Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Toyota Vellfire HEV 2026 rasmi di Malaysia – harga RM549,900

UMT Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan MPV mewah Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge untuk pasaran Malaysia.

Vellfire HEV digerakkan oleh sistem hibrid pengecasan kendiri terdiri daripada enjin Dynamic Force 2.5 liter (kod A25A-FXS) berkuasa 187 PS/233 Nm dipadankan dengan motor elektrik 182 PS/270 Nm dan transmisi e-CVT.

Secara keseluruhan, sistem HEV ini mampu menjana kuasa setinggi 250 PS, atau 37 peratus lebih berkuasa berbanding model 2.5 liter standard.

Kadar penggunaan bahan api pula adalah serendah 5.7 liter/100 km di mana Vellfire HEV boleh mencapai jarak pemanduan sehingga 1,000 km dengan tangki bahan api sebesar 60 liter.

Selain mod pemanduan Eco dan Normal, Vellfire HEV turut menawarkan mod EV untuk pemanduan sifar emisi pada jarak dekat tanpa menggunakan setitik petrol.

Selari dengan falsafah hospitaliti Jepun (omotenashi), Vellfire HEV menawarkan keselesaan yang tersendiri.

Tempat duduk VIP Executive Lounge menawarkan larasan kuasa, sistem pengudaraan, serta fungsi urut dan ottoman yang boleh dikawal menerusi panel skrin sentuh.

Antara ciri lain termasuklah meja boleh lipat, tempat perehat tangan yang lebih besar, fungsi anti-gegaran, balutan kulit Nappa, sistem pencahayaan suasana 64-warna, skrin belakang sebesar 14 inci dan sistem audio JBL dengan 15 pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, Vellfire HEV menawarkan pakej Toyota Safety Sense 3.0 merangkumi fungsi seperti Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Lorong (LDA), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan Bantuan Pengesan Lorong (LTA), Sistem Suluhan Tinggi Adaptif (AHS), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Sokongan Brek Parkir (PKSB).

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Vellfire HEV, iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal dan hitam yang boleh dipadankan dengan kemasan dalaman hitam atau Sunset Brown.

Selain Vellfire HEV, pengguna masih boleh mendapatkan Vellfire dengan enjin 2.5 liter (kod 2AR-FE) dengan janaan kuasa 182 PS dan 235 Nm yang dipadankan dengan transmisi Super CVT-i 7-kelajuan.

Vellfire 2.5 didatangkan dengan ciri seperti bahan kulit sintetik, tempat duduk Executive tanpa panel kawalan, tiada sistem Rear Seat Enterntainment dan tiada skrin paparan head-up (HUD).

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Toyota Vellfire 2.5 – RM448,000
  • Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge – RM549,900

Nissan Fairlady Z facelift muncul di Tokyo Auto Salon 2026

Generasi ketujuh kereta sports Nissan Z (Fairlady Z di pasaran Jepun) debut pada tahun 2021 bagi menggantikan model 370Z.

Setelah beberapa tahun, Nissan akhirnya mengemas kini penawaran Fairlady Z dengan memperkenalkan versi facelift di Tokyo Auto Salon 2026.

Tidak banyak perubahan yang dibuat namun berbanding model terdahulu, Fairlady Z facelift menampilkan imej yang lebih kemas terutama pada bahagian bampar hadapan serba baharu.

Menurut Nissan, rekaan bampar baharu itu bukan sahaja menitikberatkan aspek estetik, akan tetapi mampu menyumbang kepada aspek aerodinamik yang lebih baik dengan cara mengurangkan kesan angkat depan sebanyak 3.3 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 1 peratus.

Selain itu, lencana Nissan pada bahagian depan telah digantikan dengan emblem Z, diikuti dengan rim aloi dengan kemasan dua tona.

Akhir sekali, Nissan memperkenalkan warna baharu Unryu Green yang diinspirasikan daripada warna Grand Prix Green pada model Z generasi S30.

Buat masa ini, Nissan masih mengekalkan enjin asal bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar menghasilkan 400 hp dan 475 Nm.

Namun, aspek pemanduan dan pengendalian dipertingkatkan dengan sistem suspensi yang telah disemak semula dengan padanan penyerap hentak monotiub yang lebih besar, serta sistem brek yang lebih besar.

Susun atur ruang kabin kekal tidak berubah, namun untuk versi facelift Nissan menawarkan opsyen trim tan untuk tempat duduk, panel pintu dan bahagian bawah papan pemuka.

