Pemenang hadiah utama Kempen Tonton Non Stop, On Top! pusingan ketiga, Leong Pik Leng membawa pulang sebuah Nissan Kicks e-Power baharu.
Menurut Pik Leng, kemenangan itu merupakan yang terbesar dalam hidupnya.
“Ini merupakan kenderaan Nissan pertama saya. Walaupun saya berasa sedikit gementar, tetapi saya sangat teruja untuk mula memandunya.
“Saya tidak sabar untuk menikmati perjalanan yang bakal menanti dan berkongsi kegembiraan ini bersama keluarga saya,” ujarnya lagi.
Pacuan motor elektrik sepenuhnya
Nissan Kicks e-Power digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik, menawarkan tork serta-merta, pecutan lancar serta pemanduan yang senyap dan responsif.
Enjin petrol pula berfungsi menjana tenaga elektrik untuk mengecas bateri.
Naib Presiden Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Christopher Tan mengucapkan tahniah kepada Pik Leng dan berharap kenderaan tersebut memberikan pengalaman pemanduan menyeronokkan serta kenangan indah.
Beliau turut menyatakan kerjasama dengan Tonton menggabungkan hiburan dan ganjaran kepada rakyat Malaysia, di samping membuka peluang untuk mereka mengenali Nissan serta teknologi e-Power.
UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan kempen servis kenderaan recond Toyota di seluruh negara menerusi Toyota Extra Mile.
Inisiatif ini menyediakan penjagaan kenderaan profesional oleh juruteknik bertauliah Toyota, alat ganti tulen serta piawaian penyelenggaraan yang ditetapkan.
Ia adalah selaras dengan reputasi jenama dalam aspek kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan.
Menurut UMWT, reputasi yang dibina sejak beberapa generasi itu perlu dipelihara sepanjang tempoh pemilikan.
Setiap Toyota, termasuk kenderaan recond, memerlukan penjagaan oleh tenaga pakar yang memahami kejuruteraan serta keperluan penyelenggaraannya bagi memastikan prestasi kekal optimum.
Menerusi kempen ini, UMWT memperluas kepakaran selepas jualannya kepada pemilik kenderaan recond Toyota.
Dengan 103 pusat servis Toyota di seluruh Malaysia, rangkaian selepas jualan UMWT memudahkan pelanggan mendapatkan penyelenggaraan profesional, disokong prosedur servis dan piawaian khidmat pelanggan yang seragam.
Rangkaian ini mencerminkan pelaburan berterusan Toyota dalam menjaga kualiti kenderaan sepanjang tempoh penggunaannya.
Ini sekali gus membantu pemilik mengekalkan prestasi serta kebolehpercayaan yang diharapkan daripada jenama tersebut.
GROW Design secara rasmi memasuki pasaran Indonesia menerusi perjanjian pengedaran antara GROW International dan PT TCD Asia Pacific Indonesia.
Perjanjian tersebut ditandatangani pada 30 Oktober 2026 oleh Pengerusi GROW International merangkap pengasas GROW Design, Masahiro Sasaki, dan Presiden Pengarah PT TCD Asia Pacific Indonesia, Hiroyuki Mishima.
Majlis tersebut disaksikan Pengarah Urusan GROW International, Simon Loh, serta Pengarah PT TCD Asia Pacific Indonesia, Peggy Gozali. Turut hadir ialah Presiden Toyota Customizing & Development (TCD Japan), Kenzo Nishiwaki, dan Presiden TCD ASIA, Hiromu Ishizawa.
Sepanjang lawatan itu, wakil GROW International dan TCD turut bertemu Pengarah Pemasaran Toyota-Astra Motor, Hiroyuki “Heru” Oide.
Gaya ringkas, kekalkan identiti asal
GROW Design merupakan jenama talaan dan komponen automotif yang menumpukan gaya luaran elegan serta tidak keterlaluan, di samping menambah baik aerodinamik tanpa menjejaskan rupa asal kenderaan berprestasi tinggi.
Falsafahnya mengutamakan keseimbangan rekaan dan fungsi, dengan penambahbaikan prestasi yang melengkapi karakter serta tujuan asal sesebuah kenderaan.
Rangkaian produknya merangkumi:
Kit badan dan komponen aerodinamik.
Komponen gentian karbon.
Spoiler dan sayap belakang.
Diffuser dan skirt sisi.
Pelebar fender.
Sistem suspensi.
Sistem ekzos.
Tempat duduk berprestasi tinggi dan komponen dalaman.
Pengedar global berpangkalan di Malaysia
Produk GROW Design diedarkan secara eksklusif di seluruh dunia oleh GROW International, kerjasama antara Wing Hin Motorsports dan GROW Japan yang beribu pejabat di Malaysia.
Hong Kong dan Malaysia menjadi dua pasaran pertama di luar Jepun yang melantik pengedar GROW Design, masing-masing pada September dan Oktober.
Perbincangan untuk melantik pengedar di beberapa rantau lain turut sedang berlangsung.
GROW International juga dijadualkan menawarkan rangkaian penuh produknya menerusi saluran pengedar rasmi Toyota di Jepun.
Proton mengumumkan S70 RS sebagai nama rasmi sedan yang dikemas kini untuk tahun 2027.
Sedan sporti ini bakal dilancarkan dengan harga jualan akan diumumkan secara rasmi kelak.
Rekaan luaran dan kabin
RS membawa maksud Refined Sportiness.
