Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Moto Morini Alltrhike 450 2026 rasmi di Malaysia – harga RM28,888

Seperti yang dijanjikan tahun lepas, jentera adventure kelas pertengahan Moto Morini Alltrhike 450 2026 kini rasmi di Malaysia.

Model baharu ini dijual pada harga RM28,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

 

Spesifikasi Alltrhike 450

Ia dikuasakan oleh enjin parallel-twin 449 cc menghasilkan kuasa 44.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 42 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear 6-kelajuan dan klac F.C.C. slipper.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik KYB boleh laras sepenuhnya, diikuti penyerap hentak tunggal KYB dengan larasan pra-beban dan redaman lantunan.

Brek pula menggunakan rotor terapung tunggal J.Juan depan dan belakang.

Alltrhike 450 turut dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan cengkaman (TCS), serta mod khas ALLTRHIKE yang dikhususkan untuk laluan off-road.

Ciri lain termasuklah:

  • sistem lampu LED penuh berserta DRL
  • rim jejari 21 inci depan/18 inci belakang
  • tangki bahan api 18.5 liter
  • tinggi pelana 850 mm
  • skrin paparan TFT 6-inci
  • port pengecasan USB Type-A dan Type-C
  • cermin penghadang angin boleh laras

Tiga warna menarik disediakan iaitu Earth Grey, Stone Black dan Brave White.

Turut didatangkan standard ialah dua kotak storan sisi (34 liter kiri, 30 liter kanan), kotak atas 39 liter, pelindung tangan serta palang pelindung enjin.

Mitsubishi Triton Championship Edition 2026 bakal lancar 11 Mac ini, harga dari RM155,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal melancarkan trak pikap Triton Championship Edition 2026 pada 11 Mac ini.

 

Edisi khas sempena kejayaan AXCR

Mitsubishi Triton Championship Edition 2026 merupakan edisi khas yang diinspirasikan daripada kemenangan jenama itu dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun 2025. 

Berbeza dengan Triton standard, Triton edisi khas ini ditawarkan dengan spesifikasi yang dipertingkat, gaya lebih garang, elemen inspirasi sukan permotoran, serta unit produksi terhad.

 

Dua varian eksklusif

Terdapat dua varian yang ditawarkan, iaitu Triton Athlete dan Triton AT Premium.

Triton Athlete ditawarkan dalam warna eksklusif Jet Black Mica, dan hanya 150 unit sahaja dihasilkan.

Antara naik taraf termasuklah:

  • decal badan eksklusif
  • padanan tayar all-terrain
  • sistem infohibur 9-inci
  • sistem pemantauan keliling (ARM)
  • sarung perehat kepala bertemakan AXCR

Sementara Triton AT Premium pula ditawarkan dalam 120 unit terhad, dan hadir dalam warna eksklusif White Diamond.

Ciri eksklusif varian ini termasuklah:

  • rim sports 18 inci warna hitam
  • styling bar
  • kemasan bawah bampar hadapan
  • decal badan khas
  • sarung perehat kepala bertemakan AXCR

Harga

Berikut merupakan harga jualan bagi kedua-dua varian Triton Championship Edition (atas jalan tanpa insurans):

  • Triton Athlete Championship Edition: RM169,980
  • Triton AT Premium Championship Edition: RM155,980

Sempena pelancaran, pelanggan yang membuat tempahan akan menerima sarung key fob eksklusif dan pek pelekat bertemakan sukan permotoran.

 

Spesifikasi Triton 2026

Triton dikuasakan oleh enjin diesel 2.4 liter turbo (4N16) yang didatangkan dengan dua talaan kuasa berbeza.

Pada model Triton AT Premium, enjin ini berupaya menghasilkan kuasa 184 PS dan daya kilas maksimum 430 Nm, dipadankan dengan sistem Easy Select 4WD.

Untuk Triton Athlete pula, ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 204 PS dan daya kilas 470 Nm dipadankan dengan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II dan sistem Active Yaw Control (AYC).

Triton Athlete turut hadir dengan kelengkapan keselamatan Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS) termasuklah fungsi berikut:

  • Sistem Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCM)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

 

Mitsubishi Triton AT Premium 2026

 

Mitsubishi Triton Athlete 2026

Zontes Malaysia lancar 4 skuter 368 Series 2026, harga dari RM23,800

Zontes Malaysia secara rasmi melancarkan empat buah model di bawah siri 368 untuk tahun 2026, dengan harga jualan seperti berikut:

  • Zontes 368D – RM23,800
  • Zontes 368E – RM25,800
  • Zontes 368K – RM27,800
  • Zontes 368G – RM28,800

Spesifikasi Zontes 368 Series

Keempat-empat skuter ini dikuasakan enjin silinder tunggal 368 cc menghasilkan kuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm.

Kesemua skuter ini dilengkapi dengan ciri bantuan elektronik seperti:

  • Kawalan Pendikit Elektronik (ETC) Bosch
  • Kawalan Jelajah
  • Kawalan Cengkaman (TCS)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Selain itu, terdapat juga sokongan aplikasi Zontes Smart App 3.0 membolehkan penunggang mengakses informasi masa nyata, sejarah tunggangan dan diagnostik sistem menerusi peranti pintar.

 

Inisiatif Geng4Ride

Dalam masa yang sama, Zontes Malaysia turut mengumumkan inisiatif ‘Geng4Ride’ yang terbahagi kepada empat kumpulan berbeza yang unik dan tersendiri.

 

Zontes 368D untuk Geng Stylo

Zontes 368D direka untuk tunggangan yang lebih meyakinkan di dalam kawasan urban.

Dengan berat sekitar 175 kg, 368D lebih ringan 25 kg berbanding model 350D, menyumbang kepada pengendalian yang lebih lincah.

Aspek praktikaliti disumbangkan oleh ruang storan sebesar 20 liter.

Terdapat tiga warna iaitu kelabu, hitam dan hijau.

 

Zontes 368E untuk Geng Convoy

Sebagai sebuah skuter maxi touring, Zontes 368E sememangnya sesuai untuk mereka yang gemar membuat tunggangan berkonvoi jarak jauh.

Sama seperti 368D, 368E juga lebih ringan berbanding model terdahulu, dan lengkap dengan ciri seperti:

  • pemanas grip bar hendal
  • pemanas tempat duduk
  • ruang pemijak kaki yang lebih lebar
  • ruang storan sebesar 50 liter boleh muat dua helmet

Terdapat dua warna disediakan iaitu kelabu dan hitam.

