Kalau sebelum ini Toyota sudah melancarkan Hilux Champ sebagai alternatif kepada trak pikap Hilux, ini pula model yang paling asas dan… kosong!
Memperkenalkan Toyota IMV Origin Concept.
Trak ini dibina menggunakan konsep ‘ketidaklengkapan yang disengajakan’. Ideanya, pelanggan sendiri yang menentukan konsep mengikut keperluan masing-masing.
Menurut Presiden Toyota Motor Corporation Koji Sato berkata, “Kami hanya akan membina asas. Daripada situ, setiap pelanggan akan melengkapkan kenderaan tersebut untuk memenuhi keperluan mereka.
“Sebagai pengeluar, menghasilkan kenderaan yang tidak siap adalah satu perkara yang mengecewakan. Namun, dengan tidak menyempurnakannya ia akan menjadi sebuah kenderaan ‘untuk anda’, kerana setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.
Tidak banyak info yang didedahkan, namun di reruai JMS 2025, kita dapat lihat Toyota IMV Origin boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis keperluan termasuklah sebagai kuda kerja untuk mengangkut barangan di ladang sayuran atau haiwan ternakan, kenderaan safari, trak makanan, serta kenderaan jelajah bulan.
Bosch Mobility Aftermarket (MA) mengumumkan rangkaian produk minyak enjin terbaharunya kini telah menerima pensijilan rasmi SIRIM QAS International.
Penganugerahan terbaharu ini memastikan rangkaian produk Bosch itu mematuhi keperluan terbaharu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Minyak Enjin untuk Kenderaan Bermotor) 2024.
Pensijilan rasmi ini hadir pada masa yang tepat untuk mengukuhkan lagi kempen “Driver’s Choice: Ask for Bosch” yang dijalankan oleh Bosch MA untuk menawarkan produk berkualiti tinggi dan boleh dipercayai.
Dalam masa yang sama, langkah proaktif Bosch ini dilihat dapat melindungi pengguna daripada produk tiruan dan memastikan ketenangan minda.
Berikut merupakan rangkaian produk Bosch Engine Oil yang telah diiktiraf:
Untuk enjin petrol:
Bosch Premium X7 SAE 0W-20 (4-litre) – minyak sintetik penuh, ILSAC GF-6A
Bosch Premium X7 SAE 5W-30 (4-litre) – minyak sintetik penuh, ILSAC GF-6A
Bosch Premium X7 SAE 5W-40 (4-litre) – minyak sintetik penuh
Bosch Mega X6 SAE 10W-30 (4-litre) – minyak semi-sintetik
Bosch Mega X6 SAE 10W-40 (4-litre) – minyak semi-sintetik
Bosch Premium X7 SAE 5W-30 (1-litre) – minyak sintetik penuh
Bosch Premium X7 SAE 5W-40 (1-litre) – minyak sintetik penuh
Bosch Mega X6 SAE 10W-30 (1-litre) – minyak semi-sintetik
Bosch Mega X6 SAE 10W-40 (1-litre) – minyak semi-sintetik
Untuk enjin diesel:
Bosch Mega D6 15W-40 (6-litre) – mineral
Bosch Mega D6 15W-40 (1-litre) – mineral
Kesemua rangkaian produk minyak sintetik penuh untuk enjin petrol memenuhi keperluan piawaian terkini API SP dan SP, sementara rangkaian produk semi-sintetik pula memenuhi API SP dan SN+.
Minyak enjin diesel pula memenuhi piawaian API CI-4.
Menurut Dillion Goh selaku Pengarah Perniagaan Negara Bosch Mobility Aftermarket Malaysia berkata, “Pengiktirafan oleh SIRIM QAS mengesahkan komitmen teguh kami terhadap piawaian kualiti dan keselamatan dalam pasaran Malaysia.
“Di Bosch, kami secara aktif menyokong segala usaha untuk menegakkan integriti pasaran dan memerangi kegiatan pemalsuan. Untuk setiap pemandu di Malaysia, tanda pensijilan ini merupakan janji terhadap kebolehpercayaan dan kualiti tulen Bosch.