Bertemakan “Performance with Style”, model ini membawakan penampilan lebih berani, kabin sporty serta penambahbaikan dinamik pemanduan.
Antara perubahan pada bahagian luaran ialah:
Gril dan bampar hadapan baharu dengan aksen merah.
Skirt sisi sporty.
Rim aloi 17 inci dan angkup brek merah.
Bampar belakang baharu dengan diffuser serta kemasan empat muncung ekzos.
Ruang kabin pula menerima kemasan dua tona dengan aksen merah, konsol tengah terapung dan pencahayaan ambien.
Turut dimuatkan ialah Commander Dial serta tuil gear pada kolum stereng bagi memudahkan capaian kepada kawalan utama.
Enjin turbo kekal tanpa penambahbaikan
Proton S70 RS masih menggunakan enjin i-GT 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 181 PS dan 290 Nm.
Gabungan ini membolehkan pecutan 0–100 km/j diselesaikan dalam masa 7.5 saat.
Prestasi jualan Oktober 2026
Sepanjang bulan Oktober, Proton S70 mencatatkan jualan sebanyak 5,367 unit, dengan jualan terkumpul bagi 10 bulan pertama sebanyak 26,076 unit.
Varian turbo merekodkan jualan 3,029 unit, sementara varian S70 i-GT Lite dan Prime mencatatkan jualan 2,338 unit.
Bertempat di acara EICMA 2026, Honda memperkenalkan CRF1150L Africa Twin 2027 membawakan peningkatan kapasiti enjin, pengurangan berat dan teknologi bantuan tunggangan baharu.
Menggantikan CRF1100L, generasi baharu ini dibangunkan berkonsepkan “Shaped by You. True Adventure for All.”, dengan tumpuan kepada prestasi, keseimbangan serta kemudahan pengendalian.
Tiga varian ditawarkan:
Africa Twin
Africa Twin Adventure Sports
Africa Twin Enduro Sports
Rekaan berbeza mengikut varian
Africa Twin standard mengekalkan identiti lampu berkembar “Twin Eyes”, kini dengan rekaan lebih kecil dan tajam serta susun atur badan ringkas dan berfungsi.
Adventure Sports pula tampil lebih tegap dengan penekanan kepada perlindungan angin dan keselesaan perjalanan jauh.
Varian baharu Enduro Sports mengambil ilham daripada CRF450 RALLY, dengan garisan badan “CRF streamline” yang mengalir dari fender hadapan ke belakang bagi menyerlahkan karakter rali.
Spesifikasi enjin & casis
Honda CRF1150L Africa Twin menggunakan enjin dua silinder selari 1,131 cc sejukan cecair, menghasilkan kuasa 117 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 119 Nm @ 5,700 rpm.
Enjin tersebut telah disemak semula termasuklah penambahbaikan pada sistem kemasukan, ekzos serta nisbah gear untuk pecutan yang lebih baik dan keselesaan semasa tunggangan.
Rangka dan lengan ayun baharu mempunyai keseimbangan ketegaran yang disemak semula, dengan pengurangan berat keseluruhan kedua-dua komponen sebanyak 1.4 kg berbanding generasi terdahulu.
Tangki bahan api tambahan di bawah pelana pula merendahkan pusat graviti bagi memudahkan kawalan dan pengendalian pada kelajuan rendah.
Tetapan suspensi
Varian Africa Twin dan Adventure Sports menggunakan suspensi elektronik Showa EERA dengan kawalan Honda Skyhook.
Sistem ini memantau pergerakan motosikal dalam masa nyata dan melaraskan redaman secara berterusan untuk mengurangkan pergerakan badan yang tidak diingini.
Sementara itu, Enduro Sports menerima suspensi hadapan dengan spesifikasi setara CRF450 RALLY, jentera yang bersaing dalam Rali Dakar.
Antara kelengkapan yang diketengahkan termasuklah:
Penghadang angin boleh laras elektrik pada Africa Twin standard
Sistem kunci pintar Honda pada Africa Twin standard
Tangki bahan api 24 liter pada Adventure Sports
Roda hadapan 19 inci pada Adventure Sports
Penghadang angin besar pada Adventure Sports
Emblem Honda Flagship WING berwarna perak dan hitam
Siri ini turut menawarkan enam mod tunggangan pratetap, yang menyelaraskan karakter kuasa, kawalan cengkaman, ABS, DCT dan suspensi elektronik mengikut kelengkapan varian.
Honda SENSING RIDE
Africa Twin Adventure Sports menjadi motosikal Honda pertama menawarkan Honda SENSING RIDE yang tersedia untuk varian Adventure Sports DCT.
Menggunakan radar gelombang milimeter di hadapan dan belakang, sistem ini menyediakan fungsi seperti:
Kawalan jelajah adaptif (ACC)
ACC dengan fungsi Stop & Go
Group Ride Assist untuk tunggangan berkumpulan
Distance Assist
Amaran pelanggaran hadapan
Bantuan brek kecemasan
Maklumat titik buta
Maklumat jarak kenderaan belakang
Amaran pelanggaran dari belakang
Penggunaan bahan mampan
Honda turut menggunakan bahan lebih mampan, termasuk akrilik dan nilon kitar semula secara kimia, plastik berasaskan tumbuhan DURABIO™ pada penghadang angin serta deflektor, selain bahan kitar semula pada komponen badan dan tapak pelana.
Di acara EICMA 2026, Honda memperkenalkan CBR1000RR-R Fireblade 2027 dengan reka bentuk semula menyeluruh dan penawaran tiga varian.
