Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Toyota GR Yaris 2026 kini hadir dengan roda stereng rekaan baru!

Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Toyota GR Yaris telah mengalami perubahan yang cukup besar luar dan dalam.

Selepas versi facelift dilancarkan pada tahun 2024, Toyota mengumumkan pula model ‘Type 26’.

Sama seperti model terdahulu, versi baharu kali ini turut menampilkan penambahbaikan yang diambil daripada pengalaman di dalam sukan permotoran.

Roda stereng GR baharu

Toyota GR Yaris Type 26 kini hadir dengan rekaan roda stereng serba baharu untuk memastikan tahap kawalan yang lebih baik.

Disebabkan oleh kedudukan suis pada roda stereng terdahulu, ada pemandu yang merungut mereka tidak dapat meletakkan tangan pada posisi yang ideal.

Dengan bantuan pelumba profesional, Toyota telah menghasilkan unit prototaip stereng dan mengujinya di dalam litar lumba sebenar.

Hasilnya, roda stereng baharu ini mempunyai diameter yang lebih kecil untuk meningkatkan tahap respons stereng.

Struktur bentuk genggaman kiri dan kanan yang direka untuk keselesaan pegangan sewaktu di selekoh.

Selain itu, segala butang kawalan telah diposisikan semula diikuti dengan pencahayaan cincin untuk meningkatkan keterlihatan waktu malam.

Tidak ketinggalan, sistem stereng EPS telah ditala semula untuk pengendalian yang lebih tepat dan konsisten dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Tayar prestasi tinggi baharu

Selain roda stereng, Toyota GR Yaris 2026 kini didatangkan dengan tayar Bridgestone Potenza Race, khusus untuk dua trim teratas RZ.

Tayar yang dibangunkan baharu ini menawarkan corak bunga, struktur dalaman serta kompaun getah yang telah disemak semula.

Ia juga telah menjalani ujian menyeluruh bagi menawarkan prestasi cengkaman tinggi untuk tempoh masa yang lebih lama.

Karakteristik redaman suspensi yang dioptimasikan pada gandar depan dan belakang juga menyumbang kepada prestasi tayar yang maksimum.

Tambahan opsyen pemanas stereng dan tempat duduk

Pembeli Toyota GR Yaris 2026 kini boleh mendapatkan ciri pemanas roda stereng dan tempat duduk apabila memilih opsyen brek parkir menegak bersama-sama Navigation Package atau Comfort Package.

Toyota GR Yaris masih lagi kekal dengan enjin G16E-GTS yang mampu menjana 304 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 400 Nm @ 3,250-4,600 rpm.

Hot hatch ini boleh dipadankan dengan transmisi iMT 6-kelajuan atau Direct Automatic Transmission (DAT) 8-kelajuan.

Harga jualan Toyota GR Yaris bermula dari 3,617,200 yen (RM89,255) untuk versi RC iMT, dan mencecah sehingga 5,882,200 yen (RM145,144) untuk versi RZ High Performance + Aero Performance Package DAT.

BYD Mansion Pulau Pinang rasmi dibuka

Sime Motors mengumumkan pembukaan rasmi BYD Mansion Macalister yang terletak di Pulau Pinang.

Bangunan berusia lebih 100 tahun ini telah menjalani proses pemuliharaan dan pengubahsuaian yang teliti untuk mengekalkan karakteristik senibina asal.

Dalam masa yang sama, bangunan ini turut disuntik elemen moden yang memfokuskan kepada masa depan mobiliti elektrik.

Kemudahan di BYD Mansion

BYD Mansion mempunyai keluasan binaan sekitar 9,000 kaki persegi yang dibina atas tanah seluas 26,994 kaki persegi.

Ia mempunyai kemudahan ruang pameran yang boleh menempatkan empat model BYD, ruang konsultansi serta bilik serahan peribadi.

Sementara pusat servis pula mempunyai lima ruang kerja, satu ruang penjajaran dan tiga ruang penerimaan servis.

Terdapat juga hab pengecasan pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC bagi menyokong ekosistem EV yang semakin berkembang.

Operasi BYD Mansion dikendalikan oleh Sime Darby Beyond Auto yang merupakan pengedar BYD terbaik di Malaysia.

Kumpulan itu juga turut meraih 13 daripada 27 anugerah di BYD Dealer Conference & Awards Night yang dianjurkan tahun ini.

iCaur Malaysia tubuh kelab rasmi rai pencapaian 1,800 EV atas jalan

iCaur Malaysia mencatatkan satu pencapaian baharu dengan jumlah kenderaan berdaftar kini mencecah 1,800 unit di jalan raya.

Pencapaian ini mencerminkan permintaan terhadap iCaur, seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) off-road.

Kelab rasmi ditubuhkan

Dalam satu acara penyerahan kepada pemilik yang ke-1,800, kelab rasmi pertama jenama tersebut (Kelab Pemilik iCaur Malaysia) turut ditubuhkan.

Direka sebagai nadi komuniti iCaur, kelab pemilik ini menghimpunkan para pemilik menerusi pertemuan, pengalaman bersama, dan aktiviti gaya hidup.

Kelab ini berpaksikan kepada dua teras utama:

  • Perjalanan Pengubahsuaian yang memberi peluang kepada pemilik untuk bertukar idea dan meraikan kreativiti
  • Pembangunan Komuniti yang menumpukan kepada usaha mengeratkan hubungan sesama ahli menerusi pelbagai aktiviti menarik

iCaur V23 laris sepanjang Februari 2026

Dengan 179 pendaftaran, iCaur V23 muncul sebagai EV ketiga paling laris di Malaysia, sementara iCaur 03 pula berada di tangga ketujuh.