Ini merupakan satu berita baik buat para peminat supercar klasik buatan Jepun.
Pininfarina (yang sebelum ini menghasilkan model konsep NSX HP-X) mengumumkan kerjasama dengan JAS Motorsport untuk menghidupkan semula NSX era 1990-an yang asal.
Projek restomod ini akan menggunakan casis original, namun pihak Pininfarina akan menghasilkan panel badan gentian karbon yang direka khas.
Yang pasti, ia akan mengikut kembali rekaan asal NSX yang sangat digemari ramai itu.
Berdasarkan gambar yang dibekalkan, NSX restomod itu masih lagi mengekalkan binaan lampu pop-up yang ikonik, namun diserikan dengan unit pencahayaan LED yang lebih moden.
NSX ini boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) atau kiri (LHD).
Enjin bentangan V6 3.0 liter aspirasi semula jadi (NA) akan dikekalkan, namun dengan talaan yang lebih berkuasa dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.
Menurut JAS, projek NSX restomod ini akan ditawarkan dalam unit yang cukup terhad – bermakna harga jualan yang jauh lebih mahal berbanding model NSX terpakai.
Biarpun telah lama ditamatkan produksi, generasi pertama Honda NSX masih lagi mempunyai bilangan pengikut yang cukup besar di seluruh dunia (dan harga yang masih lagi liat untuk turun).
WTC Automotif (M) Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama GAC di Malaysia mengumumkan harga jualan bagi model MPV plug-in hybrid, iaitu GAC M8 PHEV 2025.
GAC M8 PHEV boleh didapati dalam dua varian, iaitu:
Premium – RM328,800
Luxury – RM388,800
Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025 akan menerima kabel pengecasan mudah alih serta pakej penyelenggaraan berkala percuma dua-tahun, dengan nilai keseluruhan RM3,800.
M8 PHEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan transmmisi hibrid DHT dua-kelajuan.
Kuasa keseluruhan mencecah 372 PS dan daya kilas 630 Nm.
Dengan pek bateri 25.57 kWh dan kapasiti tangki bahan api 56 liter, M8 PHEV mampu bergerak sehingga 1,038 km.
Terdapat tiga mod pemanduan pintar, iaitu Intelligent Hybrid, All-Electricity First dan Power Reservation, dibantu dengan ciri Adaptive Vehicle Dynamic Control System dan Electromagnetic Damping Suspension.
Selain daripada itu, GAC M8 PHEV menawarkan ciri seperti:
unit lampu LED
rim aloi 18 inci dengan penutup imbang kendiri
tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh laras kedudukan sehingga 480 mm
sistem pendingin hawa dengan teknologi Cool-Sense
sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2
fungsi Full Automatic Parking Assist (FAPA)
beg udara cermin belakang sebagai sebahagian daripada sistem beg udara 360 darjah
GAC M8 PHEV didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan bateri selama lapan-tahun atau had perbatuan 150,000 km (yang mana tiba dahulu).
SAIC Motor Malaysia mengumumkan semakan harga bagi model SUV elektrik MG S5 EV.
Berkuatkuasa serta-merta, MG S5 EV kini bermula serendah RM107,900 bagi varian COM, RM117,900 untuk varian COM Long Range dan RM127,900 bagi varian LUX Long Range.
Pembeli juga bakal mendapat manfaat daripada Ultimate Ownership Package yang menawarkan penjimatan sehingga RM10,000 merangkumi:
pengecas dinding AC 7 kW secara percuma, atau
pilihan kredit pengecasan
Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan Pakej Pembiayaan Ultimate MG yang disediakan melalui pengedar sah MG di seluruh negara.
MG S5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 170 PS dan 250 Nm.
Terdapat dua pilihan pek bateri iaitu 49 kWh dengan jarak pandu sehingga 340 km, serta 62 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 430 km (data kitaran WLTP).
Kesemua varian menyokong pengecasan AC 7 kW, namun varian LUX mendapat sokongan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, membolehkan pengecasan 10-80 peratus dalam masa 26 minit.
