Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

iCAUR 03 – EV dengan jarak pandu 426 km, harga anggaran dari RM145k

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, sebuah lagi jenama baharu sudah pun rasmi bertapak di pasaran tempatan, iaitu iCAUR.

Untuk makluman, iCAUR (atau iCAR di pasaran luar) telah ditubuhkan pada tahun 2023 dan merupakan sebuah sub-jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) di bawah naungan Chery.

Buat masa ini, iCAUR mempunyai dua buah model SUV berkuasa elektrik, iaitu iCAUR 03 dan iCAUR V23.

iCAUR 03 atau nama lainnya Jaecoo J6 di pasaran luar membawakan reka bentuk badan berkotak, dan boleh didapati dalam versi pacuan dua roda atau pacuan semua roda pintar (iWD).

Versi 2WD dipacu oleh motor elektrik gandar belakang menghasilkan 181 hp dan 220 Nm, digandingkan dengan pek bateri 65.7 kWh untuk jarak gerak sehingga 426 km.

Versi iWD pula menghamburkan kuasa 275 hp dan 385 Nm, dibantu dengan pek bateri 69.8 kWh untuk jarak gerak sejauh 418 km.

Pengecasan pantas DC 80 kW membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Terdapat enam mod pemanduan iROAD yang boleh dipilih mengikut kesesuaian keadaan pemanduan semasa.

Untuk ruang kabin disediakan skrin kluster instrumen 9.2 inci, skrin tengah 15.6 inci, sistem audio INFINITY dengan 12 pembesar suara, serta bantuan kamera 540 darjah.

Ciri bantuan pemandu termaju ADAS 2.5 turut disediakan merangkumi Bantuan Penukaran Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif, serta Bantuan Kesesakan Lalu Lintas.

Tempahan untuk iCAUR 03 kini dibuka, dengan harga jualan anggaran dari RM145,000 untuk versi 2WD, dan RM155,000 untuk versi iWD.

Setiap pelanggan yang membuat tempahan di Malaysia Autoshow 2025 akan menerima model skala iCAUR 03 edisi terhad apabila menerima kenderaan masing-masing pada suku ketiga 2025.

iCAUR 03T

Kawasaki H2 SX SE 2025 kini di Malaysia, dari RM129,400

MODENAS melancarkan jentera sport touring berkuasa tinggi Kawasaki Ninja H2 SX SE di Malaysia Autoshow 2025.

Dengan enjin empat silinder sebaris 998 cc, ia mampu menjana kuasa 210 PS @ 11,000 rpm (dengan RAM Air) dan daya kilas maksimum 137 Nm @ 8,500 rpm.

Bacaan penggunaan bahan api adalah sekitar 5.4 liter untuk setiap 100 km.

Ninja H2 SX SE menggunakan kerangka trellis yang disokong oleh sistem suspensi elektronik semi-aktif (KECS) yang terdiri daripada fork hadapan terbalik saiz 43 mm boleh laras, diikuti penyerap hentak tunggal BFRC di belakang.

Aspek tunggangan dibantu dengan pelbagai ciri elektronik seperti unit pengukuran inersia enam paksi (IMU), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Cornering Management Fuction (KCFM), serta Kawasaki Traction Control (KTRC).

Sistem brek terdiri daripada rotor hadapan berkembar 320 mm dengan angkup Brembo Stylema empat omboh, diikuti rotor tunggal 250 mm dengan angkup dua omboh di belakang.

Tangki bahan api boleh memuatkan sehingga 19 liter minyak, sementara tinggi pelana pula adalah sekitar 835 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki H2 SX SE dijual pada harga RM129,400.

MODENAS lancar skuter Kymco DTX 250 – harga RM22,500

Sebuah lagi skuter segmen 250 cc sudah pun rasmi dilancarkan oleh MODENAS di Malaysia Autoshow 2025, iaitu Kymco DTX 250.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 246 cc yang mampu menjana kuasa 22.8 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi CVT automatik.

Antara ciri yang dimuatkan seperti skrin penghadang angin, lampu utama LED depan dan belakang, paparan meter LCD, dan tangki bahan api sebesar 13.5 liter.

Skuter dwi-kegunaan ini dijual pada harga bermula dari RM22,500, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

MODENAS lancar skuter elektrik MEV-1, MEV-2 – harga dari RM9,878

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, MODENAS melancarkan dua buah model skuter berkuasa elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu MEV-1 dan juga MEV-2.