Sepanjang tahun 2025, iCaur 03 merupakan EV ke-14 paling laris dengan 836 unit telah didaftarkan dalam tempoh empat bulan pertama.

Menurut Francis Chin, Pengarah Kanan iCaur Malaysia berkata, “pencapaian 1,800 kenderaan menandakan detik bermakna bagi iCaur Malaysia.

“iCaur kekal komited untuk menerajui segmen NEV pengembaraan lasak, serta menarik minat generasi yang menghargai keunikan diri, ekspresi peribadi serta inovasi melalui ekosistem tersendiri,” ujarnya lagi.

KTNS TT Classic 150 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM6,888

Mforce Bike Holdings baru-baru ini melancarkan model scrambler bersesaran kecil KTNS TT Classic 150 2026.

Jentera ini ditawarkan pada harga bermula RM6,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Spesifikasi KTNS TT Classic 150

TT Classic 150 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair dengan kuasa 10.5 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 11.5 Nm @ 5,500 rpm.

Transmisi pula adalah jenis manual 5-kelajuan.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak tunggal boleh laras di bahagian belakang.

 

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • tangki bahan api 11 liter
  • panel meter LCD berwarna
  • bar pelindung
  • tempat pemijak kaki anti-gelincir
  • lampu LED penuh
  • ruang simpanan barang kecil
  • rim jejari 18 inci depan/17 inci belakang
  • tayar dwi-kegunaan

Pelancaran model baharu ini turut menandakan kemunculan semula jenama KTNS setelah sekian lama menyepi dalam pasaran Malaysia. 

Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2026: Pendaftaran dibuka, kategori baharu wanita diperkenalkan

Porsche Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance mengumumkan Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia kembali untuk edisi ketiga tahun ini.

Pendaftaran dibuka mulai 13 Mac 2026 di laman web pescm.porsche.com.my.

Kategori baharu diperkenalkan, khusus untuk wanita

Untuk tahun 2026, PESCM akan memperkenalkan kategori baharu bagi peserta perempuan berusia antara 10 hingga 23 tahun.

Ini memberikan ruang kepada mereka yang berminat untuk merasai pengalaman perlumbaan dalam suasana yang lebih inklusif.

Berikut merupakan kategori yang dipertandingkan dalam PESCM 2026:

  • Junior Dreamers: 10-14 tahun
  • Young Dreamers: 15-17 tahun
  • Driven Dreamers: 18-23 tahun
  • Female Dreamers: 10-23 tahun

Format perlumbaan sebenar

PESCM meniru format perlumbaan sebenar Porsche Carrera Cup dengan menggunakan jentera lumba 911 GT3 Cup.

Dengan menggunakan tetapan seragam, setiap peserta perlu bergantung kepada kemahiran, fokus dan strategi untuk menang.

Pusingan kelayakan PESCM 2026

PESCM 2026 akan menggunakan platform Assetto Corsa di mana sebanyak tiga pusingan kalah mati dengan pelbagai format akan disediakan.

Setiap peserta perlu memilih Porsche Centre yang terdekat yang akan menentukan lokasi untuk pusingan kelayakan 2.

Pusingan kelayakan 1 akan berlangsung di tiga lokasi berikut:

  • Bangsar Shopping Centre, KL (18-19 April 2026)
  • The Mall, Mid Valley Southkey, JB (25-26 April 2026)
  • Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang (2-3 Mei 2026)

30 pelumba teratas dari setiap kategori dan setiap lokasi akan mara ke Pusingan Kelayakan 2 di Porsche Centre di seluruh negara.

10 pelumba terpantas dari setiap Porsche Centre akan mara ke Pusingan Kelayakan 3 di Pavilion Bukit Jalil pada 4-5 Julai 2026.

Pusingan akhir di Porsche Carrera Cup Asia, Litar Sepang

10 peserta akhir dari Pusingan Kelayakan 3 akan berentap di pentas akhir semasa Porsche Carrera Cup Asia berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 22-23 Ogos 2026.

Pusingan akhir ini berlangsung serentak dengan hujung minggu perlumbaan sebenar, menjadikan pengalaman yang lebih epik untuk peserta.

Kejohanan tahun ini turut menampilkan kisah inspirasi Naquib Azlan, juara Driven Dreamers 2025 yang kini berlumba dalam Porsche Carrera Cup Asia.

Ia membuktikan perjalanan dari simulator ke litar sebenar memang boleh menjadi satu kenyataan.

 

UMW Toyota tubuh pasukan TGR Racing Malaysia, bakal beraksi dalam Thailand Super Series 2026

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan penubuhan pasukan lumba TGR Racing Malaysia yang akan beraksi dalam Thailand Super Series 2026 menerusi kategori GT4.

Penyertaan ini membuka lembaran baharu buat Toyota Malaysia untuk mengembangkan penglibatan dalam perlumbaan GT serantau.

Ia juga sekali gus memperkukuh peranannya dalam memacu pembangunan sukan permotoran negara.

Penubuhan pasukan ini turut berpaksikan pengalaman luas yang diperoleh sepanjang lapan musim Toyota GAZOO Racing Vios Challenge.

Menerusi platform ini, UMWT berjaya membangunkan bakat pemandu tempatan, memperkukuh keupayaan teknikal serta meningkatkan kepakaran operasi perlumbaan.