Menurut Emory QiFeng selaku Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, “Semakan harga ini menunjukkan komitmen kami untuk menjadikan pemilikan EV lebih mampu milik untuk rakyat Malaysia, selaras dengan persiapan kami ke arah strategi pemasangan tempatan.
Suzuki Malaysia Sdn Bhd mengumumkan ketibaan dua buah model motosikal terbaharu, iaitu Suzuki GSX-8T dan Suzuki GSX-8TT bersempena penganjuran MotoGP Malaysia baru-baru ini.
Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 776 cc DOHC menghasilkan kuasa 80 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 77 Nm @ 6,800 rpm.
Biarpun dibina berdasarkan platform GSX-8 yang moden, kedua-dua model ini dibezakan menerusi penggayaan neo-retro.
GSX-85 mengambil inspirasi daripada jentera klasik Suzuki T500 Titan dengan ciri seperti:
unit lampu LED berbentuk bulat
kemasan tangki bahan api dan pelana unik
logo timbul 3D pada reraup sisi
Sementara model GSX-8TT pula membawakan sentuhan rekaan motosikal lumba jalanan Suzuki dari era 70-an dan 80-an seperti GS750 dan GS1000 dengan ciri seperti:
perumah lampu hadapan
pelindung enjin (under cowl)
fork berwarna hitam
hiasan jalur sisi
Secara standard, kedua-dua model hadir dengan ciri berikut:
fork teleskopik jenis terbalik/penyerap hentak tunggal belakang
brek cakera berkembar depan/cakera tunggal belakang
skrin paparan TFT lima inci
sistem pendikit Ride-by-Wire
penukaran gear pantas dua arah
ABS dua saluran
Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S)
tangki bahan api 16.5 liter
tinggi pelana 815 mm
Harga jualan bermula dari RM59,600 untuk model GSX-8T, dan dari RM63,600 untuk model GSX-8TT.
Shell Malaysia melancarkan minyak pelincir motosikal premium Shell Advance Ultra 10W-50 bersempena 26 tahun kerjasama teknikalnya dengan Ducati Corse di MotoGP Malaysia 2025, baru-baru ini.
Pelincir baharu ini diformulasikan dengan teknologi Shell PurePlus, proses revolusionari yang menukar gas asli kepada minyak asas jernih dengan ketulenan sehingga 99.5 peratus.
Ia direka untuk menawarkan kuasa, prestasi dan perlindungan yang diperlukan selain memenuhi piawaian API SP yang terkini.
Dalam satu ujian rawak, Shell Advance Ultra ini turut diuji dengan sebuah lagi pelincir berasaskan ester.
Kebanyakan penunggang yang mengambil bahagian memilih Shell Advance kerana prestasinya yang terbukti dengan pecutan, penukaran gear dan bunyi enjin yang lebih baik.
Selain itu, Shell Advance Ultra mengekalkan kuasa kuda merentas julat kelajuan yang meluas sehingga 20,000 km, memberikan prestasi yang tahan lama, enjin lebih 90 peratus lebih bersih dan tahap kecekapan bahan api yang lebih baik (5 km lebih jauh per liter).
Shell Advance juga merupakan satu-satunya minyak pelincir motosikal yang digunakan dan disyorkan oleh Ducati Corse.
Kerjasama jangka panjang Shell dan Ducati membolehkan Ducati Corse meraih tiga gelaran bersejarah dengan memenangi Kejohanan Dunia Pasukan, Pengeluar dan Pelumba MotoGP bersama Marc Marquez.
Pelancaran Shell Advance Ultra turut menandakan bermulanya kempen #CrazyGoodOil Shell Advance di Malaysia yang akan menampilkan pelumba Ducati Corse Marc Marquez dan Francesco Bagnaia.
Selain minyak premium 10W-50, rangkaian produk Shell Advance merangkumi produk premium lain seperti:
Advance Power 15W-50
Advance Long Ride 10W-40
siri semi-sintetik AX7 10W-40 dan 15W-50
Menurut Darlina Mohd Sibi, Pengurus Besar Kluster Shell Lubricants MY/SG dan Asia Tenggara berkata, “Shell Advance, jenama minyak motosikal nombor satu di Malaysia terus meningkatkan kerjasama teknikal dengan Ducati Corse membawakan inovasi kelas dunia daripada litar MotoGP terus kepada penunggang di Malaysia.