Modenas MEV-1 sebelum ini sudah digunakan oleh Pos Malaysia untuk tujuan penghantaran barang, dan kini sudah boleh dibeli oleh orang awam.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik 6.6 hp, berkeupayaan untuk mencapai kelajuan maksimum 85 km/j.

Skuter MEV-1 ini menggunakan bateri ATL Lithium yang mampu menawarkan jarak tunggangan sehingga 135 km untuk sekali cas penuh.

Antara ciri lain termasuklah pengecas on-board, suspensi hadapan teleskopik, serta brek cakera hidraulik dengan CBS.

Terdapat dua varian, iaitu MEV-1 Pro yang hadir dengan pelana tunggal, serta MEV-1 Pro SX yang dilengkapi dengan pelana untuk pembonceng.

Harga jualan bermula dari RM13,470 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

MEV-2 pula dijana dengan motor elektrik berkuasa 6.8 hp dengan halaju maksimum dihadkan kepada 80 km/j sahaja.

Pek bateri ALT Lithium 74V30Ah pula menawarkan jarak tunggangan sejauh 107 km.

MEV-2 turut dilengkapi dengan pengecas on-board, suspensi hadapan jenis teleskopik, brek cakera hidraulik dengan CBS, serta sistem lampu LED.

Harga jualan bermula dari RM9,878.

 

MEV-1 PRO/PRO SX

MEV-2

Skuter maxi Zontes 368D, 386E dipertontonkan di Malaysia, harga jualan mula bawah RM25,000

Zontes Malaysia mengemaskini penawaran dua model skuter maxi 350 cc sedia ada, di mana kedua-dua model 350D dan 350E kini diberikan peningkatan kuasa dan penambahbaikan yang signifikan.

Zontes 368D merupakan evolusi daripada model 350D yang telah dilancarkan pada tahun 2023.

Sama seperti 368G, 368D dijana dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair dengan kuasa 38.7 hp dan 40 Nm.

Antara ciri premium yang dimuatkan termasuklah skrin TFT berwarna penuh 6.75 inci, port pengecasan USB, cermin penghadang angin boleh laras elektrik, kamera perakam tunggangan depan dan belakang, sistem pencahayaan LED serta brek parkir terbina.

Tidak ketinggalan, pemanas bar hendal untuk keselesaan tunggangan sewaktu musim sejuk.

Aspek keselamatan pula terdiri daripada sistem brek J.Juan, ABS dua saluran serta kawalan cengkaman.

Zontes 368D boleh didapati dalam pilihan warna Matte Black, Matte Silver dan Grey.

Harga jualan anggaran bermula bawah RM25,000.

Zontes 368E pula merupakan skuter maxi touring menggantikan model popular Zontes 350E yang telah dilancarkan sejak 2023 lagi.

Skuter ini direka untuk mereka yang mahukan keselesaan tunggangan jarak jauh serta keupayaan enjin yang dipertingkatkan.

Enjin 368 cc 38.7 hp/40 Nm yang sama wujud pada model 368G, diikuti dengan bacaan penggunaan bahan api 3.5 liter/100 km, terima kasih kepada kapasiti tangki bahan api dipertingkatkan menjadi 17 liter.

Untuk model ini, ia diberikan ciri yang sama pada 368D termasuklah pemanas bar hendal, sistem kunci pintar.

Terdapat juga cermin penghadang angin yang lebih besar, tempat duduk ergonomik, dan ruang storan bawah pelana yang boleh memuatkan helmet full-face.

Harga jualan anggaran bermula bawah RM27,000.

 

Zontes 368D

 

Zontes 368E

 

Zontes 703F diperlihatkan di Malaysia Autoshow 2025, harga bawah RM40,000

Di Malaysia Autoshow 2025, Zontes Malaysia hari ini memperlihatkan model adventure tourer Zontes 703F yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

ZT 703 F Adventure ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 699 cc yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 97 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 76 Nm @ 7,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan dan bantuan quickshifter.

Jentera ini menggunakan bahan aluminium untuk binaan casis termasuklah lengan ayun belakang, dibantu dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal belakang, kedua-duanya daripada Marzocchi.