Menariknya, dalam imej rasmi yang dibekalkan terdapat komponen paddle shifter di sebalik stereng di dalam sebuah kereta yang mempunyai tombol gear manual.

Hyundai Malaysia tawar promosi menarik sempena Tahun Baru Cina, Tucson serendah RM125,888

Hyundai Motor Malaysia meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan tawaran istimewa untuk Hyundai TUCSON baharu, kini bermula RM125,888.

SUV ini hadir dengan teknologi moden, ruang dalaman luas dan rekaan futuristik yang menonjol di jalan raya. Ia turut dilengkapi ciri keselamatan Hyundai SmartSense, pengecas tanpa wayar, pengecaman cap jari dan tempat duduk berpengudaraan.

Selain TUCSON, Hyundai turut menawarkan ganjaran menarik untuk model Santa Fe dan Staria.

Sorotan Promosi Tahun Baru Cina

1. Hyundai Tucson

Pelanggan boleh memilih salah satu daripada tawaran berikut:

  • Total Drive Rewards – rebat tunai sehingga RM19,000, termasuk pakej servis percuma + 8 kali servis percuma untuk varian terpilih
  • Instant Savings – rebat tunai sehingga RM24,000 untuk varian terpilih
  • Pembiayaan Rendah – kadar faedah 0% untuk varian terpilih
  • Sokongan Trade-In – sehingga RM2,300 untuk varian terpilih

2. Hyundai Santa Fe

Pelanggan boleh memilih salah satu daripada tiga pilihan pemilikan (bergantung kepada varian):

  • Total Drive Rewards – rebat tunai sehingga RM24,000, termasuk pakej servis percuma + 8 kali servis percuma
  • Instant Savings – rebat tunai sehingga RM29,000
  • Pembiayaan Rendah – kadar faedah 0% untuk varian terpilih

3. Hyundai Staria

  • Total Drive Rewards – Rebat tunai sehingga RM20,000 untuk varian terpilih

Sebagai tambahan, pelanggan yang membuat pandu uji mana-mana model Hyundai dan melengkapkan tempahan dalam tempoh tujuh hari bekerja akan menerima Ang Pao Early Bird bernilai RM888.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat pameran Hyundai bertauliah di seluruh negara.
Maklumat tambahan turut tersedia di laman rasmi: https://www.hyundai.com/my/en

Toyota GR Corolla versi Automatik kini di Malaysia, harga RM378,950

UMT Toyota Motor mengumumkan ketibaan sebuah lagi model berprestasi tinggi, iaitu Toyota GR Corolla dalam versi transmisi automatik.

Spesifikasi asas jentera ini masih lagi sama, didatangkan dengan enjin tiga silinder G16E-GTS 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 300 PS dan 400 Nm.

Seperti GR Yaris AT, GR Corolla AT dibekalkan dengan kotak gear DAT (Direct Automatic Transmission) lapan nisbah kelajuan, lengkap dengan fungsi ekslusif Launch Control.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 5.3 saat.

Sistem pacuan semua roda GR-Four menawarkan tiga tetapan agihan kuasa, iaitu Normal, Gravel dan Track, dibantu dengan tiga mod pemanduan iaitu Sport, Normal dan Eco.

Secara standard, GR Corolla AT didatangkan dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen depan dan belakang.

Antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah sistem ABS yang telah ditala untuk kuasa brek yang lebih stabil atas apa jua permukaan serta talaan suspensi untuk pengendalian yang lebih meyakinkan di selekoh.

Untuk ruang kabin, GR Corolla AT 2026 mendapat kelengkapan seperti skrin Display Audio 10 inci, skrin kluster digital 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin paparan head-up (HUD), paddle shifter serta penambahan ciri pemantauan titik buta (BSM).

Harga jualan untuk GR Corolla AT bermula dari RM378,950, atau RM10,000 lebih mahal berbanding GR Corolla versi manual.

Mitsubishi Triton 2026 dapat muka baharu di Thailand, varian Mega Cab sahaja

Mitsubishi Thailand mengemas kini penawaran bagi trak pikap popularnya dengan menawarkan versi Street.

Ini mungkin sekali gambaran Triton facelift, namun muka baharu ini hanya unik untuk stail badan Mega Cab sahaja, dan tidak tersedia untuk Triton Single Cab dan Double Cab.