TGR Racing Malaysia tampil pelumba tempatan

Sepanjang lima pusingan musim Thailand Super Series GT4, TGR Racing Malaysia akan menampilkan barisan pelumba tempatan:

  • Shaun Thong
  • Weiron Tan
  • Nazim Azman
  • Putera Adam

Kesemua pelumba ini akan digandingkan dengan sokongan kru teknikal serta operasi berpengalaman dari Malaysia dan Jepun.

Jentera GR Supra GT4 EVO 2 jadi taruhan utama

Pasukan TGR Racing Malaysia akan menaruhkan dua jentera GR Supra GT4 EVO2 yang disediakan mengikut peraturan GT4 Thailand Super Series.

Dibangunkan oleh Toyota GAZOO Racing Eropah, versi EVO2 ini menampilkan beberapa penambahbaikan:

  • prestasi sistem brek yang dipertingkatkan
  • talaan penyerap hentak diperhalusi bagi kestabilan optimum
  • penambahbaikan pada sistem penyejukan dan kalibrasi ABS

GR Supra GT4 EVO3 dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris dibantu dengan unit pengecas turbo twin-scroll.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik ZF yang telah diubahsuai, dibantu dengan ECU Marelli, sistem ekzos perlumbaan Akrapovic dan LSD Drexler.

Ciri lain termasuklah:

  • penyerap hentak perlumbaan boleh laras KW
  • angkup enam omboh Brembo dan rotor 390 mm depan
  • angkup empat omboh Brembo dan rotor 335 mm belakang
  • rim OZ 18 inci
  • tayar Pirelli
  • sangkar keselamatan mengikut peraturan FIA
  • ABS, TCS sebagai ciri standard
  • sistem pemadam kebakaran

Jentera GR Supra GT4 EVO2 ini akan bersaing dengan jentera lumba lain seperti Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercedes-AMG GT4, Aston Martin Vantage GT4 serta tidak kurang lima jentera GR Supra GT4 EVO2.

Kalendar Thailand Super Series 2026

Berikut merupakan kalendar Thailand Super Series 2026:

  • 22-23 April: Ujian pra-musimd di Litar Antarabangsa Chang
  • 21-24 Mei: Pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Chang
  • 1-5 Julai: Pusingan kedua di Bangsaen Grand Prix, Chonburi
  • 21-23 Ogos: Pusingan ketiga di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
  • 18-20 September: Pusingan keempat di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
  • 30 Oktober-1 November: Pusingan akhir di Litar Antarabangsa Chang

Proton X90 2026 dapat penarafan satu bintang ASEAN NCAP

Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN NCAP secara rasmi menarik balik penarafan lima bintang bagi Proton X90 2026 yang baru dilancarkan.

SUV tersebut kini diberikan penarafan 1 bintang sahaja disebabkan penyingkiran sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) pada model yang dikemas kini tersebut.

Pada tahun 2023, Proton X90 telah memperoleh penarafan lima bintang dengan skor keseluruhan 83.79 mata, merangkumi prestasi berikut:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (37.75/40.00)
  • Perlindungan Kanak-kanak (17.79/20.00)
  • Bantuan Keselamatan (15.71/20.00)
  • Keselamatan Penunggang Motosikal (12.50/20.00)

Pengurangan ciri keselamatan X90

ASEAN NCAP mendapati sebahagian besar teknologi ADAS yang dinilai pada tahun 2023 telah dikeluarkan daripada X90 2026, antaranya:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)

Di bawah Protokol ASEAN NCAP 2021-2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan jika ia menunjukkan prestasi buruk dalam mana kategori tunggal.

Penyingkiran teknologi ini menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) jatuh ke tahap 4-bintang.

Manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) yang sangat bergantung kepada Pengesanan Titik Buta telah merosot mendadak ke penarafan 1-bintang.

Kesannya, penarafan keseluruhan Proton X90 kini dihadkan kepada tahap 1-bintang sahaja.

Keselamatan bukan sesuatu yang boleh dikompromi

Menurut Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak selaku Ketua Pengarah MIROS berkata, “Kami amat kesal dengan keputusan Proton untuk mengeluarkan teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model facelift baharu ini.

“Bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan 5-bintang.

“Ini menjadi peringatan kepada semua pengeluar: keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi.

“Jangan korbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti demi kemewahan luaran semata-mata seperti sistem infohibur atau upholsteri kulit,” ujarnya lagi.

Ts. Yahaya Ahmad selaku Ketua Teknikal ASEAN NCAP menambah, “Pengesanan Titik Buta (BSD) adalah faktor pemberat kritikal dalam kategori keselamatan penunggang (MS) kami.

“Penyingkirannya bersama bantuan canggih yang lain telah melucutkan mata yang sebelum ini memberikan X90 penarafan tahap tertinggi.

“ASEAN NCAP akan terus memantau semua pengeluar yang telah dinilai, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik penarafan mana-mana jenama yang mengabaikan keselamatan kenderaan selepas penilaian dibuat.

Proton X90 2023-2025 masih lagi 5-bintang

ASEAN NCAP mengesahkan model X90 yang dikilangkan antara tahun 2023-2025 masih lagi mendapat penarafan 5-bintang.

Ini kerana model yang disebutkan itu tadi masih lagi dilengkapi dengan teknologi ADAS yang ditetapkan oleh protokol penilaian 2021-2025.

Jetour T2 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM156,800

Jetour Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV terbaharu Jetour T2 2026.

Ia merupakan SUV saiz pertengahan yang dibina berdasarkan senibina unibodi Kunlun, dan direka untuk aktiviti off-road yang ringan.

Jetour T2 2026 dijual pada harga bermula dari RM156,800.