 

Zontes 368K untuk Geng Healing

Berbeza dengan penawaran model lain, 368K tampil dengan ciri yang lebih premium.

Antaranya ialah:

  • pelana gaya sofa dengan sokongan tulang belakang
  • storan sebesar 50 liter
  • skrin paparan Luxury UI 6.75 inci
  • cermin penghadang angin larasan elektrik
  • lampu LED projektor automatik
  • rak barang aloi magnesium

Zontes 368K ini hanya ditawarkan dalam warna tunggal kelabu.

 

Zontes 368G untuk Geng Explorer

Akhir sekali, skuter kembara Zontes 368 yang direka untuk penunggang yang mahu menikmati pengalaman outdoor dan off-road ringan.

Ia menampilkan ciri seperti:

  • tangki bahan api 17.5 liter
  • mod tunggangan Sport dan Touring
  • storan sebesar 52 liter

Pembeli boleh mendapatkan pilihan warna perang atau kelabu, dan dua varian berbeza:

  • Varian Standard dengan pelana 770 mm dan jarak kelegaan tanah 155 mm
  • Varian High dengan pelana 795 mm dan jarak kelegaan tanah 180 mm

Sejak dilancarkan Januari 2025, Zontes 368G telah terjual sebanyak lebih 5,000 unit menunjukkan popularitinya di kalangan penunggang di Malaysia.

 

Zontes 368D 2026

 

Zontes 368E 2026

 

Zontes 368K 2026

 

Zontes 368G 2026

Mforce labur RM10 juta bangunkan konsep ‘skuchai’ 200 cc, lancar awal 2027

Mforce Bike Holdings mengumumkan pembangunan model baharu bersesaran 200 cc yang dikenali sebagai “Skuchai”.

Sebanyak RM10 juta telah dilaburkan oleh Mforce merangkumi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kejuruteraan reka bentuk.

Selain itu, ia turut meliputi ujian ketahanan, pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia dan antarabangsa.

 

Skuchai – konsep tiga-dalam-satu

Konsep yang pertama di dunia ini menggabungkan tiga elemen berbeza, iaitu:

  • reka bentuk skuter
  • enjin kapcai
  • sistem CVT automatik

Antara kelebihan model “Skuchai” ini termasuklah:

  • aspek ergonomik dan keselesaan ala skuter
  • struktur yang ringan macam kapcai
  • transmisi CVT untuk tunggangan lebih praktikal dalam bandar
  • sesuai untuk perjalanan jarak sederhana dan tunggangan santai

Jurutera Malaysia sumbang idea konsep awal

Pembangunan model ini merupakan hasil kerjasama Mforce bersama rakan teknologi di China.

Ia merupakan langkah awal dalam memperkukuh rangkaian pembangunan global kumpulan Mforce, khususnya dalam aspek kejuruteraan platform dan integrasi teknologi.

Jurutera tempatan turut sama memainkan peranan penting dalam melahirkan idea konsep awal, lakaran reka bentuk, serta pembangunan model tanah liat sebelum memasuki fasa pengeluaran.

Gabungan kreativiti tempatan dan kepakaran antarabangsa memastikan model yang dihasil bukan sahaja berdaya saing dari sudut teknologi, malah menepati citarasa pengguna tempatan dan serantau.

 

Unit prototaip sudah siap, bakal lancar 2027

Menurut Asri Ahmad selaku Ketua Pengawai Operasi Mforce, model prototaip “skuchai” ini telah siap sepenuhnya dan kini dalam fasa penghasilan unit pra-pengeluaran untuk ujian ketahanan dan penilaian prestasi menyeluruh.

Beliau menambah, “skuchai” ini akan dipamerkan kepada umum buat kali pertama di Malaysia Bike Show 2026 pada Mei akan datang.

Pelancaran rasmi dijangka dibuat pada suku pertama tahun 2027.

Maklumat lanjut berkenaan spesifikasi penuh serta harga rasmi akan diumumkan menjelang tarikh pelancaran kelak.

Jaecoo J5 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM108,000

Omoda | Jaecoo Malaysia secara rasmi melancarkan model SUV baharu Jaecoo J5 2026 untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan dari RM102,000.

Harga yang disebutkan itu tadi sah bermula 5-15 Mac 2026, dan selepas itu akan dijual pada harga RM108,000.

Sebagai sebuah SUV segmen B, Jaecoo J5 bakal diposisikan sebagai alternatif yang lebih kecil kepada SUV Jaecoo J7 sedia ada.

 

Spesifikasi Jaecoo J5

Model ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana 147 PS dan 210 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT. Kadar bacaan penggunaan bahan api pula adalah sekitar 6.4 liter/100 km.

Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm dan menawarkan jarak antara roda 2,620 mm.

Antara pesaing di dalam kategori SUV segmen B, J5 memiliki panjang yang sama dengan Proton X50, dan pendek sedikit berbanding Chery Omoda 5, Chery Tiggo Cross dan Honda HR-V.

Namun, J5 memiliki kelebihan dari segi jarak antara roda yang lebih panjang, menyumbang kepada kabin yang lebih lapang.

Selain itu, ruang kargo J5 adalah sebesar 480 liter, dan mampu mencapai kapasiti 1,284 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 60:40.

Unik di dalam segmennya, Jaecoo J5 menawarkan tetapan suspensi topang MacPherson untuk gandar depan, dan tetapan multi-link di belakang.

Sebagai perbandingan, rata-rata model pesaing SUV segmen B dilengkapi dengan tetapan torsion beam yang lebih ringkas.

 

Kelengkapan luaran dan kabin

Sama seperti model Jaecoo yang lain, J5 membawakan penampilan luar premium yang diilhamkan daripada jenama SUV Britain.

Keempat-empat sudut dilengkapi dengan rim 18 inci serta balutan tayar 235/55 R18 untuk imej yang lebih bergaya.

Ciri lain termasuklah lampu utama berserta lampu nyalaan siang dalam perumah tunggal, struktur jeriji yang agak besar, pemegang pintu konvensional, pintu tailgate berkuasa serta spoiler di bahagian belakang.

Bahagian kabin J5 didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin kluster LCD 8 inci, skrin tengah 13.2 inci resolusi 2K dengan sokongan WiFi, Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio 8-pembesar suara.