Reka bentuk agresif berkemungkinan besar diinspirasikan daripada helmet Stormtrooper daripada siri Star Wars bagi menggantikan pendekatan Dynamic Shield Triton sedia ada.

Selain itu, ia hadir dengan skid plate hitam yang lebih besar, kemasan jeriji pepenjuru, rim 17 inci dan pilihan warna Solid White, Blade Silver dan Graphite Gray.

Tetapan suspensi asal yang lebih direka untuk jalanan turut dikekalkan.

Triton Street juga kekal dengan enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 148 hp dan 330 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual dan sistem pacuan roda belakang.

Untuk ruang kabin pula, ia hadir dengan tempat duduk fabrik, skrin infohibur sebesar 10 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, dan sistem audio dengan dua pembesar suara.

Ciri keselamatan pula termasuklah tiga beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman (TCL) serta Sistem Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCM).

Di Thailand, Mitsubishi Triton Street Mega Cab ini dijual pada harga bermula dari THB 649,000 (RM83,798).

Honda N-Box kei car paling laris di Jepun untuk 11 tahun berturut-turut!

Honda nampaknya masih lagi menguasai pasaran kenderaan ringan (kei car) di Jepun.

Untuk tahun yang ke-11 sejak tahun 2015, Honda N-Box dinobatkan sebagai kereta kecil yang paling laris dengan jumlah sebanyak 201,354 unit terjual sepanjang tahun 2025.

Malah, sepanjang bulan Disember Honda berjaya menjual sebanyak 15,570 unit N-Box, mengalahkan Suzuki Spacia di tempat kedua (11,397 unit) dan Daihatsu Tanto di tangga ketiga (9,287 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kei car paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Honda N-Box: 201,354 unit
2. Suzuki Spacia: 165,589 unit
3. Daihatsu Tanto: 124,619 unit
4. Daihatsu Move: 122,349 unit
5. Suzuki Hustler: 87,972 unit
6. Suzuki Wagon R: 72,520 unit
7. Nissan Roox: 71,498 unit
8. Mitsubishi Delica Mini/ek: 58,916 unit
9. Suzuki Alto: 57,553 unit
10. Daihatsu Mira: 55,777 unit

Sementara itu, Toyota pula menguasai 8 tangga dalam senarai 10 kereta penumpang paling laris di Jepun.

Tempat pertama disandang oleh Toyota Yaris dengan jumlah jualan 166,533 unit, diikuti oleh Toyota Corolla (138,829 unit) dan Toyota Sienta (106,558 unit).

Tidak cukup dengan itu, Toyota turut menguasai segmen MPV menerusi model Alphard, Noah dan Voxy.

Honda pula menduduki tangga keenam menerusi model Freed (90,437 unit) manakala Nissan pula di tangga ke-10 dengan model Note (78,123 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kereta penumpang paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Toyota Yaris: 166,533 unit
2. Toyota Corolla: 138,829 unit
3. Toyota Sienta: 106,558 unit
4. Toyota Raize: 100,851 unit
5. Toyota Roomy: 95,221 unit
6. Honda Freed: 90,437 unit
7. Toyota Alphard: 86,959 unit
8. Toyota Noah: 80,065 unit
9. Toyota Voxy: 78,760 unit
10. Nissan Note: 78,123 unit

GR Yaris MORIZO RR dapat input daripada Akio Toyoda, 100 unit khas untuk pasaran Jepun

Toyota GR Yaris bukanlah sebuah hot hatch yang ‘sempurna’ sejak dari awal pengenalannya.

Ini kerana sehingga kini masih wujud ruang untuk pembaharuan dan penambahbaikan yang dibuat oleh Toyota Gazoo Racing bagi menjadikan ia lebih sedap untuk dipandu.

Berbekalkan pengalaman berlumba di Nurburgring 24 Hours 2025, Toyota Gazoo Racing memperkenalkan GR Yaris MORIZO RR yang dibangunkan bersama-sama Master Driver Akio Toyota – atau lebih dikenali dengan nama Morizo.

Dari segi luaran, GR Yaris MORIZO RR mendapat kelengkapan seperti sayap belakang kekal yang lebih besar diperbuat daripada gentian karbon, spoiler depan, skirt sisi, hud enjin gentian karbon, angkup brek kuning, rim Matte Broze, emblem MORIZO RR dan tandatangan Morizo pada cermin hadapan.