Bersempena dengan pelancaran, Jetour Malaysia turut menawarkan pakej berikut:

  • Jaminan 7-tahun atau had perbatuan 150,000 km
  • Jaminan enjin 10-tahun atau had perbatuan 1 juta km
  • Pakej servis percuma (5 kali)
  • Pakej early bird berupa rebat tunari RM2,000 (untuk 3,000 pelanggan pertama)

Spesifikasi Jetour T2 2026

SUV ini dikuasakan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Kuasa sekitar 241 hp @ 5,500 rpm serta daya kilas 375 Nm @ 1,750-4,500 rpm itu kemudian disalur kepada sistem pacuan semua roda Intelligent XWD.

Jetour T2 menyediakan 7 mod pemanduan serta mod adaptif X.

Luaran

SUV ini membawakan ukuran sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi 1,870 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm.

Ia menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang.

Jetour T2 menawarkan sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 30 darjah, jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm dan mampu meredah air sedalam 700 mm.

Ciri lain termasuklah:

  • jeriji hadapan dengan perkataan JETOUR bercahaya
  • rim aloi 19 inci
  • sistem lampu LED
  • pintu tailgate dengan fungsi sedutan elektrik
  • ruang simpanan tayar pada pintu tailgate

Kelengkapan kabin dan keselamatan

Ruang kabin Jetour T2 menampilkan ciri berikut:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 15.6 inci
  • tempat duduk baris depan balutan leatherette dengan larasan kuasa, pengudaraan dan fungsi memori
  • bumbung kaca panorama
  • sistem pencahayaan ambien
  • sistem audio Sony Premium dengan 12 pembesar suara
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W

SUV ini menawarkan ruang kargo sebesar 580 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,494 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Secara standard, Jetour T2 dilengkapi dengan enam beg udara serta 14 ciri ADAS Tahap 2 termasuklah:

  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • bantuan jelajah bersepadu (ICA)
  • sistem pengesanan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • bantuan suluhan tinggi pintar (IHBC)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • sistem pengelakan pintar (IAS)
  • kawalan  jelajah adaptif (ACC)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • bantuan kesesakan trafik (TJA)

Tidak ketinggalan, ciri yang memudahkan pemandu seperti sistem pemantauan keliling (PVM) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Warna

Terdapat tiga warna yang ditawarkan untuk Jetour T2 2026:

  • Khaki White
  • Aviation Silver
  • Carbon Black

Ferrari Amalfi Spider 2027 didedahkan secara rasmi

Serentak dengan kemunculan pertama Amalfi di rantau ini, Ferrari turut sama mendedahkan Amalfi Spider 2027 di peringkat global.

Ferrari Amalfi Spider merupakan sebuah convertible 2+ dengan bumbung fabrik boleh buka, membenarkan pemandu dan penumpang menikmati sensasi angin luar.

Dalam masa yang sama, ia masih mengekalkan konfigurasi DNA sporti Ferrari.

Ferrari turut memperkenalkan warna baharu Rosso Tramonto yang diinspirasikan daripada suasana pesisir pantai Amalfi.

Bumbung soft top yang anggun

Biarpun hadir dengan bumbung fabrik, rekaan keseluruhan Amalfi Spider masih lagi anggun macam model coupe dengan bumbung kekal.

Antara ciri bumbung soft top Amalfi Spider ini:

  • tekstur unik untuk efek berkilau dan 3D
  • fabrik lima lapis dengan kualiti tebatan bunyi dan haba setanding bumbung keras lipat
  • ambil masa 13.5 saat untuk dibuka pada kelajuan sehingga 60 km/j
  • empat pilihan warna dan dua pilihan fabrik teknikal termasuklah warna baharu Tecnico Ottanio

Struktur ini setebal 220 mm, dan bila dilipat dan disimpan dalam ruang kargo sebesar 255 liter, masih lagi terdapat ruang sekitar 172 liter.

Enjin & teknologi

Sama seperti Amalfi Coupe, Amalfi Spider dipacu nadi 3.9 liter bentangan V8 turbo berkembar yang dipadankan dengan transmisi DCT 8-kelajuan.

Kuasa 640 hp pada 7,500 rpm, dengan output kuasa spesifik 166 hp untuk setiap liter.

Aspek pemanduan turut dibantu dengan ciri spoiler belakang aktif dengan tiga konfigurasi:

  • Low Drag
  • Medium Downforce
  • High Downforce

Amalfi Spider dilengkapi dengan lima mod pemanduan, ABS Evo, Side Slip Control (SSC) 6.1, serta kelengkapan bantuan pemandu termaju (ADAS).

Kabin selesa walaupun bumbung terbuka

Untuk memastikan keselesaan ketika pemanduan bumbung terbuka, Ferrari menambah ciri pemesong angin (wind deflector).

Ciri ini diintegrasikan pada perehat kepala untuk mengurangkan kesan gelora dan bunyi bising angin yang boleh diaktifkan dengan menekan satu butang.

Sama seperti Amalfi Coupe, kabin Spider ini menggunakan susun atur kokpit berkembar.

Konfigurasi 2+ pula menambah aspek praktikaliti, di mana bahagian belakang sesuai untuk kanak-kanak atau tambahan ruang simpanan.

Ciri lain termasuklah:

  • roda stereng lengkap dengan butang kawalan fizikal
  • skrin kluster digital 15.6 inci
  • skrin tengah 10.25 inci
  • skrin penumpang 8.8 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • slot pengecasan tanpa wayar

Harga

Ferrari Amalfi Spider tanpa bumbung kekal ini dijual pada harga €270,000 (RM1.22 juta).