Dibangunkan berkonsepkan “Total Control for the Track”, kira-kira 75% komponen motosikal direka baharu bagi meningkatkan daya saing di litar serta keseronokan tunggangan.
Barisan model terdiri daripada:
Fireblade standard
Fireblade SP
HRC Works Edition
Untuk info, versi HRC Works Edition merupakan varian homologasi baharu untuk Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan turut direka untuk kegunaan jalan raya.
Spesifikasi
Fireblade 2027 menggunakan enjin empat silinder sebaris 999 cc DOHC sejukan cecair dengan kuasa 218 hp @ 14,000 rpm dan 114 Nm @ 10,500 rpm.
Buat pertama kali pada motosikal produksi Honda, enjin ini dilengkapi sistem corong kemasukan udara boleh ubah dua peringkat.
Pada 11,750 rpm dan ke atas, bahagian atas corong bergerak naik dan terpisah daripada bahagian bawah. Sistem ini meningkatkan kuasa pada putaran rendah hingga sederhana sambil mengekalkan prestasi pada rpm tinggi.
Sistem pendikit elektronik dua motor turut diperhalusi untuk meningkatkan respons pecutan, kawalan brek enjin dan kelancaran peralihan daripada nyahpecutan kepada pecutan.
Penggunaan magnesium menggantikan aluminium pada komponen tertentu, termasuk penutup kepala silinder, pula mengurangkan berat lebih 200 gram pada Fireblade SP.
Casis & suspensi
Rangka aluminium jenis twin-tube baharu mengurangkan ketegaran sisi sebanyak 20% sambil mengekalkan ketegaran kilasan. Berat rangka turut dikurangkan sebanyak 440 gram.
Lengan ayun aluminium juga direka semula dengan diameter aci pangsi dikurangkan daripada 20 mm kepada 17 mm.
Ketegaran sisinya berkurang 12% tanpa menjejaskan ketegaran kilasan bagi meningkatkan rasa sentuhan tayar belakang ketika membelok.
Varian Fireblade standard menggunakan tetapan fork hadapan Showa Big Piston Fork (BPF) dan penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite.
Sementara Fireblade SP pula menggunakan suspensi elektronik Öhlins Smart-EC3.0 terdiri daripada fork hadapan NXP dan penyerap hentak belakang TTX36.
Tetapan redaman setiap varian dioptimumkan untuk kegunaan litar serta penyerapan permukaan tidak rata ketika tunggangan harian.
Tangki bahan api titanium tanpa penutup plastik luaran turut digunakan untuk mengurangkan berat.
Varian SP menerima kemasan hairline buatan tangan yang mendedahkan sebahagian permukaan titanium.
HRC Works Edition khusus untuk litar
Sementara varian HRC Works Edition pula direka untuk tunggangan solo.
Ia menampilkan komponen yang diperbuat daripada bahan CFRP seperti:
winglet hadapan
fender hadapan
reraup saluran udara
Suspensinya menggunakan fork Öhlins NPX dan penyerap hentak TTX36 dengan pelarasan mekanikal, manakala sistem brek menggunakan komponen Brembo Hypure Sports.
Sistem pertukaran gear dengan kedudukan neutral paling bawah
Kolar kepala stereng
Kolar pangsi lengan ayun
Komponen perlumbaan lain
Penggunaan bahan lebih mampan
Semua varian menggunakan empat kategori bahan mampan, termasuk penghadang angin DURABIO™ berasaskan tumbuhan, bahan kitar semula pada tapak tempat duduk, perumah penapis udara dan penutup sisi.
Emblem baharu Honda Flagship WING berwarna perak dan hitam pula menggunakan resin akrilik kitar semula secara kimia.
Suzuki memperkenalkan SV-7S di EICMA 2026, sebuah motosikal naked baharu yang meneruskan legasi SV650 dengan kelengkapan elektronik lebih moden.
Suzuki SV-7S dibangunkan berkonsepkan “Easy to Ride, Hard to Forget”.
Antara ciri utama model ini termasuklah lampu utama LED bulat, badan ramping serta hendal aluminium lebar untuk posisi tunggangan lebih tegak dan santai.
Spesifikasi
Suzuki SV-7S menggunakan enjin dua silinder V-twin 90 darjah bersesaran 645 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 72.4 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 64 Nm @ 6,800 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan sistem pacuan akhir rantai.
Ia turut menerima sistem pendikit elektronik serta penambahbaikan pada komponen transmisi, sistem kemasukan udara dan penukar bermangkin bagi memenuhi piawaian emisi Euro 5+.
Model ini mengekalkan rangka keluli jenis trellis, dengan tetapan suspensi yang disemak semula untuk mengimbangi keselesaan dan pengendalian sporti.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik hadapan 41 mm dan penyerap hentak tunggal belakang jenis pautan, lengkap dengan larasan pra-beban.
Brek pula menggunakan rotor berkembar 290 mm di hadapan dengan angkup empat omboh, diikuti rotor tunggal 240 mm serta angkup satu omboh di belakang, dibantu ABS.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
Skrin paparan TFT berwarna 4.2 inci
Sokongan Suzuki Ride Connect+
Navigasi belokan demi belokan melalui sambungan telefon pintar
Lampu utama dan lampu membelok LED
Rim 17 inci dengan tayar hadapan 120/70 dan belakang 160/60
Tangki bahan api 14 liter
Tinggi pelana 785 mm
Suzuki SV-7S turut mendapat pakej Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), merangkumi:
Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dengan tiga pilihan karakter kuasa
Kawalan cengkaman tiga tahap yang boleh dinyahaktifkan
Sistem quickshifter dua arah
Suzuki Easy Start
Low RPM Assist untuk membantu pergerakan dari keadaan pegun
Suzuki memperkenalkan GSX-10R di EICMA 2026, sebuah motosikal sport baharu yang menggabungkan prestasi litar dengan praktikaliti untuk kegunaan harian.