Ruang kabin pula didatangkan dengan roda stereng eksklusif GR balutan suede dengan dimensi yang lebih kecil.

Jika anda perasan, susun atur butang fungsi juga berlainan dengan apa yang wujud pada GR Yaris sedia ada, tetapan ini lebih mirip kepada apa yang digunakan pada jentera rali GR Yaris Rally2.

Akhir sekali, tombol pemilihan pacuan GR-Four kini mempunyai fungsi khas “PUSH MORIZO” menggantikan mod Gravel pada kereta GR Yaris standard.

Dalam mod yang dibangunkan khas bersama MORIZO ini, ia akan menetapkan agihan kuasa sebanyak 50:50 untuk roda depan dan belakang.

Aspek pemanduan pula ditambah baik dengan tetapan suspensi yang telah ditala semula berdasarkan permukaan jalan di Nurburgring supaya wujud keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang sporti.

Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) juga turut ditala semula oleh pihak GAZOO Racing.

Toyota GR Yaris MORIZO RR akan diproduksikan sebanyak 100 unit terhad untuk pasaran Jepun, di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi rasmi TGR iaitu GR App.

Sebanyak 100 unit lagi akan turut ditawarkan di beberapa pasaran terpilih di Eropah.

Proton X70 2026 kini dengan enjin i-GT 1.5 turbo – harga dari RM99,800

Proton secara rasmi melancarkan SUV X70 2026 yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.

Dari segi luaran, X70 baharu ini dilihat sama sahaja seperti apa yang telah ditawarkan pada dua tahun lepas.

Namun, perubahan ‘besar’ yang dibuat ialah menggantikan enjin 3-silinder yang asal kepada enjin 4-silinder i-GT 1.5 liter turbo.

Enjin baharu ini mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm, dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Proton mendakwa kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.9 liter untuk setiap 100 km, dan 5.5 peratus lebih jimat berbanding X70 terdahulu.

Aspek NVH bertambah baik sebanyak 4.5 peratus dengan penggunaan rantai pemasa bergigi yang dikatakan lebih senyap 25.24 peratus berbanding rantai pemasa standard.

Proton turut menyentuh aspek pengendalian dan keselesaan (ride & handling) X70 dengan menjadikan respons stereng yang lebih pantas dan nisbah yang ditambah baik, diikuti suspensi yang ditala semula.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera 360 darjah, serta fungsi ADAS yang khusus untuk varian Premium merangkumi:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Kawalan Jelajah Pintar (ICC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Kawalan Suluhan Tinggi (IHBC)
  • Informasi Papan Tanda Trafik (TSI)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

 

Ruang kabin X70 2026 masih menawarkan kelengkapan yang sama seperti model terdahulu, seperti skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan arahan suara Hi Proton.

Cuma sayang sekali, beberapa ciri yang sebelum ini ada telah dibuang seperti balutan kulit Nappa serta bumbung kaca panorama.

Proton X70 2026 varian Premium juga masih kekal dengan padanan rim 19 inci rekaan yang asal, namun balutan getah Continental UC6 telah digantikan dengan tayar Giti Comfort F50 (225/55R19).

Harga jualan (selepas rebat RM7,000 untuk 1,500 unit pertama, sah sehingga 31 Mac) bermula dari RM99,800 untuk varian Executive hingga RM112,800 untuk varian Premium.

 

Volvo ES90 2026: Bakal dilancarkan bulan ini, pendaftaran minat kini dibuka

Volvo Car Malaysia membuka pendaftaran minat bagi model sedan elektrik Volvo ES90 yang bakal dilancarkan pada bulan ini.

Sedan tersebut bakal ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) menyertai barisan model CKD Volvo sedia ada di Malaysia.

Menurut Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata, “tahun ini amat bermakna buat kami kerana Volvo menyambut ulang tahun ke-60 di Malaysia.

“Lebih istimewa, pencapaian ini diraikan dengan Volvo ES90 CKD, sedan elektrik penuh pertama kami.”

Volvo ES90 berkongsi platform SPA2 (Scalable Product Architecture) yang sama dengan Volvo EX90, menampilkan ciri-ciri berikut:

  • senibina elektrik 800V
  • pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (10-80 peratus SoC dalam 22 minit)
  • kuasa 333 PS dan 480 Nm
  • jarak pandu 651 km (data WLTP)
  • sistem perkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin
  • sokongan kemas kini perisian over-the-air (OTA)

Pendaftaran minat boleh dibuat menerusi pautan volvocars.com/my/cars/es90-electric

Volvo Car Malaysia turut mengumumkan insentif awal sebanyak 2 peratus bagi setiap pembelian ES90, terhad kepada 100 unit pertama yang ditempah sehingga 31 Mac 2026.