Sebagai perbandingan, sebuah Ferrari Amalfi mempunyai tanda harga bermula dari €240,000 (RM1.09 juta).

Ferrari Amalfi 2026 debut di Malaysia – GT 640 PS pengganti Roma

Ital Auto Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif kereta berprestasi tinggi jenama Ferrari melancarkan model baharu Amalfi 2026 untuk pasaran tempatan.

Ferrari Amalfi merupakan sebuah Grand Tourer (GT) yang diposisikan sebagai pengganti kepada Ferrari Roma.

Buat masa ini, tiada sebarang tanda harga diumumkan.

GT aras mula tapi kuasa 640 PS!

Amalfi dikuasakan oleh enjin bentangan V8 3.9 liter turbo berkembar dengan output 640 PS @ 7,500 rpm dan daya kilas 760 Nm @ 3,000-5,750 rpm.

Nadi V8 itu dipadankan dengan kotak gear DCT 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.

Dengan tangki bahan api 80 liter, kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 11.2 liter untuk setiap 100 km

Casis & Dimensi

Ferrari Amalfi membawakan konfigurasi enjin depan pacuan roda belakang (FR), dengan nisbah agihan berat badan 50:50.

Dimensi pula sepanjang 4,660 mm, lebar 1,974 mm, tinggi 1,301 mm dan jarak antara roda pula 2,670 mm.

GT ini turut menawarkan ruang kargo sebesar 273 liter.

Secara standard, Amalfi dibekalkan dengan rim bersaiz 20 inci dengan balutan tayar 245/35 di depan dan 285/35 untuk gandar belakang (jenama Bridgestone Potenza Sport atau Pirelli P Zero).

Bantuan elektronik

Ferrari Amalfi dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik (EPS), diikuti bantuan elektronik seperti ABS Evo, Side Slip Control (SSC) 6.1, E-Diff3, serta kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, GT ini hadir dengan kelengkapan ADAS termasuklah:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Brek Kecemasan Automatik (AEB)
  • Sistem Pengesan Titik Buta (BSD)
  • Amaran keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu

Terdapat juga opsyen sistem pemantauan keliling serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Ruang kabin

Susun atur kabin Amalfi telah direka semula, menampilkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 15.6 inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • skrin penumpang 8.8 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • roda stereng lengkap dengan butang fizikal dan dial rotari

Terdapat juga slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar yang diintegrasikan pada terowong tengah.

Amalfi turut menyokong sambungan MyFerrari Connect yang membolehkan pemilik memantau status semasa kenderaan menerusi aplikasi khusus.

Antara ciri opsyen yang boleh ditambah termasuklah:

  • tempat duduk selesa dengan fungsi urut dan pengudaraan
  • Burmester Premium Audio System 1,200W dengan 14 pembesar suara

Kemas kini OTA baharu untuk Leapmotor B10 tambah ciri pintar

Stellantis Malaysia mengumumkan kemas kini over-the-air (OTA) untuk SUV Leapmotor B10.

Antara ciri utama yang ditambah termasuklah:

  • keupayaan pemanduan pedal tunggal
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (berwayar dan tanpa wayar)
  • fungsi arahan suara yang lebih meluas

Terima kasih kepada naik taraf ini, operasi sistem infohibur menjadi lebih pantas diikuti format split screen untuk memudahkan pemandu.

Ciri keselamatan turut ditambah baik dengan sistem pengesan kehadiran dalam kabin yang dioptimumkan, diikuti fungsi ACC & LCC yang diperhalusi untuk mengurangkan nyahpecutan mendadak ketika di selekoh.

Pengedaran OTA bermula Februari 2026

Kemas kini OTA ini telah mula diedarkan kepada para pemilik seawal Februari.

Pemilik Leapmotor B10 hanya perlu menunggu notifikasi dalam kenderaan dan boleh mengemas kini secara terus melalui sistem kenderaan.

 

Proton tawar rebat raya RM500 untuk e.MAS 5

Pro-Net mengumumkan promosi istimewa untuk kereta elektrik e.MAS sempena musim perayaan yang bakal menjelang.

Promosi berupa rebat bernilai RM500 itu sah untuk semua tempahan yang dibuat antara 31 Oktober 2025 hingga 23 Mac 2026.

Pelanggan perlu melengkapkan pendaftaran kenderaan selewat-lewatnya 30 September 2026.

Prestasi jualan cemerlang

Sehingga Februari 2026, Proton mencatatkan pendaftaran e.MAS 5 melepasi 5,000 unit di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,068 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada bulan Januari, dan lagi 1,562 unit pada bulan Februari.

Ini mencerminkan permintaan yang berterusan serta keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap model ini.

Proton e.MAS 5 dilancarkan secara rasmi tahun lepas dengan tanda harga bermula dari RM59,800 untuk varian Prime, dan dari RM72,800 untuk varian Premium.

Proton X90 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga dari RM99,800

Baru bulan Mac, tapi Proton sudah pun melancarkan model keempat untuk tahun ini, iaitu Proton X90 2026.

Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga jualan (selepas rebat) seperti berikut:

  • Proton X90 Lite – RM99,800
  • Proton X90 Prime – RM109,800
  • Proton X90 Prime X – RM115,800

Proton X90 kini dapat enjin baru

Perubahan yang besar sudah pasti nadi kuasa yang digunakan bagi menggantikan trenkuasa hibrid ringan pada model terdahulu.