“Produk utama kami Shell Advance Ultra dibangunkan bersama Ducati dan diuji di bawah keadaan ekstrem untuk menawarkan kuasa, perlindungan dan prestasi di jalan raya dan litar yang tiada tandingan,” ujarnya lagi.
Mforce Bike Holdings menerusi CFMoto Malaysia mengumumkan model terbaharu CFMoto 250SR Lite sudah pun mendarat di pasaran Malaysia.
Jentera tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair DOHC menghasilkan 27.5 hp @ 9,750 rpm dan daya kilas 22 Nm pada 7,250 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan yang dibantu dengan klac slipper untuk penukaran gear yang lebih lancar.
Dari segi pengendalian, 250SR Lite ini dilengkapi dengan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.
Brek pula terdiri daripada angkup dua omboh dan rotor tunggal 292 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 220 mm di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua-saluran.
Ciri yang dibawakan termasuklah unit pencahayaan LED sepenuhnya, panel skrin LCD, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, rim 17 inci, serta ekzos gaya sporti.
Tangki bahan api adalah sebesar 12 liter sementara tinggi pelana pula 780 mm.
Untuk pasaran Malaysia, CFMoto 250SR Lite ditawarkan dengan tiga warna iaitu Nebula Black, Gem Black dan Zephyr Blue.
Harga jualan bermula dari RM9,988 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
MODENAS hari ini secara rasmi melancarkan model supermoped yang ditunggu-tunggu ramai – MODENAS Z15GT 2025 untuk pasaran Malaysia.
Ia mendapat enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.5 cc yang mampu menjana kuasa 16.8 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 13.5 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan.
Z15GT membawakan ukuran sepanjang 1,980 mm, lebar 670 mm, tinggi 1,100 mm dengan jarak antara roda 1,315 mm dan berat sekitar 128 kg.
Kapasiti tangki bahan api pula sebesar 5.7 liter, sementara tinggi pelana pula 780 mm.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang.
Cuma sayang sekali, ia hanya hadir dengan bantuan ABS saluran tunggal.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:
sistem pencahayaan LED depan dan belakang termasuk DRL dan lampu membelok
lampu kecemasan
sistem kunci pintar
panel meter instrumen LCD
soket pengecasan jenis USB Type-A
Untuk info, MODENAS Z15GT menampilkan DNA Kawasaki dalam rekaannya, terutama elemen Sugomi daripada model Z yang boleh dilihat pada lampu depan serta lampu belakang.
Selain itu, motif ikan arowana juga turut mempengaruhi rekaan Z15GT yang agresif dan aerodinamik, dan dalam masa yang sama mempunyai personaliti yang tersendiri.
Terdapat tiga warna pilihan iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan juga Rosso Red.
Untuk pasaran Malaysia, MODENAS Z15GT 2025 dijual pada harga bermula dari RM8,288.
AirAsia Ride merupakan platform e-hailing pertama di Malaysia yang mengintegrasikan teknologi salutan kaca hadapan hidrofobik pada barisan kenderaannya.
Kerjasama dengan IGL Coatings ini dapat memberikan manfaat kepada lebih 400 pemandu AirAsia Ride di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Dalam program perintis yang dijalankan, seramai 120 orang pemandu AirAsia Ride menjadi kumpulan pertama yang mendapat salutan kaca hadapan hidrofobik IGL yang baru dilancarkan.
Selain itu, baki 300 kit IGL Window DIY akan diedarkan kepada pemandu, pelanggan dan pengguna AirAsia Ride di seluruh Malaysia.
Teknologi salutan berasaskan grafena daripada IGL ini dapat meningkatkan tahap kejelasan kaca semasa hujan lebat dan pemanduan malam.
Hasilnya, ia membolehkan pemandu mengekalkan penglihatan dan kawalan yang lebih baik, mengurangkan keletihan sekaligus menyumbang kepada perjalanan yang lebih selesa kepada penumpang.
Menurut Ramanathan A.M.N Tiagarajan selaku Ketua Pegawai Kewangan AirAsia MOVE berkata, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperkasa komuniti pemandu dan menyediakan pengalaman perjalanan terbaik kepada penumpang.
Keong Chun Chieh, Pengasas IGL Coatings berkata, “Dari melindungi kereta dan permukaan, hingga kini melindungi pengguna jalan raya, perkongsian ini adalah langkah bermakna ke arah jalan raya yang lebih selamat dan rasa prihatin yang lebih kuat terhadap mereka yang memandu untuk memajukan bandar kita.”
Aeson Power baru-baru ini memperkenalkan siri bateri automotif Sodium-ion (Natrium-ion) untuk pasaran Malaysia.
Berbanding bateri jenis asid plumbum yang tradisional, bateri Sodium-ion menawarkan penyelesaian tenaga yang lebih selamat, tahan lama, serta mampu menjadi alternatif yang lebih cekap.
Bateri terbaharu ini serasi dengan lebih 95 peratus kenderaan di pasaran termasuklah kereta persendirian, komersial, industri dan utiliti.
Ia turut direka supaya dapat bertahan dalam keadaan iklim tropika Malaysia yang panas dan lembap, selain mengurangkan risiko kebakaran dan letupan dengan ketara.
Selain boleh beroperasi dengan stabil dalam jangka panjang pada suhu sehingga 80 darjah Celcius, bateri Sodium-ion ini juga mampu mengekalkan kapasiti melebihi 85 peratus walaupun selepas sebulan disimpan pada suhu 60 darjah Celcius.
Dengan teknologi bahan katod polianion, bateri Sodium-ion Aeson Power menawarkan kelebihan lain termasuklah:
reka bentuk ringan
keupayaan pengecasan pantas (0-100 peratus dalam 40 minit)
kuasa permulaan dua hingga tiga kali lebih hebat
jangka hayat kitaran tiga kali lebih lama sehingga 3,000 kitaran
julat voltan operasi dari 6-14V membolehkan enjin dihidupkan walaupun pada 10.5V
tahan terhadap nyahcas berlebihan dan pulih segera selepas dinyahcas sepenuhnya
Terdapat tiga jenis bateri Sodium-ion yang ditawarkan iaitu:
NaPulse Starting
NaPulse Start-Stop
NaForce Start-Stop
Ketiga-tiga bateri tersebut sudah boleh didapati di pasaran Malaysia pada harga serendah RM369, lengkap dengan jaminan selama tiga tahun.
Menurut Jin Chan selaku Pengarah Urusan Aeson Power, “Pelancaran hari ini merupakan satu pencapaian penting bagi Aeson Power, dan kami berbangga memperkenakan bateri automotif Sodium-ion kepada pasaran Malaysia yang dinamik.
“Produk ini membuktikan komitmen kami untuk menawarkan penyelesaian canggih yang bukan sahaja meningkatkan prestasi automotif, tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.
WMoto Malaysia baru-baru ini melancarkan model cruiser terbaharu WMoto Bobbie 450S 2025 bersempena pembukaan Mforce Best Shop yang terletak di Johor Bahru.
Cruiser ini dikuasakan oleh enjin dua silinder DOHC 449 cc sejukan cecair menghasilkan 49.6 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 39 Nm @ 7,600 rpm.
Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta sistem pacuan akhir jenis rantai.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik bersudut 29 darjah di hadapan diikuti penyerap hentak berkembar boleh laras di bahagian belakang, masing-masin gmnawarkan jarak pergerakan roda 130 mm dan 100 mm.
Sistem brek pula menggunakan unit rotor bersaiz 320 mm dan 256 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit pencahayaan LED termasuklah lampu nyalaan siang (DRL), paparan meter LED digital, port pengecasan USB Type-A, peredam ekzos berkembar, peredam stereng serta brek parkir.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 15 liter sementara tinggi pelana 650 mm.