Result Japan hasilkan kit badan retro untuk Toyota GT86, siap lampu pop-up!

Lampu pop-up (ataupun lampu yang boleh disorokkan) merupakan antara ciri yang mampu membuatkan sesebuah kereta era 80-an dan 90-an nampak cool di atas jalan raya.

Namun disebabkan undang-undang keselamatan yang lebih ketat, kereta yang dilengkapi dengan lampu jenis itu akhirnya beransur-ansur lenyap dari pasaran.

Untuk mereka yang rindu dengan ciri tersebut, syarikat Jepun ini ada jawapannya.

Kit badan Neo86 mengubah muka hadapan Toyota GT86 dengan bampar bersegi gaya retro, hud enjin yang lebih ringkas dan paling penting: lampu pop-up yang berfungsi sepenuhnya!

Selain itu, terdapat juga lampu isyarat membelok berasingan, serta lampu kabus kuning yang menjadi aksesori wajib untuk kereta AE86 kedai tofu.

Melengkapkan lagi imej retro GT86 ini ialah padanan fender lebar, spoiler ekor itik, lampu belakang LED aftermarket, serta rim hitam Watanabe.

Kit Neo86 ini akan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026, dan dalam masa yang sama sesi pra-tempahan akan dibuka.

Berita baik, pihak Result Japan akan turut menawarkan kit Neo86 ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah ia akan turut diperluaskan ke serata dunia.

UMW Toyota catat jualan lebih 100 ribu untuk empat tahun berturut-turut

UMW Toyota Motor (UMWT) menutup tirai tahun 2025 dengan merekodkan jualan 14,284 unit sepanjang bulan Disember.

Ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan tahunannya mencapai 102,417 unit, sekaligus menandakan empat tahun berturut-turut Toyota melepasi paras 100,000 unit.

Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Toyota sebagai jenama automotif bukan nasional pertama dan satu‑satunya di Malaysia yang berjaya melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut — satu rekod yang belum pernah dicapai mana‑mana jenama bukan nasional sebelum ini.

Biarpun pasaran automotif tempatan semakin sengit dengan kemasukan jenama baharu dan peralihan ke arah mobiliti elektrik, prestasi cemerlang UMWT ini mencerminkan kepercayaan serta kesetiaan pelanggan Malaysia terhadap jenama Toyota.

Kejayaan ini diperkukuh dengan pendekatan berbilang jalan (Multi-Pathway) yang mengiktiraf keperluan mobiliti berbeza berdasarkan komuniti, corak penggunaan, dan tahap kesediaan infrastruktur.

Dengan gabungan enjin pembakaran dalaman cekap, teknologi hibrid, serta mobiliti masa depan, Toyota komited terhadap misi “Mobility for All” — memastikan kemajuan yang inklusif mengikut realiti pasaran tempatan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut merupakan pencapaian bermakna dan satu penghargaan kepada kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Toyota. Dalam pasaran yang sentiasa berubah, prestasi ini membuktikan kekuatan strategi jangka panjang kami, pelaburan dalam keupayaan tempatan, serta pemahaman mendalam tentang cara rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka.

“Berpandukan falsafah ‘Best in Town’ dan prinsip ‘Customer First’, kami kekal komited menyediakan penyelesaian mobiliti yang praktikal, inklusif dan boleh diharap — bukan sahaja hari ini, tetapi untuk generasi seterusnya.”

Dalam pada itu, UMWT telah memperkenalkan Toyota Extend Plan bermula 1 Disember 2025 membolehkan pelanggan yang layak melanjutkan tempoh jaminan asal lima-tahun kepada lapan-tahun, bergantung kepada model (Vios, Yaris, Corolla dan Corolla Cross) serta pakej yang dipilih (Asas atau Premium).

 

EZI TS1 rasmi lancar di Malaysia – harga RM4,288

Mforce Bike Holdings memperkenalkan satu lagi jenama motosikal baharu untuk pasaran tempatan, iaitu EZI.

Untuk makluman, EZI merupakan sebuah jenama skuter elektrik dibawah Kumpulan Keeway.

Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah EZI TS1, ditawarkan pada harga RM4,288 (atas jalan tidak termasuk pendaftaran dan insurans).

Dari segi spesifikasi, EZI TS1 menawarkan motor elektrik yang dipasang pada hab roda, menghasilkan kuasa 2.68 hp yang digandingkan dengan bateri Graphene 72V 32Ah.

EZI TS1 mengambil masa kira-kira 8 jam 30 minit untuk pengecasan penuh 0-100 peratus SoC.

Ia mampu bergerak sejauh 100 km (tunggangan 25 km/j), dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 65 km/j.

TS1 turut dilengkapi dengan sistem brek gabungan (CBS), rim 12 inci, skrin paparan meter LED tujuh inci, sistem pencahayaan LED, sistem tanpa kunci NFC, dan port pengecasan USB Type-A.

Terdapat tiga mod tunggangan disediakan, diikuti dengan fungsi Auto Cruise, Walk Assist Function, serta suis keselamatan topang sisi.

TS1 menawarkan pelana setinggi 755 mm, berat bersih sekitar 82 kg (tanpa bateri), serta beberapa ruang storan tersedia termasuklah di bawah tempat duduk.

SYM Malaysia umum warna baharu untuk Husky 150 SE, harga RM10,598

Bersempena dengan tahun baru, SYM Malaysia mengumumkan empat warna baharu untuk skuter SYM Husky 150 SE.

Empat warna yang dimaksudkan itu ialah Indigo Blue, White, Matt Grey dan Glossy Green.

 

Skuter ini boleh didapati di semuap pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia pada harga RM10,598 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

SYM Husky 150 SE dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 14.5 Nm @ 6,000 rpm dengan padanan transmisi CVT.

Antara ciri yang ada pada Husky 150 SE ialah:

  • fork teleskopik depan/penyerap hentak tunggal belakang
  • sistem tanpa kunci
  • paparan meter digital
  • lampu depan dan belakang LED
  • storan bawah pelana 22 liter
  • tangki bahan api 15 liter
  • tinggi pelana 785 mm
  • ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS)

PUBG Mobile umum kerjasama dengan Scuderia Ferrari HP

Permainan mudah alih paling popular di dunia PUBG Mobile mengumumkan kerjasama global akan datang bersama Scuderia Ferrari HP.

Kerjasama ini bakal membawa prestasi ikonik Ferrari ke dalam PUBG MOBILE pada tahun 2026, sekali gus menandakan kemunculan sulung legasi jenama tersebut dalam permainan.

Kerjasama sulung ini akan memperkenalkan rangkaian kandungan eksklusif bertemakan Ferrari dan Scuderia Ferrari HP ke dalam PUBG MOBILE.

“Kami berbangga untuk mengumumkan kerjasama pertama PUBG MOBILE bersama Scuderia Ferrari HP,” kata Vincent Wang, Ketua Penerbitan PUBG MOBILE di Tencent Games.

“Kerjasama ini membawa ketepatan serta semangat berprestasi tinggi yang menjadi identiti Ferrari ke dalam PUBG MOBILE, sekali gus memberi peluang kepada pemain di seluruh dunia untuk merasai intipati kecemerlangan dalam permainan pada tahun 2026.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PUBG MOBILE dalam kolaborasi yang menyatukan dua jenama yang didorong oleh prestasi, inovasi dan sikap tidak pernah berpuas hati,” kata Lorenzo Giorgetti, Ketua Hasil Perlumbaan di Ferrari.

“Menerusi kerjasama ini, pemain dapat merasai dedikasi Ferrari terhadap keunggulan kejuruteraan dalam persekitaran yang sepenuhnya baharu dan interaktif.”

Maklumat lanjut mengenai kerjasama PUBG MOBILE bersama Ferrari dan pasukan Formula 1 Scuderia Ferrari HP akan diumumkan tidak lama lagi, jadi nantikan perkembangan seterusnya.

AFAZ Kencana Sport 115 rasmi di Malaysia – harga RM5,799

Malaysia kini mempunyai sebuah lagi jenama motosikal baharu, iaitu AFAZ yang merupakan kerjasama antara pihak AFY Mobility Industries dan Suzuki.

Model pertama yang dilancarkan untuk tahun ini ialah AFAZ Kencana Sport 115, sebuah kapcai bersesaran 115 cc dengan harga jualan RM5,799.

Ia hadir dengan enjin silinder tunggal SOHC piawaian Euro4 yang mampu menjana kuasa setinggi 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 9.0 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan.