Proton X90 kini dipacu enjin empat silinder sebaris 1.5TD i-GT dengan kuasa 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Menurut Proton, kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.9 liter untuk setiap 100 km.

Luaran tidak banyak beza

Tidak banyak perubahan bersifat kosmetik dibuat pada Proton X90 2026 ini.

Bahagian luaran SUV tiga baris ini mendapat ciri seperti:

  • lampu LED penuh berserta lampu nyalaan siang (DRL) LED
  • rim aloi 18 inci
  • rel bumbung (had muatan 75 kg)

Varian Prime dan Prime X pula mendapat tambahan ciri lampu automatik, fungsi Follow Me Home serta penyeka kaca dengan penderia hujan.

Ruang kabin

Kelengkapan standard untuk ruang kabin X90 2026 termasuklah:

  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • kombinasi paparan meter 3.5 inci
  • roda stereng balutan leatherette
  • tempat duduk balutan leatherette
  • kawalan iklim dua zon automatik
  • sistem audio 6-pembesar suara

Varian Prime pula mendapat tambahan ciri:

  • skrin kluster digital 10.3 inci
  • tempat duduk pemandu berkuasa elektrik larasan 6-tahap

Sementara Prime X (6-tempat duduk) pula mendapat kelengkapan berikut:

  • tempat duduk balutan kulit Nappa
  • tempat duduk pemandu larasan 8-tahap & sokongan tulang belakang
  • tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa elektrik 4-tahap
  • Boss Switch
  • tempat duduk kapten baris kedua
  • fungsi pengudaraan tempat duduk (baris pertama & kedua)
  • perehat kepala ergonomik (baris pertama & kedua)

Ruang kargo adalah sebesar 257 liter, dan boleh mencapai sehingga 2,050 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.

Ciri keselamatan

Proton X90 2026 dilengkapi dengan ciri berikut:

  • 6 beg udara
  • 4 penderia parkir belakang
  • kamera undur
  • Walk Away Auto Lock

Varian Prime pula mendapat tambahan ciri:

  • kamera 360 darjah HD dengan fungsi pandangan telus 180 darjah
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • 2 penderia parkir hadapan

Sementara varian Prime X pula mendapat kamera perakam pemanduan (DVR) sebagai ciri eksklusif.

 

UMW Toyota catat jualan sebanyak 4,856 unit sepanjang Februari 2026

UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 4,856 unit sepanjang bulan Februari 2026.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan setakat tahun ini sebanyak 9,556 unit.

Prestasi stabil ini didorong permintaan berterusan terhadap model teras Toyota, diperkukuh dengan barisan produk yang dipertingkat pada awal tahun serta rangkaian pengedar dan selepas jualan Toyota di seluruh negara.

Fokus elektrifikasi merentas segmen

UMWT memasuki tahun 2026 dengan memperkenalkan beberapa model yang diperbaharui dan elektrifikasi merentas segmen utama, memberi pelanggan lebih banyak pilihan yang disokong ekosistem pemilikan yang mantap.

Antara model baharu yang memainkan peranan penting:

  • Vios Hybrid & Vios HEV GR Sport
  • Corolla Cross HEV GR Sport (facelift)
  • Vellfire HEV
  • Harrier HEV

Keempat-empat model ini mencerminkan pelaksanaan strategi Multi-Pathway Toyota, yang memperkenalkan elektrifikasi secara progresif merentas sedan, SUV dan MPV dan tidak tertumpu pada satu segmen sahaja.

Menurut Datuk Ravindran K selaku Presiden UMW Toyota Motor, “Dalam pasaran yang berubah pantas, pertumbuhan mesti berpaksikan hala tuju yang jelas dan pendekatan Multi-Pathway memastikan pelanggan tidak terikat pada satu penyelesaian.

“Dengan memperluas pilihan hibrid sambil memperkukuh rangkaian kami, kami menyediakan pilihan elektrifikasi praktikal yang disokong ekosistem pemilikan yang boleh dipercayai.”

Pembukaan Pusat 4S Prima Pearl

Pada 9 Februari 2026, UMWT merasmikan Pusat 4S Prima Pearl di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kemudahan bersepadu ini menyatukan perkhidmatan Jualan, Servis serta Badan & Cat di bawah satu bumbung, meningkatkan kemudahan dan kapasiti servis untuk pelanggan di wilayah utara.

Antara kemudahan lain termasuklah:

  • 4 ruang pameran
  • 2 ruang serahan
  • 10 ruang servis am
  • 10 ruang Badan & Cat

Sokongan Pemilikan & Promosi Menjelang Raya

UMWT terus memberi keutamaan kepada sokongan pemilikan yang tersusun:

  • Toyota Service Savers — penyelenggaraan berkala serendah RM31 sebulan.
  • Toyota Extend — perlindungan waranti lanjutan untuk model terpilih.

Sempena bulan Mac, UMWT menawarkan promosi berikut:

  • Pakej pembiayaan dengan nilai sehingga RM7,500
  • Ansuran bulanan bermula RM658 untuk model terpilih

 

BYD Sime Motors perluas rangkaian bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara

BYD Sime Motors terus memperluaskan lagi rangkaian jualan dan servis EV di seluruh negara bagi menjadikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah diakses.

Sehingga kini, BYD sudah mempunyai lebih 40 buah bilik pameran di seluruh negara.

BYD turut menyasarkan 34 buah pusat servis beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 selepas sembilan lagi fasiliti siap dibangunkan.

BYD tembus beberapa lokasi strategik

Jenama EV itu turut meluaskan kehadirannya di beberapa lokasi strategik termasuklah di Muar, Kluang, Kuala Terengganu, Sungai Petani dan Juru.

Pusat 3S BYD Ipoh turut menyediakan hab pengecasan EV yang pertama di bandar tersebut dengan kemudahan pengecas DC 180 kW dan 240 kW.

Sementara Pusat 3S BYD Sri Hartamas pula terletak di dalam pusat membeli belah yang menggabungkan aspek jualan, servis dan juga alat ganti.

Selain itu, terdapat 12 pusat badan & cat (B&P) yang telah beroperasi di seluruh negara.

Aspek selepas jualan turut disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah daripada BYD Academy serta gudang alat ganti berpusat untuk memastikan stok mencukupi dan tempoh menunggu lebih singkat.

Pembukaan BYD Mansion di Pulau Pinang

BYD Sime Motors turut mengumumkan BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang akan mula beroperasi tahun ini.

Fasiliti baharu itu menggandingkan elemen kebudayaan tempatan ke dalam falsafah rekaan bagi mencipta ruang yang unik dan premium.

Rekaan baharu itu akan dijadikan sebagai satu standard untuk diterapkan pada bilik pameran BYD yang lain.

Prestasi cemerlang BYD tahun 2025

Berikut merupakan pencapaian BYD sepanjang tahun 2025:

  • Penyerahan kenderaan sebanyak 14,407 unit atau peningkatan 68 peratus berbanding 2024
  • 10,000 pelanggan pertama dicapai dalam 20 bulan, 10,000 seterusnya dalam masa 13 bulan
  • Jenama ke-6 paling laris dan jenama bukan nasional no.4 di Malaysia

Melihatkan perkembangan semasa, BYD optimis untuk mencapai sasaran 30,000 pelanggan di Malaysia pada April 2026.

 

Porsche Carrera Cup Asia 2026: Pelumba simulator Naquib Azlan dipilih wakili Team Porsche Malaysia

Team Porsche Malaysia bakal menampilkan bakat tempatan Naquib Azlan untuk perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia 2026 dalam kategori PRO.

Juara Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 kategori Driven Dreamers itu akan memandu jentera Porsche 911 Cup (992.2) #17.

Penyertaan Naquib Azlan turut mendapat kerjasama daripada Earl Bamber Motorsport (EBM) dan Axle Motorsports.

Daripada sim racing ke litar sebenar

Pelumba berusia 26 tahun itu memulakan karier menerusi perlumbaan simulasi pada tahun 2020.

Beliau kemudian beralih ke perlumbaan kereta sebenar menerusi program anjuran Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Setelah dinobatkan sebagai juara kategori Driven Dreamers tahun lepas, Naquib terpilih untuk menyertai program Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool.

Lebih membanggakan apabila Naquib berjaya mencatatkan rekod pusingan terpantas (1:35.391) di Litar Antarabangsa Zhuhai semasa sesi ujian rasmi PCCA 2026 (28 Februari-1 Mac).

“Pengenalan pertama terhadap sukan permotoran adalah menerusi perlumbaan simulasi, dan saya terus tertarik dari mula.

“Berlumba di dalam Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia membuka peluang yang saya tidak pernah bayangkan.

“Kini berlumba dengan Porsche Malaysia yang mempunyai warisan perlumbaan yang kuat merupakan satu penghormatan mutlak.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan daripada Porsche Malaysia serta bimbingan Axle Motorsports sepanjang perjalanan ini, dan berharap agar dapat mewakili Malaysia dan Porsche di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Liveri baharu Team Porsche Malaysia

Jentera 911 GT3 Cup (992.2) yang bakal dipandu Naquib tahun ini menampilkan layangan liveri baharu yang melambangkan jenama Sime Motors.

Bumbung kereta ini turut dihiasi layout rasmi Porsche Experience Centre Singapura yang bakal dibuka tahun 2027.

Fasiliti yang pertama di Asia Tenggara itu menjanjikan pengalaman dalam litar yang menyeluruh untuk pelanggan dan peminat.

Ia dilihat dapat mengukuhkan lagi kehadiran jenama Porsche serta budaya sukan pemotoran di rantau ini.

Pusingan pembukaan PCCA di Shanghai

Pusingan pertama Porsche Carrera Cup Asia 2026 akan berlangsung di Shanghai, China pada 14-15 Mac ini.

Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi tuan rumah bagi pusingan ke-9, 10 dan 11 yang menampilkan dua perlumbaan sprint dan satu perlumbaan format endurans.

Tiket Autobacs Super GT 2026 sudah mula dijual – harga serendah RM80

Tiket kemasukan bagi acara Autobacs Super GT 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (19–21 Jun) kini sudah mula dijual.

Promosi awal menawarkan tiket grandstand K1 pada RM80 (harga biasa RM100) dan grandstand utama pada RM200 (harga biasa RM250).

Pas masuk Super GT 2026 yang lebih premium

Pilihan lebih premium turut disediakan seperti berikut:

  • GT Club Suite: RM450 seorang hingga RM30,000 (suite eksklusif 70 pax)
  • GT Paddock Club: RM2,000
  • Experience Package: RM5,000
  • Dream Package (2 pax): RM15,000
  • VVIP Package (2 pax): RM50,000

Pemegang pas GT Club Suite & GT Suite akan mendapat akses pitlane walk, manakala GT Paddock Club turut menikmati grid walk.

Experience Package menambah pengalaman Circuit Safari bersama kereta GT. Dream & VVIP Package pula merangkumi semua keistimewaan termasuk taxi ride dan pit tour eksklusif.