Terdapat tiga warna pilihan iaitu Ground Sand Ash, Gulf Custom dan Matte Black. Harga jualan pula bermula dari RM19,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Boon Siew Honda melancarkan model kapcai RS-X Winner dengan liveri ikonik Honda Tricolor untuk pasaran tempatan bersempena acara Honda Thanks Day baru-baru ini.
Terhad kepada 800 unit sahaja, RS-X Winner Tricolor Edition hadir dengan aksesori RCB seperti berikut:
RCB Brake Caliper S-26 Series (30th Anniversary Edition)
RCB Handle Grip Nagamaki
RCB Lever Guard
Setiap pembelian model edisi terhad ini didatangkan dengan jaminan pengeluar dua-tahun atau had perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), serta jaminan tambahan satu tahun tanpa had perbatuan di bawah kempen Honda X-tend.
Spesifikasi asas masih lagi sama, di mana ia kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.2 cc menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.6 Nm @ 7,000 rpm.
Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan yang dibantu dengan klac Assist & Slipper.
RS-X Winner menggunakan tetapan fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan sistem cakera hidraulik yang dibantu dengan ABS saluran tunggal.
Tangki bahan api adalah sebesar 4.5 liter sementara tinggi pelana pula 795 mm.
Harga jualan bermula dari RM10,298 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
BSH turut menawarkan warna-warna standard seperti Green, Matte Gray dan Blue dengan harga jualan bermula dari RM9,998, atau warna istimewa Yellow dengan harga jualan RM10,298.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasmi melancarkan jentera 250 cc Yamaha YZF-R25 2025 yang telah dipertingkatkan.
Perubahan besar yang dibawakan pada versi facelift ini sudah pasti rupa paras dengan muka depan yang diinspirasikan daripada model R yang lebih besar, lampu depan yang lebih tajam serta lampu belakang baharu.
Seperkara lagi, skrin paparan LCD kini dilengkapi dengan sambungan kepada aplikasi peranti pintar Y-Connect.
Dari segi kuasa, R25 menggunakan enjin 249.5 cc yang mampu menjana kuasa 35.4 hp @ 12,000 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 10,000 rpm dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta klac assist/slipper.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.
Sistem brek pula menggunakan angkup dua omboh di depan dan angkup omboh tunggal di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran secara standard.
Kapasiti tangki bahan api sebesar 14 liter sementara tinggi pelana pula 780 mm.
Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua pilihan warna iaitu Pearl Blue dan Racing Blue, dengan harga jualan bermula dari RM23,098.
Proton New Energy Technology (Pro-Net) mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV elektrik smart #5 2025 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Rakyat Malaysia yang berminat boleh menempah smart #5 menerusi aplikasi Hello smart, serta laman web rasmi smart Malaysia dengan yuran tempahan sebanyak RM2,000.
Terdapat dua varian ditawarkan, iaitu Premium dan Brabus.
smart #5 Premium hadir dengan motor elektrik pacuan roda belakang 358 hp/373 Nm dengan keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat.
Sementara smart #5 Brabus pula hadir dengan tetapan dua motor elektrik 637 hp/710 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.8 saat.
Pek bateri NMC 100 kWh pula membolehkan SUV ini bergerak sejauh 590 km (data WLTP) untuk sekali cas penuh, atau sehingga 540 km untuk varian Brabus.
Dengan senibina elektrik 800V, smart #5 menyokong pengecasan AC 22 kW, serta pengecasan pantas DC 400 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus SoC dalam masa 15 minit.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
ruang kargo sebesar 1,530 liter serta ruang frunk 72 liter
skrin paparan OLED berkembar 13 inci
skrin paparan head-up realiti terimbuh 25.6 inci
sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
sistem audio Sennheiser dengan 20 pembesar suara dan teknologi Dolby Atmos
upholsteri kulit Nappa
kemasan kayu oak
bumbung kaca panorama sebesar 1.7 meter persegi
peti pendingin terbina dalam ruang simpanan konsol tengah
Varian Brabus pula mendapat ciri tambahan seperti Launch Mode, kemasan upholsteri mikrofiber Dinamica, angkup brek merah, rim Brabus Monoblock Z 21 inci serta talan suspensi sport.
smart #5 menawarkan ciri keselamatan seperti kamera 360 darjah, serta Smart Pilot Assist termasuk Highway Pilot Assist (HWA) dengan fungsi Stop & Go yang menawarkan pemanduan separa automatik di lebuh raya.