Walaupun menggunakan nama berakhiran “R”, model ini berkongsi banyak komponen dengan keluarga GSX-S1000, tetapi menampilkan ergonomik tunggangan agresif seperti GSX-R1000R.
Rekaannya meneruskan elemen tradisional GSX-R, dengan lampu utama tengah yang lebih kecil.
Menurut Suzuki, reraup hadapan melalui ujian terowong angin berulang bagi membentuk ruang perlindungan angin di sekitar topi keledar ketika penunggang menunduk.
Sepasang winglet pendek pula lebih tertumpu kepada pengurusan aliran udara berbanding menghasilkan daya mendap.
Spesifikasi
Suzuki GSX-10R menggunakan versi enjin K5 yang dikemas kini seperti yang digunakan pada GSX-S1000GT, GSX-S1000GX dan Katana.
Enjin ini menghasilkan kuasa 152 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas kira-kira 114 Nm @ 9,250 rpm.
Suzuki mengemaskini enjin ini dengan komponen baharu seperti profil sesondol, aci sesondol, sproket rantai pemasaan, kepala silinder, perumah enjin serta jurnal aci engkol baharu.
Menurut Suzuki, perubahan tersebut bertujuan mengimbangi prestasi dan kebolehpercayaan, selain menyediakan enjin untuk penggunaan bahan api berasaskan alkohol pada masa depan.
Ia turut dilengkapi klac slipper dan sistem ekzos empat-ke-satu, dengan peredam lebih kecil berbanding GSX-R1000R.
Casisnya menyerupai model GSX-S dan Katana, tetapi menggunakan subrangka baharu untuk menyesuaikan posisi tunggangan lebih sporti.
Tetapan suspensi terdiri daripada fork KYB 43 mm dan penyerap hentak belakang rekaan baharu, kedua-duanya boleh dilaraskan sepenuhnya.
Brek hadapan pula menggunakan rotor berkembar 310 mm dan angkup monoblok radial Brembo.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
Skrin paparan TFT
Tangki bahan api 18 liter
Tinggi pelana 810 mm
Rim 17 inci
Tayar Bridgestone Battlax Hypersport S23
Sistem quickshifter dua arah
Suzuki Ground Beacon System
Suzuki GSX-10R turut mendapat bantuan elektronik berasaskan IMU melalui pakej Smart Traction, Lift, Roll Torque and Slide Control (SMART TLRS).
Kelengkapan elektronik lain termasuk tiga peta kuasa, ABS mengikut sudut kecondongan, kawalan brek enjin, launch control dan kawalan jelajah.
Turut diperkenalkan ialah sistem Brake Hold yang mengekalkan tekanan brek belakang selama 30 saat selepas motosikal berhenti.
Sistem Brake Hold ini akan dilepaskan apabila pendikit dibuka atau tuil brek hadapan ditekan dua kali dengan pantas.
Mercedes-Benz Malaysia hari ini mempertontonkan sedan C-Class elektrik yang bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Varian tunggal C 300 4MATIC AMG Line ini ditawarkan pada harga anggaran RM360,888.
Pelan Agility+ pula menawarkan ansuran bulanan sekitar RM3,988.
Spesifikasi
C 300 ini dipacu oleh dua motor elektrik, dengan kuasa 421 hp dan daya kilas 800 Nm yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda 4MATIC dan transmisi dua-kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.
Pek bateri 85 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 690 km.
Dengan pengecasan AC 22 kW, bateri boleh dicas 0-100% dalam masa 4.5 jam.
Manakala dengan teknologi 800V, ia boleh menyokong pengecasan pantas DC 320 kW, membenarkan bateri dicas 10-80% dalam masa 22 minit, atau tambah 290 km dalam masa 10 minit pengecasan.
Kelengkapan
Secara standard, C 300 ini dilengkapi dengan tetapan suspensi selesa, pakej AMG line Plus, rim 20 inci AMG, serta DIGITAL LIGHT.
Menyerlahkan rupa paras sedan ini ialah jeriji ikonik dengan panel bercahaya, logo bintang Mercedes bercahaya, serta lampu belakang dengan grafik logo Mercedes.
Untuk ruang kabin, terdapat ciri seperti:
MBUX Hyperscreen 39.1 inci
sistem bunyi keliling 3D Burmester
sistem multimedia dan navigasi MBUX
sokongan Apple CarPlay & Android Auto
slot pengecas peranti pintar tanpa wayar
bumbung panorama SKY CONTROL
kawalan iklim automatik
sistem pencahayaan ambien
alas lantai AMG
Sedan ini turut dilengkapi dengan tempat duduk AMG Line Sports, balutan
upholsteri tempat duduk kulit hitam dengan jahitan kontras merah, serta tali pinggang keledar merah.
Dari segi keselamatan, C 300 ini hadir dengan kelengkapan:
MB.DRIVE ASSIST
MB.DRIVE Parking Assist 360
sistem bunyi akustik
kamera perakam pemanduan
sistem pemantauan tekanan tayar
11 beg udara
Dengan jarak antara roda 2,962 mm, C-Class elektrik menawarkan ruang kabin yang lebih luas berbanding C-Class konvensional.