Pembeli boleh mendapatkan tetapan rim 19 inci dengan tinggi pelana 830 mm, atau tetapan rim 21 inci dengan tinggi pelana 845 mm.

Aspek pemberhentian menggunakan sistem brek J.Juan yang terdiri daripada rotor brek berkembar di hadapan, rotor brek tunggal di belakang serta bantuan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain termasuklah tangki sebesar 22 liter, penghadang angin boleh laras elektronik, tinggi pelana sekitar 845 mm, pemanas grip bar hendal, skrin TFT sebesar 6.75 inci, slot pengecas USB dan sistem tanpa kunci.

Harga jualan anggaran bermula dari bawah RM40,000.

Jetour VT9 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia Autoshow 2025, dari RM118,800

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Jetour Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV keluarga tujuh tempat duduk VT9.

SUV segmen D ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 156 PS dan daya kilas 230 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT enam-kelajuan.

Ia membawakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti dengan tetapan Multilink di belakang.

Dari segi dimensi, VT9 berukuran 4,274 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Secara standard, VT9 dibekalkan dengan rim 19 inci, lampu utama LED, jeriji hadapan dengan elemen 3D, serta kemasan tip ekzos palsu di belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin berkembar 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas jenis USB, soket 12V, slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, serta bumbung kaca panorama (varian Prime sahaja).

Ruang kargo pula berkapasiti 89 liter di belakang tempat duduk baris ketiga, namun boleh dibesarkan sehingga 1,680 liter untuk pelbagai keperluan.

Untuk pasaran Malaysia, Jetour VT9 boleh didapati dalam warna Tech Grey, Phantom Grey, Aurora Green, Star Black serta Khaki White.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, kawalan jelajah, kamera 360 darjah, bantuan mula mendaki dan menurun cerun, sistem pengesanan titik buta (BSW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran bukaan pintu (DOW) dan amaran penukaran lorong (LCW).

Harga jualan pula bermula dari RM118,800 untuk varian Comfort, dan sehingga RM123,800 untuk versi Prime.

 

Prototaip Perodua EV 1 di Malaysia Autoshow 2025, rupa lebih hampir kepada versi produksi

Setelah beberapa siri pameran model konsep, Perodua akhirnya memperlihatkan bentuk sebenar kereta elektrik EV 1 di Malaysia Autoshow 2025.

Tidak seperti model konsep eMO-II yang dipamerkan sebelum ini di KLIMS 2024, EV 1 ini mempunyai bentuk luaran yang lebih mirip kepada model produksi sebenar.

Menurut Perodua, acara pameran di Malaysia Autoshow 2025 merupakan siri terakhir sesi teaser daripada pengeluar tersebut sebelum ia dilancarkan secara rasmi Disember ini.

Difahamkan, EV baharu ini akan dipasang di kemudahan baharu BEV yang terletak di Sungai Choh, Rawang.

Fasa pengeluaran secara besar-besaran akan bermula pada September ini, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 500 unit sebulan.

Mengikut spesifikasi awal, Perodua eMO mampu memecut sepantas 7 saat dari pegun ke 100 km/j.

Kapasiti pek bateri Lithium-ion Phosphate (LFP) tidak diberitahu, namun mampu menawarkan jarak pandu sejauh 410 km untuk sekali cas penuh.

Jelas Perodua lagi, EV 1 ini akan ditawarkan sekali dengan program sewa bateri, di mana proses penukaran bateri boleh dilakukan di pusat servis Perodua dengan mudah.

Proton e.MAS 5 muncul di Malaysia Autoshow 2025

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Proton memperlihatkan sebuah lagi model kenderaan elektrik (EV) sebagai pelengkap kepada penawaran e.MAS 7 sedia ada.

Proton e.MAS 5 (Geely Star Wish) mempunyai dimensi yang lebih kecil berbanding e.MAS 7.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Spesifikasi tidak didedahkan buat masa ini.

Namun berdasarkan unit yang wujud di China, ia dikuasakan oleh motor elektrik 78 hp dan 130 Nm, atau 114 hp/150 Nm.

Terdapat pilihan pek bateri 30.12 kWh dengan jarak gerak sejauh 310 km, atau 40.16 kWh dengan jarak gerak sejauh 410 km.

