Semua kiriman oleh Vinca

Ducati Panigale V2 MM93 dan FB63, rai pelumba ikonik dan handalan

Ducati memperkenalkan Panigale V2 MM93 dan Panigale V2 FB63, dua model edisi khas yang dikeluarkan dalam siri bernombor.

Motosikal unik ini didedikasikan kepada pelumba pasukan Lenovo 2025, Marc Márquez (MM93) dan Francesco Bagnaia (FB63), dengan corak warna eksklusif dan penalaan litar khusus bagi meningkatkan ciri dinamik Panigale V2 S.

Asas Latihan dari Litar

Kedua-dua pelumba Ducati menggunakan Panigale V2 S dalam sesi latihan litar mereka dan memberikan maklum balas yang sangat positif.

Marc Márquez, selepas pusingan pertama, memaklumkan model baharu ini lebih ringan, unggul dalam sistem brek dan pengendalian dan menawarkan tork yang lebih besar pada putaran enjin rendah.

Satu lagi yang menarik beliau turut berkongsi secara keseluruhannya model ini lebih mudah untuk ditunggang berbanding Panigale V2 terdahulu.

Pecco Bagnaia pula berjaya memperbaiki masa sebanyak dua persepuluh saat di litar latihan dengan motosikal dua silinder tersebut beberapa minggu kemudian.

Kedua-dua Panigale V2 MM93 dan FB63 bukan sahaja memberi penghormatan kepada pelumba, malah merupakan versi Panigale V2 S yang lebih berprestasi dan unik, bertujuan untuk menjadi lebih pantas di litar.

Corak Warna Khas dan Reka Bentuk Unik

Setiap model edisi khas ini dihiasi dengan corak warna unik yang mempunyai makna tersendiri:

Panigale V2 MM93

  • Menghasilkan semula corak yang digunakan oleh Marc Márquez dalam ujian pertama sebagai pelumba rasmi Ducati, meraikan detik bersejarah penampilan sulung todo rojo (semua merah) beliau.
  • Corak warna ini menumpukan pada nombor perlumbaan Marc, 93, dan memaparkan nombor pelumba (MM93) yang digunakan oleh pasukan pada fairing.

Panigale V2 FB63

  • Menghasilkan semula corak penyamaran hitam dan merah yang terdapat pada topi keledar, sarung tangan dan but Pecco Bagnaia.
  • Logo FB63 dan motto GoFree pada sisi fairing.

Peningkatan Prestasi dan Ciri Litar

Dua model edisi khas ini dilengkapi dengan komponen premium yang meningkatkan keupayaan litar:

Roda Aluminium Tempa

  • Roda aloi aluminium tempa 5-jejari yang diilhamkan daripada DesmosediciGP digunakan buat kali pertama pada Panigale V2.
  • 1.5 kg lebih ringan berbanding rim tuang, mengurangkan inersia (-27% depan, -21% belakang), sekali gus meningkatkan tindak balas, pengendalian dan prestasi pecutan.

Suspensi dan Hendal

  • Dilengkapi peredam hendal Öhlins boleh laras, memberikan kestabilan dan ketepatan hendal yang lebih baik.

Ergonomik Litar:

  • Clip-ons rendah dipasang pada plat hendal bilet, disertakan bersama nombor siri.
  • Menjadikan pergerakan badan pelumba lebih berkesan semasa menunggang di litar.

Aerodinamik

  • Penghadang angin plexiglass perlumbaan yang lebih tinggi dan lebih berkesan (melindungi) meningkatkan kecekapan aerodinamik, keselesaan pelumba dan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Cengkaman

  • Pemegang (grip) yang diilhamkan daripada DesmosediciGP rasmi dipasang untuk meningkatkan cengkaman.

Panigale V2 FB63 dan MM93 akan mula dijual di Eropah pada Mac 2026. Ia akan menyusul di Amerika Syarikat pada April 2026 dan kemudian di Jepun dan Australia bermula Julai 2026.

Spesifikasi Teknikal Panigale V2 FB63 & MM93

Enjin

  • Enjin: Ducati V2 890 cc, 90°, 4 injap per silinder, sistem pemasaan injap berubah-ubah, sejukan cecair.
  • Kuasa: 120 hp @ 10,750 rpm.
  • Tork: 93.3 Nm @ 8,250 rpm.
  • Nisbah Mampatan: 13.1:1.
  • Suntikan Bahan Api: Sistem suntikan bahan api elektronik. Satu penyuntik per silinder. Ride-by-wire penuh.
  • Ekzos: Sistem 2-1-2, dengan 1 pemangkin penukar dan 3 prob lambda.

Transmisi

  • Kotak Gear: 6 kelajuan dengan Ducati Quick Shift (DQS) naik/turun 2.0.
  • Pacuan Akhir: Rantai 520; Sprod depan 15; Sprod belakang 42.
  • Klac: Klac basah multi-plat licin (slipper) dan swa-servo dikawal secara hidraulik.

Casis

  • Rangka: Monocoque Aluminium.
  • Suspensi Depan: Öhlins NIX30 43 mm dengan lapisan TiN, fork USD boleh dilaras penuh.
  • Suspensi Belakang: Monoshock Öhlins boleh laras penuh. Lengan ayun duia sisi aluminium.
  • Jarak Perjalanan Roda (Depan/Belakang): 120 mm / 150 mm (4.7 in / 5.9 in).
  • Brek Depan: 2 x 320 mm cakera separa terapung, angkup piston Brembo Monobloc M50 dengan Cornering ABS.
  • Brek Belakang: Cakera 245 mm, angkup 2-omboh dengan Cornering ABS.
  • Roda Depan: Aloi aluminium tempa 5-jejari 3.50 in x 17 in.
  • Roda Belakang: Aloi aluminium tempa 5-jejari 5.50 in x 17 in.
  • Tayar Depan: Pirelli Diablo Rosso IV 120/70 ZR17.
  • Tayar Belakang: Pirelli Diablo Rosso IV 190/55 ZR17.

Dimensi dan Berat

  • Berat Basah Tanpa Bahan Api: 175.5 kg.
  • Ketinggian Pelana: 837 mm (33 in).
  • Jarak Roda: 1,465 mm (57.7 in).
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 15 l.
  • Tempat Duduk: Pelana tunggal. (Dua tempat duduk, jika aksesori kit pelana penumpang dipasang).

Kelengkapan

  • Keselamatan: Riding Modes, Power Modes, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Engine Brake Control (EBC), Bosch Cornering ABS, Ducati Brake Light (DBL).
  • Standard: Ducati Quick Shift (DQS) naik/turun 2.0, suspensi Öhlins, bateri Litium-ion, butang pelarasan pantas, peredam stereng Öhlins, roda aluminium tempa, Coming Home, konfigurasi tempat duduk tunggal, Ducati Power Launch (DPL), paparan warna TFT, sistem lampu LED penuh, Lampu Nyalaan Siang (DRL), lampu isyarat pembatalan sendiri, Lap Timer, Pit Limiter.
  • Instrumen: Unit digital dengan paparan warna TFT 5 in, resolusi 800 x 480 px, nisbah 16:9.

Ducati Panigale V2 MM93

Ducati Panigale V2 FB63

Porsche 911 GT3 Ocelot dari Sonderwunsch, bergaya dengan inspirasi Amazon

Porsche melancarkan projek Sonderwunsch baharu yang diberi nama Icons of Latin America untuk meraikan warisan dan kecemerlangan automotif rantau tersebut.

Projek sulung ini dimulakan dengan sebuah 911 GT3 Touring 2025 unik yang dipanggil The Ocelot.

 

Inspirasi dan Ulang Tahun

Rekaan kereta ini diinspirasikan secara langsung oleh kepelbagaian biologi hutan hujan Amazon di Colombia dan haiwan eksotiknya, harimau oselot (ocelot).

Projek ini dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 Porsche Latin America dan ulang tahun ke-30 bagi Autoelite, pengimport rasmi Porsche di Colombia.

 

Luaran: Forest Green Metallic dan Centenaire Silver

911 GT3 Touring tampil menarik dalam warna eksklusif Forest Green Metallic (Paint to Sample), yang dipilih untuk membangkitkan lapisan dedaun, bayangan dan cahaya hutan hujan Amazon.

Warna hijau pekat tersebut dikontraskan dengan riasan Centenaire Silver pada beberapa bahagian luaran seperti pemegang pintu dan logo.

Penggunaan warna perak adalah penghormatan kepada kemasan krom pada model Porsche 911 terawal dari tahun 1960an, menghubungkan versi moden dengan warisan jenama.

 

Dalaman: Kulit Cohiba Brown dan Fabrik Pepita

Bahagian dalaman menterjemahkan identiti ocelot, yang dikenali dengan kecantikan dan corak bertompok.

Majoriti bahagian dalaman menggunakan kulit Cohiba Brown dengan warna yang menyerupai bulu harimau oselot bersama jahitan silang Crema dan Truffle Brown.

Kerusi sport menampilkan panel tengah fabrik Pepita dalam pelbagai tona, ala corak bertompok harimau oselot dan penghargaan kepada warisan klasik Porsche.

Corak harimau oselot terpampang pada sandaran kepala, diinspirasikan daripada papan tanda lintasan hidupan liar Colombia.

 

Sonderwunsch dengan Identiti Amerika Latin

Penyesuaian pada 911 GT3 Touring disempurnakan dengan perincian eksklusif Sonderwunsch yang menyerlahkan kesungguhan untuk meraikan identiti Amerika Latin.

Perincian ini termasuk lencana Iconos de Latinoamérica dalam Centenaire Silver pada tiang B.

Pelindung ambang pintu bercahaya memaparkan inskripsi untuk memperingati kedua-dua ulang tahun utama, 30 Años de Autoelite dan 25 Años de Porsche Latin America.

Selain itu, penggunaan kulit Cohiba Brown pada stereng, papan pemuka dan juga ruang bagasi hadapan, menyerlahkan sentuhan mewah dan eksklusif projek ini.

EICMA 2025: Suzuki SV-7GX diperkenal, enjin V berkembar dari SV650

Suzuki telah melancarkan model terbaharu mereka, SV-7GX, di EICMA, Milan, Itali.

Direka untuk segmen sport crossover kelas pertengahan, ia berasaskan platform enjin V berkembar SV650 yang terbukti kehandalannya.

SV-7GX menggabungkan keselesaan touring dengan reka bentuk yang diinspirasikan oleh GSX-S1000GX.

Konsep dan Enjin

SV-7GX dibangunkan untuk menawarkan keserbagunaan (versatility) kelas crossover kepada pasaran yang lebih luas sambil mengekalkan personaliti tersendiri enjin V berkembar.

Ia direka berasaskan platform SV650 yang terbukti kehandalannya dan menggunakan enjin yang dikemas kini untuk mematuhi piawaian emisi baharu.

Enjin V-Berkembar 645cc

Enjin V berkembar 90 darjah empat lejang, dua silinder, DOHC, penyejukan cecair ini menampilkan semakan teknikal menyeluruh termasuk magneto baharu, gear transmisi, kotak udara dan sistem ekzos baharu.

Enjin ini adalah unit yang sama digunakan seperti SV650 dan V-Strom 650 tetapi dengan kemas kini untuk mematuhi standard Euro 5+ dan menampilkan pendikit ride-by-wire.

  • Sesaran Enjin: 645 cc
  • Kuasa Maksimum: 73 ps (atau 72.4 hp) pada 8,500 rpm
  • Tork Maksimum: 64Nm pada 6,800 rpm
  • Transmisi: 6 kelajuan

Sistem Elektronik Pintar Suzuki (S.I.R.S.)

Sistem pendikit ride-by-wire elektronik baharu adalah teras utama kepada kelengkapan S.I.R.S., yang memberikan kawalan kepada semua sistem canggih yang lain.

  • Penukar Cepat Dua Arah (Bi-directional Quickshifter): Dipasang standard untuk penukaran gear naik dan turun yang lancar tanpa klac.
  • Mod Tunggangan: Tiga pilihan mod tunggangan (dikenali sebagai Peta Pendikit/Throttle Map) untuk mengoptimumkan prestasi dalam pelbagai situasi:
    • Mod A: Paling agresif (Sport).
    • Mod B: Tunggangan jalan raya biasa (Road).
    • Mod C: Mod hujan, dengan kuasa dihadkan kepada 60 ps.
  • Kawalan Cengkaman Boleh dilaraskan kepada tiga tahap pilihan atau dimatikan sepenuhnya (OFF).
  • Skrin Paparan: Skrin TFT-LCD berwarna 4.2 inci yang menyediakan semua maklumat tunggangan.
  • Ketersambungan (Connectivity): Skrin TFT menyokong ketersambungan telefon pintar, membolehkan penunggang mengakses peta, kenalan dan mesej, di samping navigasi turn-by-turn.
  • Kemudahan Pengecasan: Port pengecasan USB-C disediakan di sebelah kiri.

Casis dan Ergonomi

SV-7GX dibina dengan casis yang mengutamakan keselesaan touring jarak jauh tanpa mengabaikan ciri sporti.

  • Rangka: Rangka trellis keluli (steel trellis frame) memberikan keseimbangan antara ketegaran dan keselesaan.
  • Suspensi: Menggunakan komponen dari KYB.
    • Hadapan: Fork teleskopik 41 mm dengan jarak pergerakan 125 mm.
    • Belakang: Monoshock jenis link dengan pelarasan preload sahaja, dan jarak pergerakan 129 mm.
  • Brek: Dilengkapi ABS dua saluran (two-channel ABS) sebagai standard.
  • Hadapan: Cakera berkembar terapung 290 mm dengan angkup empat omboh Tokico.
  • Belakang: Cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu omboh.
  • Roda dan Tayar: Roda aloi tuang (cast aluminium) 17 inci di hadapan dan belakang, dipasangkan dengan tayar Pirelli Angel GT 2 yang berorientasikan jalan raya.

Spesifikasi Tambahan

Berikut adalah spesifikasi dimensi dan kapasiti penting:

  • Ketinggian Tempat Duduk: 795 mm
  • Kelegaan Bumi: 135 mm
  • Berat Basah (Curb Weight): 211 kg
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 17.4 liter
  • Lampu: LED penuh
  • Kelengkapan Standard: Penghadang angin (windshield) boleh laras manual tiga kedudukan dan pelindung tangan.

EICMA 2025: Honda V3R 900 E-Compressor Prototype diperkenal, enjin V3 dengan pemampat!

Honda secara rasmi memperkenalkan V3R 900 E-Compressor Prototype pada pameran EICMA 2025 di Milan, Itali.

Motosikal konsep ini menjadi tumpuan utama dengan menampilkan enjin V3 baharu yang dilengkapi teknologi pemampat kawalan elektronik, inovasi yang pertama di dunia untuk sebuah motosikal.

Teknologi Enjin V3 Baharu

Prototaip V3R 900 E-Compressor dikuasakan enjin V3 empat lejang, hasil pembangunan daripada ICE Concept V3 yang pertama kali dipamerkan di EICMA 2024.

Enjin V3 ini bersudut 75 darjah dengan sesaran 900cc. Ia direka agar sangat langsing dan kompak, berdasarkan bentangan V3 pada EICMA lalu.

Ciri utama ialah penggunaan pemampat kawalan elektronik yang membolehkan kawalan tepat terhadap tekanan udara enjin (engine boost).

Sistem ini berfungsi bebas daripada putaran enjin (RPM), menjamin penghantaran tork bertindak balas tinggi walaupun pada putaran rendah.

Hasilnya, enjin mampu memberikan prestasi yang setanding dengan enjin bersesaran 1,200cc selain ciri-ciri yang turut meningkatkan kecekapan alam sekitar.

Walaupun Honda memilih V3 E-Compressor, Yamaha terkenal dengan 3 silinder sebaris (CP3) yang mengutamakan tork.

Kawasaki pula menggunakan pengecas lampau (supercharger) untuk kuasa ekstrem pada siri Ninja H2 4 silinder mereka.

Konsep Pembangunan dan Nilai Baharu

Prototaip V3R 900 E-Compressor dibangunkan berlandaskan konsep Non-Rail Roller Coaster.

Konsep ini melambangkan matlamat Honda untuk menghasilkan model dengan dua ciri utama iaitu keseronokan tunggangan yang dijanjikan (promised thrills) dan ketenangan fikiran yang meyakinkan (reassuring peace of mind).

Ciri Reka Bentuk Utama

Dari segi reka bentuk, prototaip ini menampilkan fairing sisi yang berciri asimetri (tidak simetri).

Emblem tangki tampil dengan rekaan baharu Honda Flagship WING yang akan diperkenalkan secara berperingkat pada model peringkat tertinggi Honda bermula tahun 2026.

Walaupun berstatus prototaip, model ini sebenarnya nampak seperti sedia untuk dikeluarkan.

Apa yang menarik Honda mengesahkan pembangunan enjin V3 baharu ini akan diteruskan ke arah pengeluaran besar-besaran.

Mengimbau Warisan V3 Honda

Walaupun konfigurasi V3 baharu dengan E-Compressor adalah unik, enjin V3 bukan sesuatu yang asing buat Honda.

Honda pernah menggunakan enjin V3 dalam model jalanan pada era 80-an melalui Honda NS400R (1985–1987).

NS400R dikuasakan enjin dua lejang V3 387 cc dan dibangunkan sebagai interpretasi jalanan kepada jentera Grand Prix Honda NS500, yang pernah menjuarai Kejuaraan Dunia bersama Freddie Spencer pada 1983.

Prototaip V3R 900 baharu ini, dengan teknologi empat lejang dan pemampat elektrik, mewakili kesinambungan warisan kejuruteraan V3 Honda ke masa hadapan.