Ruang kargo adalah sebesar 470 liter, sementara ruang frunk pula sebesar 101 liter.
PETRONAS Sprinta sekali lagi menyemarakkan semangat komuniti permotoran menerusi penganjuran Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2026 untuk tahun keempat.
Penganjuran kali ini menyaksikan lebih 700 penunggang daripada pelbagai komuniti, jenama dan kapasiti enjin, menjadikan penyertaan yang paling ramai setakat ini.
Antara jenama yang turut mengambil bahagian termasuklah:
Harley-Davidson
Ducati
BMW
Yamaha
Honda
Suzuki
Kawasaki
Perjalanan konvoi
Pasukan konvoi dilepaskan dari PETRONAS Cyberjaya sebelum bergerak secara kumpulan menuju ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Iringan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang turut membantu memastikan pergerakan lebih teratur dan lancar.
Setibanya di Litar Sepang, semua peserta dibawa singgah ke Pavilion PETRONAS untuk menikmati aktiviti yang disediakan sebelum meneruskan agenda utama, iaitu menyaksikan aksi perlumbaan dari Main Grandstand.
Acara yang dinantikan komuniti motosikal
Acara Konvoi PETRONAS Sprinta ini bukan sahaja dinantikan oleh komuniti motosikal, malah ia menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dengan penunggang daripada pelbagai segmen.
Penyertaan paling ramai pada tahun ini turut mencerminkan semangat kebersamaan komuniti dua roda melangkau pelbagai jenama, model dan kapasiti enjin.
Melihatkan sambutan menggalakkan, PETRONAS Sprinta berharap program seumpama ini dapat terus mendekatkan jenama itu dengan komuniti motosikal Malaysia.
Selain itu, ia juga dapat memupuk budaya tunggangan yang selamat, berdisiplin dan penuh semangat persaudaraan.
Selain model RW700, Yamaha turut memperkenalkan sebuah lagi skuter kembara iaitu Yamaha RW350 2027.
Ia merupakan skuter pengembaraan kelas pertengahan yang menggabungkan kelebihan skuter maxi dan jentera kembara.
Model ini didatangkan dengan enjin baharu dan teknologi Yamaha Dynamic Ride untuk kestabilan serta keselesaan tunggangan.
Spesifikasi
Yamaha RW350 dilengkapi enjin silinder tunggal 327 cc sejukan cecair menghasilkan 29.2 PS @ 7,000 rpm dan daya kilas 31.5 Nm @ 5,750 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat.
Teknologi Yamaha Dynamic Ride menempatkan enjin secara tetap pada rangka, manakala unit CVT bergerak mengikut pergerakan suspensi belakang dengan berpaksikan aci engkol.
Menurut Yamaha, susun atur ini mengurangkan berat tidak terampai dan memberikan lebih kebebasan dalam reka bentuk suspensi belakang.
Sistem pengimbang empat paksi pula membantu mengurangkan getaran.
Tetapan suspensi terdiri daripada fork jenis terbalik 37 mm dengan jarak gerak 140 mm, dibantu penyerap hentak berkembar belakang dengan jarak gerak 105 mm serta larasan tujuh-tahap.
Brek pula menggunakan rotor tunggal 282 mm di hadapan dan 245 mm di belakang.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
Rim 16 inci hadapan dan 14 inci belakang
Skrin paparan TFT berwarna 5 inci dengan sokongan aplikasi MyRide dan navigasi Garmin StreetCross
Tempat pemijak kaki lebar serta papan pemijak boleh lipat
Tangki bahan api 13 liter
Tinggi pelana 810 mm
Sistem kunci pintar
Lampu membelok padam sendiri
Yamaha RW350 turut mendapat ciri bantuan elektronik seperti:
Yamaha Ride Control (YRC) dengan mod Street, Explore dan Eco
Setelah sekian lama, Yamaha akhirnya memperkenalkan RW700 2027, skuter pengembaraan baharu yang mampu memberikan saingan kepada Honda X-ADV.
Yamaha menyifatkan model ini sebagai skuter kembara pertama di dunia yang berkuasa dan berkeupayaan, menggabungkan keselesaan skuter dan DNA motosikal kembara.
Spesifikasi
Yamaha RW700 dilengkapi dengan enjin dua silinder CP2 bersesaran 689 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 69.3 PS @ 8,250 rpm dan daya kilas 65 Nm @ 6,500-6,750 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan Yamaha Automated Manual Transmission (Y-AMT) dan sistem pacuan akhir rantai.
Dengan sistem ini, penunggang boleh memilih pertukaran gear automatik atau menukar gear sendiri melalui suis pada hendal.
Yamaha mendakwa sistem ini membolehkan pertukaran gear dalam 0.1 saat, dengan talaan yang dioptimumkan untuk kegunaan luar jalan.
Tetapan suspensi terdiri daripada fork jenis terbalik 41 mm (jarak gerak 160mm) dibantu dengan penyerap hentak tunggal (jarak gerak 155 mm) lengkap dengan larasan pra-beban dan lantunan.
Brek pula menggunakan tetapan rotor berkembar 298 mm di depan dan rotor tunggal 267 mm di belakang.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
rim jejari 17 inci depan/15 inci belakang
tempat pemijak kaki boleh laras kedudukan
skrin paparan TFT 5-inci dengan sokongan aplikasi MyRide dan navigasi Garmin StreetCross
BYD Sime Motors menambah baik kemudahan tempahan servis digital menerusi aplikasi OneGo Sime Motors.