Selain itu, J5 dilengkapi bumbung kaca panorama 1.45 meter persegi, serta slot pengecasan peranti tanpa wayar dengan pengudaraan aktif.

J5 juga menggunakan bahan kemasan mesra haiwan peliharaan yang mendapat pensijilan TUV.

 

Ciri keselamatan

Jaecoo J5 dilengkapi dengan ciri ADAS Tahap 2.5 yang turut merangkumi fungsi berikut:

  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Kekal Lorong (LKA)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Kawalan Jelajah Terintegrasi (ICC)
  • Kawalan Jelajah Adaptif Kelajuan Penuh (ACC)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (DAI)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Brek Trafik Silang Belakang (RCTB)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Pengehad Kelajuan Aktif (ASL)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Sistem Brek Berbilang Pelanggaran (MCB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
  • Bantuan Elak Kemudi (ESA)

 

Pakej ‘Early Bird’

Omoda | Jaecoo Malaysia turut menawarkan pakej ‘Early Bird’ bernilai RM8,000 sah dari 5-15 Mac 2026 merangkumi perkara berikut:

  • insurans tahun pertama (RM3,000)
  • rebat Duit Raya (bernilai RM3,000)
  • aksesori subwoofer, mikrofon tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi (bernilai RM2,000)

Aveta Bellagio 125 & Viper 180 2026 rasmi dilancarkan – harga dari RM6,998

Aveta Motor Malaysia rasmi melancarkan dua model skuter baharu, iaitu Bellagio 125 2026 dan Viper 180 2026.

Berikut merupakan harga jualan bagi model skuter yang dilancarkan:

  • Bellagio 125 – RM6,998
  • Viper 180 – RM8,998

Spesifikasi Aveta Bellagio 125

Aveta Bellagio 125 menampilkan rekaan retro-moden dan direka untuk tunggangan yang selesa dalam kawasan bandar.

Ia dikuasakan oleh enjin 124 cc sejukan udara menghasilkan 8.7 hp dan daya kilas 9.5 Nm.

Antara kelengkapan yang dibawakan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem brek cakera depan
  • skrin penghadang angin gaya klasik
  • paparan digital LCD berwarna penuh
  • tangki bahan api sebesar 6 liter

Terdapat tiga warna menarik iaitu Diamond White, Pistachio Green dan Carbon Black.

Spesifikasi Aveta Viper 180

Tidak seperti Bellagio 125, Viper 180 direka untuk penunggang yang mahukan rupa dan prestasi yang lebih bertenaga.

Ia hadir dengan enjin silinder tunggal 174 cc menghasilkan 18.2 hp dan 17.2 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem lampu LED penuh
  • bar hendal boleh laras
  • kamera perakam tunggangan hadapan
  • paparan TFT 7 inci dengan fungsi skrin sentuh
  • sistem ABS dua-saluran & kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktif

Tiga warna ditawarkan, iaitu Arctic White, Midnight Black dan Storm Gray.

Mercedes-Benz GLA 2026 Nightfall Edition kini di Malaysia – harga dari RM258,888

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan model baharu Mercedes-Benz GLA edisi Nightfall untuk tahun 2026.

Terdapat dua varian ditawarkan, iaitu:

  • GLA 200 Nightfall Edition – RM258,888
  • GLA 250 4MATIC Nightfall Edition – RM295,888

Ciri unik GLA 2026 edisi Nightfall

Mercedes-Benz membawakan beberapa ciri luaran unik khas untuk model ini, antaranya:

  • kemasan AMG Line & Night Package
  • sistem brek sports
  • tetapan suspensi lebih rendah
  • rim aloi AMG 19 inci

Sementara GLA 250 pula mendapat kelengkapan seperti:

  • rim aloi AMG 20 inci
  • sistem lampu Multibeam LED (mod lampu pintar, lampu aktif, suluhan tinggi Ultra Range, dan bantuan suluhan tinggi)

Untuk ruang kabin pula, GLA Nightfall Edition mendapat perincian berikut:

  • kemasan AMG Line
  • roof liner fabrik hitam
  • roda stereng sports balutan kulit nappa
  • tempat duduk sports
  • upholsteri Artico/Microcut
  • tali pinggang keledar kelabu

Dari segi kuasa, GLA 200 hadir dengan enjin 1,332 cc menghasilkan kuasa 163 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 270 Nm @ 2,000-3,500 rpm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.9 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

Sementara GLA 250 4MATIC pula mendapat tetapan enjin 2.0 liter 224 hp @ 5,500 rpm-6,100 rpm dan daya kilas 350 Nm @ 2,000-4,000 rpm dipadankan dengan sistem hibrid ringan (13 hp/150 Nm).

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 240 km/j.

 

Honda CR-V 2026 rasmi di Malaysia – varian hibrid baharu, harga dari RM178,200

Honda Malaysia mengumumkan kemas kini penawaran model SUV Honda CR-V untuk tahun 2026.

Terdapat varian baharu diperkenalkan, iaitu varian asas e:HEV E menggantikan CR-V varian turbo E.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • e:HEV E – RM178,200
  • V AWD – RM181,900
  • e:HEV RS – RM195,900

Ciri baharu Honda CR-V 2026

Antara perubahan yang dibawakan pada CR-V termasuklah warna baharu Blazing Red Pearl dan rim aloi 18 inci kemasan Sparkle Silver.

Sementara varian e:HEV pula mendapat rim aloi kemasan Berlina Black, diikuti dengan kemasan filem hairline yang lebih gelap pada papan pemuka (model RS).

Honda CR-V turut mendapat ciri standard baharu untuk semua varian, merangkumi:

  • skrin Display Audio 9-inci dengan sokongan Google Audio Services, Apple Carplay & Android Auto tanpa wayar
  • Digital Key membolehkan pemilik mengunci dan nyahkunci kenderaan guna peranti pintar
  • Sistem Informasi Titik Buta (BSI) menggantikan ciri Honda LaneWatch
  • Sistem Pemantauan Trafik Silang (CTM)

Honda CR-V hibrid dipacu oleh enjin 2.0L e:HEV dengan janaan kuasa 184 PS dan 335 Nm.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive, sementara Individual Drive Mode pula boleh disesuaikan mengikut kegemaran pemandu.

 

Nissan Serena e-Power 2026 rasmi di Malaysia – lima varian, harga dari RM154,800

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd secara rasmi melancarkan MPV hibrid Nissan Serena e-Power 2026 untuk pasaran Malaysia.

Nissan Serena e-Power 2026 merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dengan lima varian tersedia:

  • Serena X – RM154,800
  • Serena X Plus – RM159,800
  • Serena Highway Star – RM169,800
  • Serena Premium Highway Star – RM174,800
  • Serena Shiro Premium Highway Star – RM179,800

Pelanggan terawal akan menikmati rebat sehingga RM5,000 dan pakej aksesori bernilai RM8,000.

 

Sistem e-Power 

Ia dikuasakan oleh sistem e-Power terdiri daripada:

  • enjin 1.4 liter NA yang bertindak sebagai unit penjana kuasa
  • motor elektrik (163 PS/315 Nm)
  • pek bateri lithium-ion 1.77 kWh
  • transmisi automatik kelajuan tunggal

Serena e-Power menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, atau jarak pemanduan sehingga 1,000 km.

Ia juga turut dilengkapi dengan fungsi pemanduan pedal tunggal atau e-Pedal.

Serena e-Power menggunakan tetapan topang MacPherson di depan dan torsion beam untuk gandar belakang.

 

Luaran

Dari segi luaran, Serena e-Power menampilkan ciri seperti:

  • rekaan jeriji hadapan V-Motion
  • lampu projektor LED tiga lapis dengan fungsi Auto Levelling
  • lampu belakang gaya boomerang LED
  • pintu gelangsar di bahagian kiri dan kanan bukaan automatik
  • rim bersaiz 16 inci, tayar 205/65R16
  • Dual Back Door

Varian Highway Star dan ke atas mendapat tambahan ciri:

  • bampar aerodinamik depan dan belakang
  • lampu kabus LED
  • pintu gelangsar kuasa elektrik kiri & kanan

 

Kabin

Secara standard, Nissan Serena e-Power varian X dilengkapi dengan ciri berikut:

  • skrin kluster digital 7 inci
  • skrin infohibur 9 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • kawalan iklim dua zon automatik
  • tempat duduk fabrik dengan kemasan kalis air
  • dua port pengecasan USB
  • Intelligent Forward Collision Warning (IFCW)
  • Intelligent Emergency Braking (IEB)
  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Varian X mendapat tambahan ciri:

  • tempat duduk balutan leatherette
  • filem tinted V-Kool
  • skrin bumbung 14 inci

Untuk varian Highway Star pula mendapat ciri seperti:

  • tempat duduk balutan fabrik
  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • meja lipat untuk penumpang baris kedua
  • slot pengecasan peranti tanpa wayar
  • 6 port pengecasan USB
  • Intelligent Around View Monitor (kamera 360 darjah)
  • Pengesan Pergerakan Objek (MOD)
  • Sistem ProPilot (Intelligent Cruise Control, Intelligent Lane Intervention, Intelligent Blind Spot Intervention)

Varian Premium Highway Star mendapat tambahan ciri:

  • upholsteri kulit Nappa Premium Black
  • skrin bumbung 14 inci
  • filem tingkap V-Kool

Varian paling tinggi Shiro Premium Highway Star pula mendapat tambahan ciri:

  • upholsteri kulit nappa Luxurious White
  • skrin bumbung 14 inci bermotor
  • pintu tailgate berkuasa
  • plet ambang pintu LED

 

Pilihan warna

Berikut merupakan pilihan warna bagi setiap varian:

  • X & X Plus – Brilliant White dan Diamond Black
  • Highway Star – Turquoise Blue, Dark Metal Grey, Brilliant White dan Diamond Black

Varian Premium Highway Star dan Shiro Premium Highway Star mendapat kemasan warna dua tona dengan bumbung warna hitam.

Volvo Car Malaysia lancar kempen Selamat Raya 7-8 Mac ini, tawar rebat sehingga RM55 ribu!

Bersempena musim perayaan yang bakal tiba, Volvo Car Malaysia menganjurkan kempen ‘Selamat Raya’ pada 7-8 Mac ini.

Acara jualan tempoh terhad sepanjang hujung minggu itu menyediakan rebat tambahan dan tawaran eksklusif bagi model terpilih.

 

Rebat ‘Selamat Raya’ sehingga RM54,800

Antara model kenderaan terpilih termasuklah:

  • Volvo EX30 – rebat sehingga RM33,888
  • Volvo EX40 – rebat sehingga RM40,888
  • Volvo XC60 – rebat sehingga RM54,800
  • Volvo XC90 – rebat sehingga RM40,500 (atau sehingga RM60,000 untuk model tahun 2024)
  • Volvo EX90 – rebat sehingga RM30,000
  • Volvo ES90 – insentif tempahan awal 2 peratus sehingga 31 Mac 2026

Kerjasama dengan Carro

Volvo Car Malaysia turut bekerjasama dengan Carro untuk memudahkan urusan tukar beli kenderaan pelanggan sempena kempen ‘Selamat Raya’.

Pasukan Carro akan berada di lokasi untuk memberikan penilaian harga telus, adil dan serta-merta dan menghapuskan kerumitan proses jual kenderaan lama.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh berkunjung ke bilik pameran terdekat Volvo pada tarikh 7-8 Mac ini.

Toyota Harrier HEV 2026 rasmi di Malaysia – harga RM289,000

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan ketibaan SUV hibrid premium Toyota Harrier 2.5 HEV 2026 untuk pasaran Malaysia.

Toyota Harrier HEV 2026 ini dijual pada harga bermula dari RM289,000.

 

Spesifikasi Harrier HEV

Harrier HEV dikuasakan oleh Toyota Hybrid System (THS) generasi keempat, terdiri daripada:

  • Enjin Dynamic Force 2.5 liter A25A-FXS (178 PS @ 5,700 rpm, 221 Nm @ 3,600-5,200 rpm
  • Motor elektrik (120 PS/202 Nm)
  • Bateri Lithium-ion
  • Transmisi e-CVT

Secara keseluruhan, sistem ini mampu menjana kuasa setinggi 217 PS dengan kadar penggunaan bahan api 4.7 liter per 100 km.

Empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Normal, Sport dan EV.

Secara standard, Harrier HEV dilengkapi tetapan suspensi MacPherson/Trailing Wishbone lengkap dengan penstabil, sistem brek cakera, rim aloi 18 inci, lampu LED, dan sistem stereng kuasa elektrik.