Selain perlumbaan rasmi, peminat akan turut disajikan dengan aksi Vios Challenge Toyota Gazoo Racing serta edisi sulung ASEAN GR86 Cup.

Tidak ketinggalan, festival Nihon Matsuri yang menyajikan pesta makanan serta kebudayaan Jepun serta acara larian ALEPS Ekiden Night Run pada 20 Jun.

Tiket kemasukan boleh dibeli menerusi:

Super GT 2025 tarik kunjungan 75,977 peminat

Menurut Fahrizal Hasan selaku Rakan Kongsi Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Autobacs Super GT 2025 berjaya menarik kunjungan 75,977 peminat dan juga penonton perlumbaan sepanjang hujung minggu tersebut.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan acara ini lebih menarik pada tahun ini dan untuk tahun-tahun seterusnya.”

 

Mforce lancar platform komuniti digital Mforce Experience Club (MEC)

Mforce Bike Holdings mengumumkan pelancaran rasmi platform komuniti digital baharu Mforce Experience Club (MEC).

MEC direka untuk menghimpunkan pengguna serta kelab-kelab motosikal di bawah rangkaian jenama Mforce di seluruh Malaysia.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pemilikan motosikal menerusi pelbagai program eksklusif, aktiviti bertaraf nasional serta jaringan komuniti yang lebih luas.

 

Manfaat sertai Mforce Experience Club

 

Antara kelebihan menyertai Mforce Experience Club termasuklah:

  • Komuniti rasmi & diiktiraf oleh Mforce Bike Holdings
  • Pengalaman eksklusif untuk sertai acara dan program terpilih Mforce
  • Komuniti bersepadu yang menghubungkan kelab dan pemilik motosikal Mforce dari seluruh Malaysia
  • Penyertaan pelbagai aktiviti berskala besar dan bertaraf nasional

Ahli MEC turut menikmati faedah keahlian seperti sesi pratonton model motosikal terpilih, akses kepada promosi terhad serta peluang sertai sesi dialog komuniti bersama wakil pihak Mforce.

Beberapa program utama turut dirancang di bawah inisiatif MEC, antaranya:

  • Malaysia Bike Week
  • Track Day Experience
  • Konvoi bersiri mengikut zon di seluruh negara
  • Bengkel latihan keselamatan dan teknik tunggangan
  • Konvoi amal serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR)

Platform ini boleh diakses menerusi pautan https://mforceclub.my/

Gentari lancar stesen pengecasan EV 200 kW di PETRONAS Penchala Link

Gentari dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pembukaan stesen pengecasan pantas EV di PETRONAS Penchala Link (arah Damansara).

Stesen pengecas antara bandar ini menyediakan pengecas DC 200 kW yang dilengkapi tiga muncung pengecas.

Berbanding pengecas 24 kW sedia ada, masa pengecasan dapat dikurangkan kira-kira 20 minit.

Ini membolehkan pengguna mengecas kapasiti bateri lebih 60 peratus dan tempoh berhenti yang lebih singkat.

Stesen pengecas Gentari ini mampu meningkatkan akses kepada pengecasan berkelajuan tinggi memandangkan ia merupakan satu-satunya pengecas 200 kW dalam radius lima kilometer.

Inisiatif ini mencerminkan perancangan koridor strategik LLM serta komitmennya memperkukuh infrastruktur lebuh raya Malaysia untuk era EV.

Kerjasama Gentari dan LLM mengubah fungsi lebuh raya daripada sekadar penghubung antara negeri kepada infrastruktur yang dapat menyokong pergerakan EV antara bandar disumbangkan oleh lokasi strategik dan selaras dengan keperluan perjalanan sebenar.

 

Siti Nurhaliza merupakan pemilik pertama dan duta jenama GWM Wey G9 di Malaysia

GWM Malaysia secara rasmi menyerahkan MPV plug-in hybrid GWM Wey G9 Hi4 kepada pemilik pertama, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Dalam majlis serahan di GWM USJ, penyanyi popular tanah air itu turut diumumkan sebagai duta rasmi jenama Wey G9.

Menurut Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, “Kami amat berbesar hati untuk menyerahkan Wey G9 Hi4 PHEV kepada Siti Nurhaliza.

“Dengan ciri keselamatan, keselesaan, rekaan dan teknologi pintar, Wey G9 dicipta untuk pemandu yang pakar dalam menilai prestasi, menitikberatkan kecanggihan reka bentuk dan keyakinan dalam setiap perjalanan.

GWM Wey G9 pelengkap hidup Dato’ Siti

Siti Nurhaliza turut berkongsi kegembiraan beliau semasa menerima WEY G9 yang disifatkan sebagai detik yang begitu bermakna dan bernilai dalam kehidupannya.

“WEY G9 Hi4 PHEV terasa begitu sempurna dalam melengkapkan kehidupan harian saya.

“Keselesaan, ruangnya yang luas, dan reka bentuk dalamannya menjadikan setiap perjalanan lebih tenang dan menyeronokkan.

“Sama ada untuk keluar bekerja, menghadiri mesyuarat, atau meluangkan masa bersama keluarga tersayang, setiap perjalanan dirasakan lancar, damai, dan meyakinkan.

“Inilah maksud sebenar keseimbangan dan kemudahan yang amat saya hargai.”

800 tempahan diterima sejak pelancaran

Sejak dilancarkan, WEY G9 Hi4 PHEV telah menerima lebih 800 tempahan dalam minggu pertama.

Ini disumbangkan dengan harga jualan yang cukup kompetitif, iaitu sekitar RM269,800.