Aplikasi ini membolehkan pemilik menjadualkan penyelenggaraan dengan lebih mudah tanpa proses tempahan dan pengesahan manual.
Aplikasi ini memaparkan kekosongan janji temu dalam masa nyata, dengan pelanggan boleh memilih tarikh, masa, pusat servis dan penasihat servis sebelum menerima pengesahan serta-merta.
Untuk membuat tempahan, pemilik hanya perlu memilih kenderaan berdaftar, memasukkan bacaan perbatuan serta nota kepada pasukan teknikal jika diperlukan. Butiran janji temu kemudian dihantar melalui e-mel.
Urus jadual servis dalam aplikasi
Antara fungsi lain yang tersedia ialah:
Menambah janji temu ke kalendar Apple atau Google dengan satu sentuhan.
Menyemak dan menjadualkan semula janji temu akan datang.
Menyemak tarikh servis terakhir.
Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata, pendigitalan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan selepas jualan seiring pertambahan pelanggan BYD.
Diskaun servis RM50 hingga 31 Disember
Pemilik BYD yang membuat tempahan melalui OneGo boleh menikmati diskaun servis RM50 sepanjang kempen sehingga 31 Disember 2026.
Rangkaian BYD di Malaysia kini merangkumi 33 kemudahan selepas jualan, 16 pusat badan dan cat serta 45 cawangan jualan dan pemasaran.
MINI Malaysia memperkenalkan semula MINI NEXT, program kenderaan pra-milik bertauliah yang menawarkan pilihan MINI terpakai dengan pemeriksaan menyeluruh, sejarah kenderaan disahkan dan peluang tukar beli pelbagai jenama.
Penawaran ini turut merangkumi MINI elektrik sepenuhnya (BEV) pra-milik, bagi pelanggan yang mahu beralih kepada pemanduan elektrik.
Pemeriksaan 360 darjah sebelum diperakui
Setiap kenderaan MINI NEXT dipilih dan dinilai menerusi pemeriksaan 360 darjah, meliputi:
Keadaan dalaman dan luaran.
Komponen mekanikal.
Sistem keselamatan.
Sejarah servis dan rekod kenderaan.
Kenderaan turut menjalani pandu uji, proses baik pulih jika diperlukan serta pemeriksaan akhir sebelum menerima pensijilan MINI NEXT.
Rekod yang disahkan membantu pelanggan menilai bacaan perbatuan, sejarah penggunaan dan penyelenggaraan sebelum membuat pembelian.
Tukar beli pelbagai jenama
MINI NEXT menyediakan sokongan tukar beli kenderaan daripada pelbagai jenama bagi memudahkan pelanggan memiliki MINI pra-milik bertauliah.
Menurut MINI Malaysia, program ini menggabungkan harga kompetitif dengan pemeriksaan dan pensijilan rasmi untuk memberikan keyakinan tambahan kepada pembeli.
Bagi kenderaan terpilih yang lebih baharu, pelanggan juga boleh menikmati baki manfaat MINI Service & Repair Inclusive serta MINI Roadside Assistance yang masih sah.
Selain model untuk kegunaan bandar dan crossover, pilihan MINI NEXT turut merangkumi model elektrik dengan karakter pemanduan ala go-kart yang sinonim dengan jenama tersebut.
GWM Malaysia mengumumkan unit pertama Ora 5 Hi2 HEV siap dikeluarkan dari kilang EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka.
Model terbaharu ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada November ini, dengan anggaran harga bawah RM115,000.
Spesifikasi
Ora 5 Hi2 HEV menggabungkan enjin turbo 1.5 liter dan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS serta daya kilas 476 Nm.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi hibrid khusus (DHT) dua kelajuan, dengan sistem hibrid yang tidak memerlukan pengecasan luaran.
Menurut GWM, model ini menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.4 liter/100 km dan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100 km.
Reka bentuk & kecekapan diiktiraf
Ora 5 turut meraih Design of the Year di London Design Awards 2025, menjadikannya kereta produksi pertama dunia menerima pengiktirafan tersebut.
Model ini juga memenangi Best Interior Design Award (Family Car) di TADA 2026.
Selain itu, Ora 5 HEV mencatat GUINNESS WORLD RECORDS™ bagi penggunaan bahan api terendah oleh SUV hibrid elektrik produksi dalam perjalanan merentasi semua bandar perbandaran China di bawah pentadbiran langsung kerajaan pusat.
Catatannya ialah 3.74 liter/100 km sepanjang perjalanan 3,004 km.
Perluas barisan pemasangan tempatan GWM
Ora 5 Hi2 HEV merupakan model pemasangan tempatan terbaharu GWM yang menyertai Haval H6 HEV, WEY G9 Hi4 PHEV dan versi HEV.
Setakat ini, lebih 10,000 kenderaan GWM telah dipasang di Malaysia, manakala lebih 1,100 unit WEY G9 pemasangan tempatan dieksport ke Thailand dan Indonesia.
Pelanggan boleh membuat tempahan Ora 5 Hi2 HEV menerusi pengedar sah GWM di seluruh negara.
Promosi sempena ulang tahun ke-4
Sempena ulang tahun keempat, GWM Malaysia menawarkan hadiah cabutan bertuah utama berupa Ora 5 Hi2 HEV dengan pembelian kenderaan GWM pada November atau Disember 2026.