Enjin itu tadi turut mendapat sistem sejukan minyak Suzuki (SOCS).

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik depan diikuti penyerap hentak berkembar KYB di belakang.

Brek pula menggunakan rotor tunggal bersaiz 220 mm di depan, dibantu dengan brek gelendong di belakang.

Antara ciri yang tersedia termasuklah unit lampu LED depan belakang, paparan meter analog yang mudah untuk dibaca, tangki bahan api sebesar 4.2 liter dan tinggi pelana 760 mm.

Dua warna menarik ditawarkan iaitu Delima Red dan Laguna Blue.

MCOTY 2025: Undi sekarang dan menangi akses eksklusif ke Makan Malam Gala 2026

Undian bagi Malaysia Car of the Year 2025 kini telah dibuka, dan penganjur mengumumkan bahawa semua pengundi secara automatik layak menyertai cabutan bertuah untuk memenangi jemputan eksklusif ke Malaysia Car of the Year Awards Gala Dinner 2026 yang akan berlangsung pada 22 Januari 2026 di Dewan Perdana, Menara MITI.

Dua pemenang bertuah akan dipilih melalui cabutan rasmi dan akan menerima jemputan yang tidak dijual kepada umum. Jemputan rasmi akan dihantar melalui e‑mel selewat‑lewatnya pada 15 Januari 2026.

Undian boleh dibuat menerusi pautan INI.

Untuk makluman, acara berprestij ini merupakan malam kemuncak industri automotif negara, menghimpunkan pemimpin industri, inovator, wakil media dan tetamu kehormat bagi meraikan kecemerlangan dalam kejuruteraan, reka bentuk dan inovasi automotif.

Majlis gala ini turut menampilkan ketibaan karpet merah, majlis penganugerahan Malaysia Car of the Year, serta sesi rangkaian eksklusif bersama tokoh utama industri.

Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Tarikh: 22 Januari 2026 (Khamis)
  • Masa: 7.00 PM
  • Tempat: Dewan Perdana, Menara MITI

 

Kia Sales Malaysia mula operasi secara rasmi, Sportage kini serendah RM128,800

Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) memulakan operasinya di Malaysia dengan mengumumkan penstrukturan semula harga bagi portfolio produk sedia ada.

Berkuat kuasa 1 Januari 2026, rakyat Malaysia boleh mendapatkan model Kia pada harga baharu seperti berikut:

Kia Sportage

  • 2.0G 2WD – RM128,800
  • 2.0G 2WD Hi – RM138,800
  • 1.6T 2WD Hi – RM158,800
  • 1.6T 4WD Hi – RM178,800

Kia Carnival

  • 2.2D 8-Seater – RM193,000
  • 2.2D 7-Seater – RM218,000

Kia EV9

  • GT-Line AWD 7-Seater – RM368,888
  • GT-Line AWD 6-Seater – RM373,888

Kesemua kenderaan baharu Kia di Malaysia dilindungi jaminan sah selama lima tahun atau had perbatuan 150,000 km yang mana tiba dahulu.

Untuk meningkatkan keyakinan pemilik, KSM turut melaksanakan perkara berikut:

  • mengurangkan harga purata alat ganti tulen Kia sebanyak 15 peratus
  • mendirikan gudang alat ganti khusus di Shah Alam

Selain itu, KSM memperkenalkan program kesetiaan pelanggan Kia Circle yang menawarkan rebat tunai RM6,000 kepada pemilik Kia sedia ada untuk menaik taraf kepada kenderaan Kia baharu.

Program ini turut diperluas kepada ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa, pasangan dan anak-anak.

Terdapat juga program fleet korporat dan profesional Kia Professional yang menawarkan konsesi eksklusif sehingga 3 peratus kepada ahli badan profesional dan syarikat utama bagi pembelian kenderaan individu, serta insentif tersuai bagi pembelian armada yang lebih besar.

Sebagai pelengkap, KSM menawarkan perlindungan menyeluruh Kia Cares, sebuah program insurans yang dijamin oleh Berjaya Sompo, Zurich dan Zurich Takaful.

 

DAMD Resonator suntik elemen van Amerika pada Honda Stepwgn

Ada beberapa projek kit badan baharu yang akan dipamerkan oleh pengeluar kit badan terkemuka DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 pada bulan ini.