 

Kelengkapan ruang kabin

Untuk ruang kabin pula, terdapat ciri seperti:

  • Skrin kluster digital 12.3 inci
  • Skrin infohibur 8 inci
  • Sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • Skrin paparan head-up 10.5 inci berwarna
  • Lima port pengecasan USB
  • Cermin pandang belakang digital
  • Kawalan iklim automatik dua zon
  • Upholsteri kulit
  • Tempat duduk pemandu larasan 12 tahap
  • Tempat duduk penumpang larasan 4 tahap
  • Fungsi memori 2 kedudukan untuk pemandu
  • Fungsi pemanas roda stereng

Kelengkapan keselamatan

Harrier HEV dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti

  • 7 beg udara SRS
  • ABS, EBD dan Bantuan Brek
  • Kawalan Cengkaman (TCS)
  • Bantuan Mula Mendaki (HAC)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pemantauan Keliling Panorama (PVM)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Kelengkapan Toyota Safety Sense pula merangkumi fungsi seperti:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Amaran Keluar Lorong (LDA)
  • Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)
  • Bantuan Papan Tanda (RSA)

Terdapat tiga warna pilihan iaitu Platinum White Pearl, Grey Metallic dan Precious Black, dipadankan dengan tema warna hitam untuk ruang kabin.

Lima perkara buat kami terpikat dengan Mitsubishi Xforce 2026 – pandu uji ringkas

Mitsubishi Xforce 2026 tiba pada saat pasaran SUV subkompak (segmen B) Malaysia semakin padat dan sengit persaingannya.

Berdasarkan sesi pandu uji ringkas pertama ini, jelas model baharu ini bukan sekadar cuba menumpang gelombang populariti SUV semata-mata.

Persoalannya, sejauh mana Xforce dapat menonjolkan diri dalam pasaran yang dibanjiri dengan bermacam pilihan dari pengeluar tempatan, China dan juga Jepun?

Berikut merupakan lima perkara yang buatkan kami terpikat dengan pakej terbaharu daripada Mitsubishi Motors Malaysia ini.

 

Rupa paras tersendiri

Mitsubishi Xforce diberikan pendekatan Dynamic Shield yang jauh lebih moden.

Dengan ciri seperti lampu utama yang besar dan tajam serta padanan rim 18 inci, tidak menghairankan apabila SUV ini nampak lebih menyerlah dan menonjol bila dipandu atas jalan raya.

Mujur juga Mitsubishi tidak terikut-ikut dengan trend bar lampu LED melintang seperti kebanyakan pengeluar.

Rekaan yang ditampilkan pada luaran Xforce ini turut menyumbang kepada aspek aerodinamik yang jauh lebih baik berbanding model pesaing.

Bila kali terakhir anda melihat sebuah kereta Mitsubishi yang hensem bergaya macam Xforce ini?

 

Ruang kabin moden

Pada pendapat penulis, susun atur ruang kokpit Mitsubishi Xforce merupakan antara yang paling kemas untuk sebuah SUV segmen B.

Paparan menu mudah untuk dibaca, dan skrin kluster digital pula sengaja diposisikan lebih dalam supaya rasa lebih natural.

Tidaklah terasa macam memandang dua keping iPad yang bertenggek atas papan pemuka.

Yang paling penulis suka? Ada paparan skor pemanduan gaya Pajero dan meter kapal terbang disediakan pada skrin tengah.

Butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan penukaran mod pemanduan direka besar dan mudah untuk dicapai pemandu.

Selain itu, Xforce turut menawarkan tempat duduk yang cukup selesa di baris depan dan belakang, biarpun hanya dilengkapi dengan larasan manual.

Ruang kargo cukup besar, sekitar 410 liter untuk memuatkan barangan keperluan harian.

Poin seterusnya akan meletakkan Xforce sebagai salah satu SUV unik dalam segmennya.

 

Sistem audio Yamaha

Unik dalam segmennya disebabkan oleh sistem audio yang dibangunkan secara khusus oleh Yamaha!

Terdapat sehingga lapan pembesar suara dipasang pada ruang kabin Xforce merangkumi komponen berikut:

  • 25mm tweeter × 2 pada tiang A
  • 160mm woofer × 2
  • 160mm/25mm co-axial × 2 untuk penumpang baris kedua

Berdasarkan pengalaman ringkas tempoh hari, penulis mengakui kualiti dan lontaran bunyi yang dihasilkan daripada sistem audio Yamaha ini lebih dekat di hati berbanding model pesaing.

Terasa macam sedang pandu kenderaan yang jauh lebih mahal harganya.

 

Dinamik pemanduan inspirasi Evo

SUV ini dibina dengan meletakkan penggunaan harian di Asia Tenggara sebagai matlamat utama.

Biarpun menggunakan platform Xpander, Xforce diberikan struktur casis yang lebih tegar diikuti talaan suspensi yang lebih sesuai dengan keadaan jalan di sini.

Tidak menghairankan apabila Xforce mampu menawarkan dinamik pengendalian yang lebih baik berbanding Xpander.

Mungkin juga lebih baik berbanding kebanyakan pesaing di pasaran.

Rahsianya? Xforce mendapat sentuhan daripada Masahiro Tamura, Ketua Jurutera Produk MMC yang merangkap bekas jurutera jentera berprestasi tinggi Mitsubishi Lancer Evolution!

Buktinya ialah kehadiran ciri Active Yaw Control (AYC) untuk memastikan pengendalian SUV ini lebih meyakinkan atas jalan raya.

Kurang olengan badan dirasakan, malah maklum balas sistem stereng juga lebih tepat dan meyakinkan walaupun ada kalanya SUV ini dipandu sedikit agresif di kawasan berselekoh.

Enjin MIVEC 1.5 liter 4A91 berkuasa 103 hp dan 141 Nm itu dipadankan dengan transmisi CVT untuk menawarkan pemanduan permulaan yang lebih lancar.

Respons pendikit yang ringan, ditambah pula dengan sistem brek yang meyakinkan untuk memastikan SUV ini berhenti dengan baik.

Cuma ia mungkin tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kaki kanan terlebih berat, disebabkan respons enjin yang tidak memberangsangkan ketika kuasa ekstra diperlukan.

Pendapat kami, Mitsubishi Xforce ini lebih sesuai dipandu santai sesuai dengan sifatnya sebagai SUV urban. Laju-laju nak pergi mana?

 

Mod pemanduan sesuai dengan keadaan cuaca ASEAN

Mitsubishi Xforce dilengkapi dengan beberapa mod pemanduan termasuklah Normal, Gravel, Mud dan juga Wet.