Pemenang bakal diumumkan pada Januari 2027.
Selain itu, dua cabutan bertuah bulanan berasingan akan diadakan pada bulan November dan Disember, menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM100,000.
Antara tawaran eksklusif lain termasuklah:
kadar pembiayaan serendah 0.08%
manfaat bernilai sehingga RM17,000
bantuan insurans dan tukar beli kenderaan
lanjutan tempoh jaminan
pakej penyelenggaraan percuma
Selain itu GWM Malaysia turut memperkenalkan model Haval H6 HEV dan Tank 500 yang menampilkan kemasan hitam tersendiri, serta penambahbaikan terpilih mengikut model.
Didi Group selaku pengimport dan pengedar tunggal Aprilia di Malaysia memperkenalkan Aprilia RS 457 GP Replica sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026.
Pratonton edisi khas berinspirasikan MotoGP itu disempurnakan oleh pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi.
Ia dijual pada harga RM35,900.
Inspirasi daripada jentera RS-GP
Mengambil ilham daripada jentera perlumbaan Aprilia RS-GP, RS 457 GP Replica tampil dengan warna hitam yang menggabungkan kemasan berkilat dan kusam, dipadankan grafik bercorak perlumbaan.
Komponen aluminium seperti rangka, lengan ayun dan plat stereng turut menerima kemasan gelap bagi menyerlahkan penampilan sporty serta premium.
Selain penampilan berbeza, edisi GP Replica dilengkapi:
sistem quickshifter
pad brek hadapan dinaik taraf
Penutup tempat duduk belakang
Spesifikasi asas
Motosikal ini mengekalkan enjin dua silinder selari 457 cc yang dikongsi dengan RS 457 standard, menghasilkan 48 hp @ 9,400 rpm dan 43.5 Nm @ 6,700 rpm.
Tetapan suspensi terdiri daripada fork USD 41 mm diikuti penyerap hentak tunggal, lengkap dengan larasan pra-beban.
Aveta International Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Peugeot Motocycles di Malaysia melancarkan Peugeot Speedfight 4+ GP Edition untuk pasaran tempatan.
Skuter edisi terhad ini membawakan penampilan yang diinspirasikan daripada MotoGP.
Hanya 50 unit sahaja ditawarkan, setiap satu dijual pada harga RM10,388.
Harga termasuk set pelincir Motul
Setiap pembelian Speedfight 4+ GP Edition turut disertakan dengan set minyak pelincir Motul, terdiri daripada:
pelincir Motul Scooter Power LE MB 5W-40
bendalir transmisi Motul Scooter Gear Plus 80W-90
Pelancaran ini turut menandakan pelantikan Motul sebagai rakan pelincir rasmi Peugeot Motocycles di Malaysia.
Minyak pelincir Motul akan ditawarkan di semua pengedar sah bagi menyokong keperluan servis pelanggan.
Spesifikasi asas kekal sama
Skuter ini dikuasakan enjin SmartMotion® 150 cc silinder tunggal sejukan cecair menghasilkan kuasa 12.5 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 13.2 Nm @ 5,500 rpm.
Ia dilengkapi dengan ciri seperti:
sistem brek ABS dua-saluran
rim aloi ringan 13 inci
tangki bahan api 7.4 liter
Fork teleskopik terbalik depan, penyerap hentak tunggal belakang
Skrin paparan digital LCD
Tinggi pelana 780 mm
Peugeot Speedfight 4+ GP Edition kini boleh didapati menerusi semua pengedar sah Peugeot Motocycles di seluruh negara.
NEXEN TIRE Malaysia memperkenalkan dua produk tayar baharu untuk pasaran Malaysia iaitu N’BLUE S dan N’FERA PRIMUS UX.
Kedua-dua produk ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan pemanduan musim tengkujuh dengan tumpuan kepada aspek keselamatan, cengkaman jalan basah serta kestabilan pemanduan.
Menurut NEXEN, produk tayar baharu itu juga sesuai untuk digunakan pada kenderaan elektrik (EV).
Dengan kehadiran tanda EV ROOT, ia menunjukkan keupayaan tayar untuk menampung berat tambahan serta daya kilas serta-merta EV.
N’BLUE S
N’BLUE S merupakan tayar jelajah atau touring yang direka untuk membantu pemandu mengekalkan kawalan ketika hujan lebat.
Corak bunganya menyalurkan air keluar dari permukaan sentuhan tayar bagi mengurangkan risiko aquaplaning, iaitu keadaan tayar kehilangan sentuhan dengan jalan akibat lapisan air.
Rintangan golek rendah pula membantu mengurangkan penggunaan bahan api.
N’BLUE S turut digunakan sebagai tayar kelengkapan asal (OE) pada model terpilih seperti Volkswagen Golf dan Audi A3.
Di Malaysia, ia ditawarkan dalam 110 saiz untuk rim 14 hingga 17 inci.
N’FERA PRIMUS UX
N’FERA PRIMUS UX pula ialah tayar berprestasi ultra tinggi dengan struktur diperkukuh bagi meningkatkan keselesaan serta kestabilan ketika pemanduan lebuh raya.
Menurut Nexen, jangka hayat bunga tayarnya adalah kira-kira 20% lebih lama berbanding model terdahulu.
Dibangunkan berasaskan strategi One Universal Fit, tayar ini sesuai untuk pelbagai jenama kenderaan dari Eropah, Jepun, Korea Selatan dan China.
Tayar ini sesuai untuk rim bersaiz 17 hingga 21 inci.