Lebih banyak perincian bakal didedahkan oleh Proton dalam masa terdekat, namun yang pasti Proton e.MAS 5 bakal menjadi EV Proton yang paling mampu milik apabila dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Zeekr 7X dipertontonkan di Malaysia, harga anggaran dari RM182,000

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr Malaysia memperlihatkan crossver segmen D Zeekr 7X yang bakal dipasarkan menjelang suku ketiga tahun ini.

Zeekr 7X merupakan SUV elektrik segmen D yang bakal memberikan saingan kepada model popular seperti Tesla Model Y dan BYD Sealion 7.

Dibina menggunakan platform SEA (Sustainable Experience Architecture), Zeekr 7X mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,925 mm.

Zeekr Malaysia mengesahkan terdapat tiga varian yang bakal ditawarkan, seperti berikut:

– RWD Standard (RM182,000)
– RWD Long Range (RM195,000)
– AWD Performance (RM230,000)


Zeekr 7X menawarkan pecutan sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j, selain boleh dipandu sejauh 600 km mengikut data WLTP.

Harga indikatif yang disebutkan di atas hanya sah untuk 500 orang pelanggan pertama sahaja.

Volvo EX90 pemenang anugerah World Luxury Car 2024

SUV elektrik saiz penuh Volvo EX90 dinobatkan sebagai pemenang anugerah World Luxury Car of the Year 2024.

Pengiktirafan berprestij ini diumumkan sempena New York International Auto Show oleh barisan juri yang terdiri daripada 96 wartawan automotif terkemuka dari 30 buah negara.

Volvo EX90 dipuji kerana membawakan gabungan kemewahan Scandinavia yang diperhalusi, prestasi elektrik bertenaga serta inovasi keselamatan bertaraf dunia.

Dilancarkan secara rasmi pada April yang lalu, Volvo EX90 dijual dalam varian tunggal Ultra Twin, dengan motor elektrik berkembar menghasilkan 517 hp dan 910 Nm.

Pek bateri NMC berkapasiti 111 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 623 km untuk sekali cas penuh.

Sebagai sebuah SUV yang paling canggih, Volvo EX90 disifatkan sebagai komputer bergerak dengan unit pemprosesan NVIDIA DRIVE AI yang mengendalikan setiap aspek kenderaan termasuklah infohibur, bantuan pemanduan lanjutan sehinggalah kepada ciri keselamatan.


Selain daripada fungsi pengesan penumpang, Volvo EX90 hadir dengan ciri pemahaman pemandu, di mana sistem ini akan mematau secara masa nyata, memberikan amaran atau menghentikan kenderaan dengan selamat sekiranya berlaku kecemasan.

Volvo EX90 juga dilengkapi dengan rangkaian penderia lengkap merangkumi radar, kamera, penderia ultrabunyi serta unit LIDAR yang direka untuk menyokong pemanduan autonomi yang lebih tinggi pada masa hadapan.

 

Untuk pasaran Malaysia, Volvo EX90 dijual pada harga RM442,888, lengkap dengan jaminan kenderaan tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam dan perkhidmatan digital percuma lima tahun.

50 pelanggan terawal akan menerima baucar pengecas dinding serta penghadang matahari panoramik lipat bernilai RM5,000 secara percuma.

Jaecoo Malaysia tawar manfaat khas untuk golongan profesional

Jaecoo Malaysia mengumumkan Professional Affiliates Program (PAP) yang direka khusus untuk golongan profesional serta pekerja syarikat yang berdaftar di Malaysia.

Menerusi PAP, ia menawarkan manfaat berbentuk diskaun untuk barisan model Jaecoo seperti J7 2WD, J7 AWD, dan juga J7 PHEV.

Menurut Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek menjelaskan program PAP ini diperkenalkan atas maklum balas positif dan permintaan daripada pihak korporat dan profesional.

“Ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk menaikkan lagi jenama dan lebih dekat dengan peminat serta pelanggan kami,” ujarnya.

Selain daripada golongan profesional, PAP juga terbuka kepada semua individu yang merupakan ahli persatuan, perkhidmatan kewangan dan insurans, organisasi korporat serta pencipta kandungan yang diiktiraf sebagai duta jenama Jaecoo.

Manfaat program ini juga boleh dikongsikan kepada ahli keluarga terdekat yang berkelayakan.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.jaecoo.com.my atau menerusi platform media sosial Jaecoo Malaysia.

AMI pengedar rasmi jenama Indian Motorcycle di Malaysia

AFY Mobility Industries (AMI) mengumumkan kemunculan semula jenama motosikal premium Indian Motorcycle untuk pasaran tempatan.

Pengedaran model Indian Motorcycle ini dikendalikan oleh subsidiari AMI, iaitu Spirit Lake Sdn Bhd.

Serentak dengan itu, AMI turut mengumumkan pembukaan pusat pameran yang terletak di Jalan PJ222, Petaling Jaya.

Anda boleh datang berkunjung dan melihat dengan lebih dekat barisan model seperti Scout ABS Icon, Scout Bobber dan Scout Rouge ABS.

Jenama Indian Motorcycle ini juga akan membuat kemunculan di acara pameran Malaysia Autoshow 2025 bertempat di MAEPS, Serdang pada 9-15 Mei ini.

VW Golf GTI Black Edition rasmi di Malaysia – dari RM243,990

Buat para peminat hot hatch, Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) kini menawarkan Golf GTI Black Edition untuk pasaran tempatan.

VW Golf GTI Black Edition menampilkan estetika luaran gelap yang diinspirasikan daripada konsep ‘Stealth‘.

Selain warna Deep Black, Golf GTI Black Edition juga boleh didapati dalam warna Kings Red.

Antara ciri yang wujud seperti rim aloi Richmond 18 inci, penutup hab dinamik GTI, penutup injap tayar GTI, logo BLACK, serta kemasan hitam pada lip hadapan, diffuser belakang, skirting sisi dan cermin sisi.

Selain itu, VW Golf GTI Black Edition hadir dengan filem penapis haba Volkswagen Tint yang mematuhi piawaian JPJ.

Untuk ruang kabin, Golf GTI Black Edition dilengkapi dengan karpet lantai Black Edition, Cargo Elements (dengan pelekat velcro), serta kamera perakam pemanduan UTR2.0.

Setiap pemilik akan diberikan kotak istimewa Black Edition yang mengandungi pemegang kunci Volkswagen, serta Sijil Ketulenan.

Dari segi spesifikasi, VW Golf GTI Black Edition kekal dengan enjin 2.0 liter turbo (kod EA888) yang mampu menjana kuasa 245 PS dan 370 Nm.

Dengan padanan kotak gear DSG tujuh kelajuan, pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.3 saat sahaja.

Harga jualan VW Golf GTI Black Edition kini serendah RM243,990, lengkap dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang terdiri daripada pakej penyelenggaran percuma tujuh tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma lima tahun.

VW Golf GTI Black Edition akan dipamerkan di reruai Volkswagen di Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS Serdang dari 9-15 Mei 2025.

VW Malaysia lancar Arteon, Tiguan Allspace edisi Wolfsburg – dari RM180,990

Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) memperkenalkan tiga model edisi Wolfsburg untuk pasaran tempatan, iaitu Arteon R-Line, Tiguan Allspace Elegance dan Tiguan Allspace R-Line.

Ketiga-tiga model tersebut menampilkan perincian yang istimewa, seperti logo Wolfsburg, karpet lantai Wolfsburg, kotak pemilik dengan pemegang kunci dan sijil keaslian, serta penutup injap berlogo VW.

Tidak ketinggalan, ciri kamera perakam Trafik Volkswagen Universal 2.0 (UTR 2.0) depan dan belakang.

Untuk model Arteon R-Line pula, sedan tersebut hadir dengan penambahan seperti:
– kemasan lampu logo LED VW
– penutup hab dinamik VW
– jalur pelindung pintu belakang
– Cargo Elements lengkap dengan pelekat velcro

Manakala model Tiguan pula mendapat aksesori seperti:
– pelindung tepi ruang muatan
boot tray
– cangkuk dan pemegang peranti pintar
– pedal sport aluminium (untuk model Elegance)
– pelindung bucu bampar

Kesemua model edisi Wolfsburg ini didatangkan dengan pakej penyelenggaraan percuma tujuh tahun, serta jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun sebagai sebahagian daripada Volkswagen Assurance Package (VAP).

Harga jualan promosi (termasuk VAP) adalah seperti berikut:
• Tiguan Allspace Elegance – RM180,990
• Tiguan Allspace R-Line – RM243,990
• Arteon R-Line – RM264,990

Ketiga-tiga model ini akan membuat penampilan di Malaysia Autoshow 2025 bertempat di MAEPS, Serdang dari 9-15 Mei 2025.

Lotus Emira Clark Edition – tribut kepada pelumba hebat F1 era 60-an

Jim Clark diiktiraf sebagai salah seorang pelumba sukan Formula Satu yang paling hebat di dalam sejarah.

Sebagai salah satu tanda penghargaan terhadap insan tersebut, Lotus kini menawarkan kereta sports edisi terhad Emira Clark Edition.

Penampilan luaran Emira ini diinspirasikan daripada jentera lumba Lotus Type 38, dengan layangan warna Clark Racing Green berserta jalur kuning.

Kereta ini turut diserikan dengan bumbung hitam, perumah cermin sisi perak dan tip ekzos kuning.

Tidak ketinggalan, penutup tangki bahan api berwarna biru, serta lencana Clark Edition pada hujung pintu.

Ruang kabin Emira diserikan dengan warna dua tona hitam merah, seperti tema yang digunakan pada jentera Team Lotus era 60-an.

Selain daripada unsur-unsur penghargaan kepada Jim Clark, Lotus Emira Clark Edition juga membawakan tema klasik menerusi penampilan tombol gear manual yang diperbuat daripada kayu.

Lotus Emira Clark Edition menggunakan model Emira V6 sebagai asas, dengan enjin V6 Toyota yang mampu menjana kuasa kuda 400 hp dan 420 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual.

Produksi untuk Emira edisi terhad ini akan dihadkan kepada 60 unit sahaja dan hanya boleh didapati di pasaran tertentu.

Untuk makluman, harga jualan Lotus Emira Clark Edition bermula dari £115,000 (RM647,342) di pasaran UK.

Perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup bakal gegarkan Sepang Jun ini

Bulan Jun ini bakal menyaksikan kemunculan perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup Malaysia Series yang menampilkan kereta sports Toyota GR86.

Dianjurkan oleh Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd, GR86 Cup Malaysia Series akan membuat penampilan sulung sebagai  perlumbaan sokongan semasa pusingan ketiga Super GT 2025 yang akan berlangsung pada 26-28 Jun ini.


Sebanyak 30 buah jentera Toyota GR86 Cup akan bersaing dalam tiga pusingan perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

Pusingan kedua GR86 Cup akan dianjurkan serentak dengan perlumbaan endurans 300 km Malaysia Championship Series, diikuti pusingan akhir berupa perlumbaan sebanyak 86 pusingan. Ketiga-tiga pusingan perlumbaan GR86 Cup akan diadakan di Litar Sepang.

Hanya 30 unit sahaja GR86 Cup yang akan diimport masuk dari Jepun (berdasarkan siapa cepat dia dapat), di mana kesemua unit dibina mematuhi peraturan kategori SP1 Malaysia Championship Series 2025.


Setiap satu berharga RM208,315 termasuk cukai jualan dan AP sukan permotoran.

Berikut merupakan spesifikasi jentera lumba Toyota GR86 Cup yang bakal digunakan dalam perlumbaan tersebut:

– enjin boxer 2.4 liter
– kuasa 228 hp @ 7,000 rpm, daya kilas 250 Nm @ 3,700 Nm
– transmisi manual enam-kelajuan


– sistem ekzos penuh Fujitsubo
– unit pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen
– klac plat tunggal Cusco
– sistem penyejuk transmisi


– angkup brek aluminium Advics empat omboh depan, angkup dua omboh belakang
– rotor brek two piece 345 x 30 mm depan, rotor 330 x 26 mm belakang
– penyerap hentak perlumbaan KW Racing
– sesendal suspensi TRD
– tayar Bridgestone Potenza RE-71RS 225/45R17
– rim aloi tempa Raxer RP10X 17 inci


– sangkar keselamatan rekaan khas, patuh piawaian “Speed B” dan “Speed SA” JAF
– tempat duduk bucket Bride ZETA
– tali pinggang keselamatan enam mata serasi dengan kelengkapan HANS
– sistem pemadam kebakaran

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian berikut:

Fahrizal Hasan (fahrizal@haro.my) – 012-905 9619
Raja Zaini (raja@haro.my) – 019-367 5667
Yamin Shafie (yamin@haro.my) – 012-615 1650

 

Honda ADV160 2025 dapat warna baharu, harga dari RM13,249

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran warna baharu untuk para peminat skuter kembara Honda ADV160 2025.