Tidak terhad kepada sekadar talaan output kuasa, mod pemanduan Xforce melaraskan tetapan respons pendikit, kawalan cengkaman, pengendalian serta ciri Active Yaw Control bergantung kepada situasi.

Mod pemanduan yang paling berguna untuk keadaan cuaca sekarang sudah semestinya mod Wet.

Kami diberikan peluang untuk menilai kecekapan mod ini di atas jalan yang sengaja dibasahkan untuk mensimulasi keadaan basah bila hujan.

Dalam keadaan biasa, SUV akan membuang keluar ketika kelajuan ditingkatkan.

Namun pengendalian menjadi lebih mudah dikawal apabila mod Wet diaktifkan dan Xforce dirasakan lebih melekat di atas jalan yang licin.

Menurut Mitsubishi, mod Wet ini merupakan mod baharu yang dibangunkan khusus untuk pelanggan ASEAN di kawasan yang mempunyai kadar kekerapan hujan yang tinggi.

 

Kesimpulan

Mitsubishi Xforce merupakan satu produk menarik yang ditawarkan MMM untuk pasaran tempatan.

Reka bentuk yang lebih matang, kabin yang jauh lebih moden, serta talaan pemanduan yang disesuaikan untuk jalan Asia Tenggara, ia memberi gambaran awal bahawa Mitsubishi benar‑benar mahu kembali menjadi pilihan utama dalam kelas ini.

Mitsubishi Xforce 2026 bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan bagi kami harga jualan anggaran dari RM110,000 bukanlah satu masalah besar untuk para peminat tegar Mitsubishi.

 

Chery KP31 Concept: Trak pikap diesel PHEV, bakal lancar di Australia Q4 ini

Inilah dia trak pikap Chery yang bakal mendarat di Australia pada suku keempat (Q4) tahun ini, dengan kod nama KP31.

Di pasaran China, KP31 lebih dikenali sebagai Rely P3X.

Konsep KP31 ini merupakan sebuah trak pikap kabin berkembar yang mempunyai penggayaan berkotak.

Muka depan dengan unit lampu bulat mengingatkan kita pada model Jeep Gladiator.

Ia turut menampilkan tayar BFGoodrich AT, cermin sisi yang besar, pemegang pintu tradisional dan logo Chery bercahaya.

 

Spesifikasi Chery KP31

Konsep ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,610 mm, lebar 1,920 mm, dan tinggi 1,925 mm.

Namun untuk versi produksi, dimensi panjang itu tadi bakal dipendekkan kepada 5,450 mm, dengan had beban 1 tan.

Trak ini juga mampu menarik muatan tunda seberat 3.5 tan.

 

Trak diesel PHEV pertama di dunia

Chery turut mendakwa KP31 merupakan trak diesel plug-in hybrid (PHEV) yang pertama di dunia.

Ia dilengkapi enjin diesel 2.5 liter turbo dengan tahap penggunaan bahan api 10 peratus lebih cekap berbanding enjin diesel standard.

Selain itu, ia mampu mencapai tahap kecekapan haba 47 peratus dan kurang gegaran sebanyak 30 peratus.

Jenama Rely khas untuk model trak pikap

Chery turut mendedahkan perancangan untuk menjadikan Rely sebagai jenama tersendiri yang menawarkan pelbagai jenis model trak pikap.

Ini merupakan model terbaharu yang bakal tiba setelah kemunculan model Rely R08 (Chery Himla di sesetengah pasaran) dan Rely Reaolc yang mempunyai muka iras Ford Ranger.

Namun untuk pasaran Australia, KP31 akan dipasarkan di bawah jenama Chery.

Trak pikap ini bakal bersaing dengan model seperti BYD Shark 6 dan GWM Cannon.

Adakah ini Toyota GR Celica serba baharu?

Satu jentera rali misteri dipercayai sebagai Toyota GR Celica dikesan sedang diuji di Portugal.

Berdasarkan gambar dan video yang muncul di laman media sosial, jentera tersebut membawakan bentuk badan coupe dua pintu yang dibaluti pelekat samaran Toyota Gazoo Racing.

 

Ia juga hadir dengan spoiler belakang yang agak tinggi, skup bumbung serta fender yang agak lebar.

Tidak banyak info didedahkan buat masa ini, namun besar kemungkinan ia adalah petunjuk jentera Celica yang bakal melengkapi barisan kereta pantas GR akan datang.

 

 

‘Celica’ pernah muncul dua tahun lepas

Bertempat di SEMA 2024, Toyota ada mempamerkan sebuah jentera GR86 Rally Legacy Concept.

Jentera ini turut disebut sebagai model pra-tonton untuk Celica berdasarkan ciri-ciri berikut:

  • liveri klasik yang diinspirasikan daripada Celica WRC era 90-an
  • enjin G16E-GTS 1.6L turbo menggantikan nadi boxer asal
  • sistem pacuan semua roda GR-Four

 

GR Celica dengan enjin 2.0L?

Usah terlupa, Toyota juga sedang membangunkan enjin empat silinder sebaris generasi baharu yang boleh diaplikasikan pada jentera pantas.

Enjin ‘red top’ bersesaran 2.0 liter dengan pengecas turbo itu dikatakan mampu menjana lebih 400 PS dan 500 Nm.

Berbanding enjin 2.4 liter turbo sedia ada, enjin baharu ini mempunyai pakej lebih kompak dan jauh lebih berkuasa.

Untuk Celica, memang sesuai sangat.

 

Toyota GR86 Rally Concept

Leapmotor C10 Plus 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM148,000

Stellantis Malaysia mengumumkan ketibaan varian baharu SUV elektrik Leapmotor C10 Plus 2026 untuk pasaran tempatan.

Varian baharu ini dijual pada harga dari RM148,000.

 

Spesifikasi C10 Plus

Berbanding model sedia ada, C10 Plus mendapat naik taraf seperti:

  • senibina elektrik 800V
  • pek bateri 81.9 kWh
  • jarak pandu 510 km (data WLTP)
  • motor elektrik berkuasa 299 hp, 360 Nm
  • pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat

Biarpun dengan unit rangkaian kuasa yang lebih bertenaga, C10 Plus kini lebih cekap tenaga, dengan kadar penggunaan 15.1 Wh/km.

C10 Plus turut menyokong pengecasan pantas DC 180 kW, membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam 22 minit.