Salah satu yang mencuri tumpuan kami ialah kit badan Renonator yang mampu mengubah minivan Honda Stepwgn menjadi sebuah van gaya Amerika.

Imej asli Stepwgn yang minimalis itu telah digantikan dengan muka depan yang lebih bergaya, dimulakan dengan menggantikan lampu utama kepada lampu halogen empat segi bertindih, serta lampu membelok yang diasingkan.

Struktur jeriji juga lebih besar, diikuti dengan penutup hud yang lebih rata dan struktur tambahan bampar depan yang sengaja tidak dicat.

Unsur retro pada Renonator ini dikuatkan lagi dengan kehadiran decal kayu pada bahagian sisi, rim cakera krom Dean Cross Country serta lampu posisi amber pada bahagian bumbung.

Keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan dengan tayar Toyo Tires Open Country A/T.

Menariknya, DAMD mendakwa kit ini boleh dipasang tanpa pengubahsuaian yang besar, dan masih mengekalkan emblem asal Honda yang lengkap dengan penderia ADAS.

Anda juga boleh melihat minivan gaya Amerika ini dengan lebih dekat di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 yang bakal berlangsung pada bulan ini.

Mitsubishi Delica Mini berubah menjadi Pajero versi mini

Kei car kebiasaannya mempunyai rekaan yang lebih comel, sesuai dengan fizikalnya yang kecil.

Namun syarikat pengeluar kit badan terkemuka DAMD mempunyai idea untuk menjadikan penampilan kei car yang lebih agresif, lasak dan bergaya.

Seperti contoh, kit badan “Dali” (yang dipendekkan daripada Dakar Rally) berjaya mengubah rupa sebenar Mitsubishi Delica Mini yang comel menjadi sebuah jentera retro yang diinspirasikan daripada model Pajero era 80-an.

Jika anda perasan, lampu depan serba baharu itu lebih mirip kepada rekaan lampu yang wujud pada model Pajero generasi pertama.

Selain itu, ia turut hadir dengan struktur jeriji bersegi, lengkap dengan emblem asli Mitsubishi yang turut menempatkan pelbagai penderia ADAS disediakan.

Struktur bampar depan asal Delica Mini masih dikekalkan termasuklah perkataan “DELICA” dan liang pengudaraan asal, namun diperkemaskan dengan tambahan hiasan istimewa yang diakhiri dengan kemasan hitam berkilat.

Apa yang penting, segala penambahan tersebut tidak menjejaskan ukuran asal Delica Mini dan masih lagi mematuhi peraturan kei car yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun.

DAMD turut menawarkan set decal sisi kustom, rim aloi Cantabile 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Tires Open Country R/T, serta tidak ketinggalan rak bumbung.

Aksesori untuk ruang kabin pula masih lagi dalam peringkat fasa pembangunan. Harga pakej lengkap juga akan diumumkan kelak.

Model ini akan dipamerkan secara rasmi di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 berlangsung pada bulan ini.

 

DAMD Dali

Mitsubishi Delica Mini

Honda Fit 2026 facelift dikesan pakai muka baharu di China

Anda masih rindu dengan Honda Jazz yang sudah tidak lagi ditawarkan di sini?

Untuk makluman, generasi keempat Honda Jazz (atau Fit) telah pun wujud di pasaran Eropah dan Jepun sejak tahun 2020 lagi.

Ia membawakan imej yang lebih comel, namun dengan ukuran dimensi yang lebih kecil jika dibandingkan dengan City Hatchback.

Setelah versi facelift diperkenalkan pada tahun 2022, Honda Fit dijangka akan menerima kemas kini facelift yang kedua untuk model tahun 2026.

Berdasarkan imej daripada laman Autohome, Fit facelift kini menampilkan muka depan yang mengingatkan kita pada model buatan Vinfast.

Selain daripada unit lampu utama terpisah, ia juga menampilkan strukrut jeriji yang lebih nipis serta liang kemasukan udara yang agak kecil.

Untuk bahagian belakang, rekaan lampu masih lagi dikekalkan, kecuali bahagian bampar yang mempunyai tambahan struktur seakan diffuser yang menjadikan dimensi Fit bertambah panjang.

Laman Autohome juga melaporkan Fit facelift akan mendapat skrin infohibur 10.1 inci yang lebih besar, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay, Huawei Hicar dan Carlife.

Honda Fit 2026 facelift ini dijangka kekal dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC menghasilkan 124 PS dan 145 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.