Untuk versi standard dengan harga jualan dari RM13,249, terdapat dua warna baharu iaitu hitam kusam dan merah selain warna putih sedia ada.

Sementara edisi khas berharga RM13,549 pula mendapat warna popular kelabu di samping warna hijau kusam sedia ada.

Tiada perubahan dari segi spesifikasi, di mana Honda ADV160 masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal Enhanced Smart Power Plus (eSP+) 157 cc berkuasa 15.8 hp dan 14.7 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu LED penuh, sistem berhenti melahu (ISS), ruang storan 30 liter, paparan meter LCD, skrin penghadang angin boleh laras, dan sistem kunci pintar.

Honda ADV160 dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 8.1 liter, serta tinggi pelana 780 mm.

Ciri keselamatan yang wujud termasuklah sistem ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan lampu berhenti kecemasan (ESS).

Perodua Myvi, Yamaha 135LC paling banyak terlibat dalam kemalangan tahun 2024

Selain dinobatkan sebagai ‘Raja Jalan Raya’, Perodua Myvi juga dilapor paling banyak terlibat di dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2024, lapor akhbar NST.

Koordinator Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC), Mas Tina Abdul Hamid berkata, rekod daripada industri insurans menunjukkan sejumlah 24,628 tuntutan yang dibuat tahun lepas membabitkan hatchback segmen B tersebut.

Tempat kedua disandang oleh Proton Saga dengan jumlah tuntutan 16,159, diikuti Honda City (13,388), Toyota Vios (13,007) dan Perodua Bezza (12,437).

Sementara itu, Yamaha 135LC menduduki tangga teratas sebagai model motosikal yang paling kerap terlibat dalam kemalangan dengan hampir 3,000 kes, diikuti Yamaha Y15ZR (2,154).

Jelasnya, kedua-dua model motosikal tersebut merangkumi 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan motosikal pada tahun lepas.

Negara mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 266,716 kes pada tahun lepas, dengan peratusan tertinggi disumbangkan oleh kereta sebanyak 229,739 kes, diikuti dengan kenderaan komersial sebanyak 22,828 kes, dan motosikal (15,149 kes).

Proton e.MAS 7 debut di Singapura dengan harga bermula RM565k

Setelah lebih satu dekad, Proton akhirnya membuat kemunculan semula di pasaran negara jiran Singapura menerusi pelancaran model kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS 7 yang dikendalikan oleh pengedar baharu VINCAR Group.

EV terlaris di Malaysia itu dilancarkan secara rasmi di acara The Car Expo 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, “pelancaran Proton e.MAS 7 di Singapura merupakan langkah penting dalam memperluaskan pasaran antarabangsa kami, serta komitmen untuk memperkenalkan EV berkualiti tinggi dan canggih ke rantau ini.

“Kami yakin bahawa e.MAS 7 dengan ciri-ciri menarik dan kesesuaiannya untuk persekitaran bandar akan mendapat sambutan positif daripada pemandu di Singapura yang semakin mengutamakan mobiliti elektrik,” jelasnya.

Kemunculan semula Proton di Singapura berlaku sejajar dengan peralihan pantas negara tersebut ke arah mobiliti hijau.

Ini kerana pasaran EV Singapura dilapor mengalami peningkatan konsisten daripada 12 peratus (2022) kepada 18 peratus pada tahun 2023, dengan sasaran sehingga 55 peratus menjelang tahun 2027.

Kerajaan Singapura juga menyasarkan penyediaan sehingga 12,000 titik pengecasan EV di 2,000 kawasan parkir Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang tahun ini, dan 60,000 menjelang 2030.

Di Singapura, Proton e.MAS 7 ditawarkan dengan enam pilihan warna menarik termasuklah warna baharu Moyu Black.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, Proton e.MAS 7 untuk pasaran tersebut menyamai varian Prime yang dijual di Malaysia dengan rim bersaiz 18 inci (berbanding rim 19 inci untuk varian Premium).

Antara ciri lain termasuklah skrin sentuh 15.4 inci, sistem audio Flyme Auto, serta sistem pencahayaan LED penuh.

Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula dari S$173,988 (RM565,429).