 

Edisi eksklusif C10 Plus Night Edition

C10 Plus boleh didapati dalam versi Night Edition, terhad kepada 50 unit sahaja.

Dengan nilai tambahan RM8,000, pembeli C10 Plus Night Edition akan mendapat ciri eksklusif seperti :

  • kemasan warna dua tona
  • kit badan aerodinamik
  • rim Trident 20 inci kemasan hitam kusam

Promosi

Rakyat Malaysia boleh menikmati penjimatan sehingga RM13,000 merangkumi rebat RM9,000 serta subsidi insurans RM4,000 untuk pelanggan terawal.

Promosi ini sah sehingga 31 Mac 2026.

Leapmotor C10 Plus dan C10 Plus Night Edition turut dipamerkan di Orange Concourse Sunway Pyramid bermula 27 Februari hingga 1 Mac 2026.

Aveta Vanguard 250 2026: 10 ciri baharu, harga dari RM16,688

Aveta Motor Malaysia mengumumkan ketibaan model Vanguard 250 2026 versi naik taraf dengan harga jualan RM16,688.

Skuter 250 cc ini akan mula berada di pasaran awal Mac ini.

 

10 ciri baharu Aveta Vanguard 250

Untuk model tahun 2026 ini, terdapat 10 ciri baharu yang dimuatkan pada Vanguard 250, antaranya:

  • skrin sentuh TFT sebesar 7 inci
  • skrin penghadang angin larasn elektrik
  • reka bentuk suis kawalan baharu
  • pelindung ekzos yang lebih panjang
  • penutup enjin baharu
  • reka bentuk tapak kaki pembonceng yang lebih selesa
  • ruang simpanan bawah pelana mampu memuatkan helmet full-face
  • reka bentuk tempat duduk baharu
  • penyerap hentak belakang boleh laras
  • sistem ABS dan TCS yang boleh dimatikan

Warna baharu

Aveta Vanguard 250 boleh didapati dalam pilihan warna berikut:

  • Nano Green
  • Desert Bronze.

Spesifikasi asas tidak berubah

Vanguard 250 2026 mengekalkan enjin 244.2 cc menghasilkan kuasa 24.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6,500 rpm.

Kelengkapan lain yang dimuatkan termasuklah:

  • fork teleskopik 37 mm
  • penyerap hentak berkembar gas di belakang
  • angkup brek empat omboh di depan
  • angkup brek dua omboh di belakang
  • rim 15 inci depan dan 14 inci belakang
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

Ferrari Luce EV dapat rekaan kabin sentuhan bekas pereka iPhone

Ferrari akhirnya mendedahkan nama rasmi bagi model kenderaan elektrik pertama (EV) mereka, iaitu Ferrari Luce yang sebelum ini digelar sebagai Elettrica.

Luce membawa maksud cahaya dalam bahasa Itali.

Serentak dengan pengumuman nama tersebut, Ferrari turut sama mendedahkan rekaan sebenar kabin Luce.

 

Sentuhan bekas pereka iPhone pada kabin Ferrari Luce

Ferrari bekerjasama dengan LoveForm, sebuah firma rekaan yang diasaskan oleh bekas pereka Apple Jony Ive.

Jony Ive sebelum ini memainkan peranan penting untuk produk seperti Apple Watch, iMac, iPhone, Macbook serta sistem operasi iOS.

Tidak menghairankan bila kita lihat susun atur kokpit Luce lebih mirip kepada sebuah kereta buatan Apple berbanding jenama Ferrari itu sendiri.

 

Fob kunci unik

Bermula dengan fob kunci itu sendiri, ia diperbuat daripada kaca Corning Gorilla dengan paparan E Ink.

Apabila dimasukkan ke dalam dok konsol tengah, kunci itu akan berubah warna daripada kuning ke hitam, dalam masa yang sama panel kawalan akan dihidupkan.

 

Kokpit klasik moden

Berbanding trend EV masa kini yang dipengaruhi skrin besar, Luce menekankan pendekatan kawalan fizikal yang lebih natural.

Roda stereng klasik tiga jejari gaya Nardi 50-60an itu dibina daripada aluminium 100 peratus kitar semula, dan 400 gram lebih ringan berbanding stereng Ferrari biasa.

Terdapat dua modul analog yang diinspirasikan daripada F1, dan setiap butang diuji bagi memastikan rasa mekanikal dan bunyi yang memuaskan.

 

Meter kluster & stereng bergerak seiring

Di sebalik stereng terdapat skrin kluster digital, terdiri daripada dua panel paparan bertindih untuk efek tiga dimensi gaya aviasi.

Skrin paparan tersebut akan turut bergerak sama ketika kedudukan stereng dilaras.

Walaupun digital, Ferrari tetap mengekalkan paparan gaya analog yang ringkas dan mudah dibaca sepintas lalu.

 

Skrin tengah boleh laras

Uniknya skrin tengah ini, ia boleh dilaras kedudukan supaya menghadap ke arah pemandu atau penumpang.

Terdapat palm rest untuk operasi yang lebih stabil dan ergonomik.

Ia turut menampilkan kawalan fizikal untuk sistem iklim kabin, dan empat mod paparan iaitu jam, kronograf, kompas dan launch control.

 

Sedia memandu?

Pada konsol tengah, anda akan melihat tuil transmisi yang terletak bersebelahan dengan lokasi dok kunci itu tadi.

Ia diperbuat daripada kaca Corning Gorilla dan mempunyai efek grafik yang tersendiri.

Tombol Launch Control pula terletak pada panel atas kepala.

 

Spesifikasi teknikal Ferrari Luce

Unit rangkaian kuasa Ferrari Luce dibangunkan sepenuhnya secara dalaman menampilkan tetapan empat motor elektrik.

Dua pada gandar depan menghasilkan kuasa 141 hp setiap satu, manakala dua di belakang menghasilkan 416 hp setiap satu.

Kuasa keseluruhan mencecah 986 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat.

Pek bateri NMC (buatan SK On) 122 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 529 km mengikut data WLTP.

Tiada siapa mahukan sebuah Lamborghini Lanzador EV

Lamborghini Lanzador merupakan cubaan pengeluar dari Sant’Agata Bolognese untuk cuba memasuki dunia sifar emisi.

Ia merupakan sebuah grand tourer 2+2 yang diberikan penggayaan agresif Lamborghini, dan dipacu oleh dua motor elektrik.