Program penggantian enam bulan
Kedua-dua rangkaian dilindungi di bawah Program Pertukaran NEXEN TIRE, yang menawarkan penggantian satu dengan satu dalam tempoh enam bulan bagi kerosakan akibat bahaya jalan raya yang memenuhi kelayakan program.
Program ini tersedia melalui pengedar yang mengambil bahagian, dan pelanggan perlu mendaftarkan tayar ketika pembelian.
NEXEN TIRE Malaysia turut membangunkan program waranti tersendiri, dengan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan perancangan untuk memperluas perniagaan Big Bike di Malaysia.
Ia adalah sejajar dengan pertumbuhan pesat segmen motosikal 250cc dan ke atas di Malaysia.
Tambah penawaran model baharu
Sebagai satu cara untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran, HLYM akan memperbaharui operasi perniagaan Big Bike bagi model import sepenuhnya (CBU).
Di bawah strategi ini, HLYM akan memperluas barisan model sedia ada daripada tujuh kepada lebih 20 model terdiri daripada unit CBU dan pemasangan tempatan (CKD).
Untuk itu, HLYM menjalinkan kerjasama dengan Yamaha Motor Co. Ltd. dan DRB-HICOM Auto Solutions Sdn Bhd (DHAS) melibatkan kepakaran pengilangan, pengedaran dan pemasangan.
Tiga komponen utama BLU
Selain itu, HLYM turut mengumumkan rangkaian Big Bike ‘BLU’, satu ekosistem menyeluruh merangkumi
aspek jualan, perkhidmatan selepas jualan, gaya hidup dan penglibatan komuniti.
Rangkaian baharu BLU ini adalah seperti berikut:
BLU Nexus
BLU Nexus berperanan sebagai bilik pameran utama premium di Kompleks Hong Leong Yamaha, Sungai Buloh.
Pengunjung boleh melihat pelbagai kategori motosikal, menilai posisi tunggangan dan ketinggian pelana, serta mendapatkan pakaian dan barangan rasmi Yamaha.
BLU Universe
Ini pula merupakan rangkaian pengedar premium untuk motosikal CKD 250 cc dan ke atas, bermula 1 Januari 2027.
Difahamkan 19 cawangan akan diperkenalkan secara berperingkat di seluruh Malaysia menjelang Q1 2028 termasuk empat cawangan pertama menjelang akhir 2026.
Setiap BLU Universe dilengkapi dengan pusat servis bersepadu BLU CARE dikendalikan oleh juruteknik bertauliah dan penasihat servis, serta sokongan alat ganti tulen.
Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuklah:
pengambilan dan penghantaran motosikal pintu ke pintu
kemudahan mencuci dan menggilap motosikal
latihan kemahiran menunggang percuma bagi setiap pembelian
pemasangan kelengkapan menunggang secara percuma
perkhidmatan ‘bike concierge’ untuk tujuan simpanan dan penyelenggaraan motosikal
BLU Point
Terdiri daripada 43 pengedar BLU Point di seluruh negara yang menyediakan akses kepada motosikal Yamaha bawah 250 cc.
Jenama gaya hidup aktif terkenal dari Sweden, Thule memperkenalkan rangkaian kerusi keselamatan kanak-kanak di Malaysia menerusi Thule Expo 2026.
Acara itu menghimpunkan 180 tetamu termasuk 80 pengedar Asia Pasifik, rakan perniagaan tempatan serta wakil media.
Berikut merupakan perincian ringkas bagi tiga model kerusi keselamatan kanak-kanak yang baharu dilancarkan:
Thule Maple (RM1,990.00)
Maple merupakan kerusi keselamatan untuk bayi baru lahir dan bayi kecil, dengan tumpuan kepada perlindungan serta keselesaan.
Ia menawarkan fungsi rebah dan keserasian dengan kereta sorong Thule bagi memudahkan peralihan antara perjalanan dalam kenderaan dan aktiviti di luar.
Thule Elm (RM2,890.00)
Elm pula ialah kerusi keselamatan premium untuk kanak-kanak kecil yang dilengkapi fungsi putaran 360 darjah.
Ia menyokong penggunaan menghadap belakang untuk tempoh lebih lama serta menawarkan beberapa posisi rebah bagi memudahkan rutin harian keluarga.
Thule Palm (RM1,790.00)
Palm merupakan kerusi booster berpenyandar tinggi yang memenuhi piawaian i-Size, dibangunkan dengan pendekatan bahawa keselesaan menyumbang kepada keselamatan.
Ciri utamanya termasuk panduan laluan tali pinggang keledar yang mudah digunakan dan sambungan ISOFIX untuk kestabilan.
Rekaannya turut dioptimumkan bagi membolehkan sehingga tiga kerusi dipasang sebaris di tempat duduk belakang, bergantung pada model dan ruang kenderaan.
Thule Alfi (RM1,990.00)
Melengkapkan rangkaian ini ialah Thule Alfi, tapak kerusi keselamatan ISOFIX yang serasi dengan Thule Maple dan Thule Elm.
Direka untuk memudahkan ibu bapa, Alfi menyediakan panduan pemasangan yang membantu memastikan kerusi dipasang dengan betul dan selamat.
Sistem sambungannya turut membolehkan kerusi dipasang dengan cepat dan mudah.
Produk lain turut dipamerkan
Selain produk kerusi keselamatan kanak-kanak, Thule turut mempamerkan variasi produk gaya hidup aktif termasuklah: