISMO yang boleh dibeli menerusi jaringan pusat pengedar Nissan, galeri ibu pejabat global, Nissan Boutique di NISSAN CROSSING, serta tidak ketinggalan kedai dalam talian Nissan.