 

Lanzador sejuk sebelum masuk produksi

Sayang sekali, projek Lanzador ini tidak mampu untuk direalisasikan disebabkan tiada permintaan daripada pelanggan.

Menurut laporan The Sunday Times, CEO Lamborghini Stephan Winkelmann mendedahkan permintaan untuk kenderaan sebegini “hampir sifar”.

Jelasnya lagi, kebanyakan pembeli di dalam segmen itu mahukan kereta yang menawarkan penampilan, bunyi dan rasa seperti supercar.

 

Kereta pantas perlukan bunyi dan rasa macam supercar

Beliau menambah, bunyi yang datang daripada enjin merupakan faktor utama jualan bagi kenderaan mewah, dan sukar untuk mendapatkan pengalaman tersebut daripada motor elektrik.

Kenderaan elektrik (EV) dalam bentuk sekarang gagal menawarkan hubungan emosi yang khusus itu,” ujarnya.

Winkelmann mengakui pihaknya mengambil masa lebih daripada setahun sebelum membuat keputusan untuk tidak meneruskan produksi Lanzador.

Setelah perbincangan dibuat bersama pelanggan dan pengedar, Lamborghini secara senyap menamatkan projek tersebut pada akhir tahun 2025.

 

Lamborghini Lanzador PHEV menyusul

Namun begitu, Lamborghini merancang untuk memperkenalkan versi plug-in hybrid (PHEV) menjelang akhir dekad ini.

Melihatkan kepada perkembangan tersebut, Lamborghini turut membuat keputusan untuk tidak meneruskan projek Urus EV, bimbang ia sukar untuk dijual.

Naik taraf Suzuki Jimny anda dengan kit badan gaya Toyota Land Cruiser 70 Series

Toyota Land Cruiser 70 Series merupakan antara kenderaan era 80-an yang masih lagi kekal diproduksikan sehingga kini.

Sebabnya mudah, dalam spesifikasi standard pun masih tahan lasak dan berkeupayaan untuk menawan apa jua bentuk muka bumi.

Tidak banyak tempat atas muka bumi ini yang masih menawarkan Land Cruiser 70 Series, namun jika anda mahukan sesuatu yang hampir serupa, inilah jawapannya.

Kit badan 70YO.70 untuk Suzuki Jimny yang dihasilkan oleh pakar dari Jepun, Jimmy Land bersama penala Garage Ill.

 

 

Toyota Land Cruiser 70 Series tapi versi mini

Berbeza dengan kit badan Jimny yang biasa kita lihat, modifikasi untuk Jimny gaya 70 Series ini dilihat lebih menyeluruh terutama pada bahagian depan.

Antara perubahan yang dibawakan termasuklah:

  • struktur bonet yang lebih tebal
  • lencana 70YO.70 yang nampak macam TOYOTA dari jauh
  • lampu bulat LED
  • lampu isyarat membelok
  • jeriji khas

Selain itu, beberapa sentuhan tambahan diberikan pada Jimny ini untuk melengkapkan imej Land Cruiser 70 Series seperti:

  • liang udara sisi
  • jeriji palsu di belakang
  • penutup AdBlue hiasan (walaupun Jimny sebenarnya masih pakai enjin petrol!)

Berdasarkan imej yang dibekalkan, kit badan ini juga dilihat bersesuaian untuk dipadankan dengan Jimny versi lima pintu.

 

Aksesori ekstra gaya Land Cruiser

Selain senarai yang disebutkan di atas, pemilik Jimny boleh memadankan kit badan 70YO.70 ini dengan aksesori off-road.

Antaranya termasuklah snorkel, rim aloi dengan balutan tayar all-terrain, serta naik taraf sistem suspensi yang lebih tinggi.

 

 

Spesifikasi enjin masih standard badak

Di sebalik perubahan gaya Land Cruiser 70 Series, Jimny masih mengekalkan enjin empat silinder sebaris 1.5L NA menghasilkan 101 hp.

Memang tidak berkuasa berbanding prestasi Land Cruiser dengan enjin diesel turbo 2.8 liter.

Kuasa dihantar ke semua roda melalui transmisi manual atau automatik, kedua‑duanya dipadankan dengan sistem 4WD.

 

 

Versi siap cuma RM106 ribu

Difahamkan terdapat beberapa unit siap bina yang sudah pun mula dijual di pasaran Jepun, dengan pilihan warna Sand Beige, White dan Black.

Harga jualan untuk Jimny versi Beige yang dipaparkan ini sekitar ¥4,250,000 (RM106,154) sahaja.

 

Toyota Land Cruiser 70 Series

SPPF Malaysia perkenal teknologi perlindungan cat automotif generasi baharu dari Jepun

SPPF Malaysia lancar teknologi perlindungan cat automotif generasi baharu di AutoDetailer Studio baru-baru ini.

Sistem yang dibangunkan sepenuhnya di Jepun ini memfokuskan kepada ketahanan lebih tinggi, kejelasan optik lebih baik dan kemasan premium untuk pemilik kenderaan moden.

 

Teknologi moden lindungi cat kereta

SPPF menggunakan Paintwork Fusion Bonding, menghasilkan lapisan licin tanpa pelekat dengan ketebalan boleh laras mengikut keperluan.

Ia turut menyokong Renewable Surface Engineering, membolehkan permukaan dipulihkan berkali‑kali tanpa menjejaskan lapisan asal.

Dengan Infinite Layer Technology lapisan tambahan boleh ditambah dari semasa ke semasa untuk meningkatkan perlindungan tanpa perlu menggantikan keseluruhan sistem.

Dibangunkan dengan DNA perlumbaan, SPPF diuji dalam keadaan ekstrem sukan permotoran, menawarkan ketahanan lebih tinggi berbanding filem perlindungan tradisional.

Segmen Kejuruteraan Warna pula menunjukkan bagaimana SPPF mengintegrasikan sistem cat OEM seperti BASF Porsche dan PPG Ferrari ke dalam struktur perlindungan.

Ini membolehkan kemasan tersuai sambil mengekalkan keaslian cat asal — sesuai untuk pengumpul dan peminat automotif.

 

Aplikasi digital SPPF.co

SPPF turut memperkenalkan aplikasi SPPF.co, yang memberikan identiti digital kepada setiap kenderaan, membolehkan pemilik mengesahkan ketulenan perlindungan serta melihat rekod lengkap penyelenggaraan.

Aplikasi ini dijadualkan dilancarkan pada separuh kedua 2026.