Mforce Bike Holdings menerusi Voge Malaysia melancarkan skuter 250 cc terbaharu Voge SR3 untuk pasaran tempatan.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 244.3 cc SOHC sejukan cecair menghasilkan kuasa maksimum 26 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 6,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT berserta sistem pacuan akhir jenis V-belt.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik yang menawarkan jarak pergerakan roda depan 103 mm, diikuti penyerap hentak berkembar dengan jarak pergerakan roda belakang 130 mm.
Brek pula menggunakan sistem cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan fungsi brek parkir tersedia.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah sistem kunci pintar dengan sandaran kunci mekanikal, sistem pencahayaan LED penuh, skrin penghadang angin boleh laras, fungsi pemanas hendal, serta port pengecasan USB Type-A.
Skrin paparan TFT tujuh inci turut menyediakan fungsi sambungan Bluetooth untuk notifikasi panggilan masuk dan kawalan suara.
Ciri keselamatan tambahan termasuklah sistem kawalan cengkaman (TCS) yang boleh diubah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera perakam tunggangan hadapan, serta suis keselamatan topang sisi.
Voge SR3 2025 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu putih, perak dan kelabu, dengan harga jualan dari RM15,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Satu lagi sub-jenama Chery, iaitu Lepas akan diperkenalkan secara rasmi di pasaran Malaysia pada separuh pertama 2026.
Perkara tersebut diumumkan oleh pihak Chery Corporate Malaysia ketika acara Chery International User Summit 2025 yang berlangsung baru-baru ini di ibu pejabat Chery yang terletak di Wuhu, China.
Pengenalan jenama baharu ini merupakan sebahagian daripada strategi berbilang jenama yang direka untuk memenuhi spektrum penuh pengguna di Malaysia.
Untuk makluman, Lepas merupakan gabungan bagi perkataan “Leap” dan “Passion”.
Sub-jenama premium baharu itu diumumkan secara rasmi semasa acara pameran Auto Shanghai 2025 berlangsung April lepas sebagai sebuah jenama global yang membawakan rekaan tersendiri.
Selain Lepas, terdapat beberapa sub-jenama Chery yang sudah pun bertapak di Malaysia seperti Omoda | Jaecoo dan iCaur, serta jenama Jetour yang dikendalikan oleh entiti yang berbeza.
Bersempena dengan pembukaan Mforce Best Shop Johor Bahru, WMoto Malaysia melancarkan skuter terbaharu Nexy+180 2025.
Skuter ini dijana dengan enjin silinder tunggal 174 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 18.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 17.2 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear CVT.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik hadapan dengan jarak pergerakan roda 103 mm, diikuti penyerap hentak berkembar dengan jarak pergerakan roda 130 mm.
Brek pula menggunakan angkup empat omboh dengan rotor tunggal 260 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor 220 mm.
Ciri keselamatan termasuklah sistem brek ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), suis keselamatan topang sisi, serta kamera perakam tunggangan di hadapan.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit pencahayaan LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL), skrin penghadang angin, skrin paparan TFT 6-inci, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, ruang simpanan dengan penutup magnetik, serta rak barangan di belakang.
WMoto Nexy+180 turut menyokong Bluetooth untuk membolehkan pengguna membuat sambungan kepada aplikasi pihak ketiga seperti Carbit Ride dan Roadcam.
Terdapat empat warna menarik iaitu Magic Blue, Mildnight Black, Nardo Grey, dan Xtreme White.
Harga jualan pula bermula dari RM8,988 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Tidak dapat dinafikan, pengeluar automotif China kini agresif menawarkan pakej kenderaan elektrik pada harga yang lebih kompetitif.
Namun, selain daripada pakej harga yang lebih mampu milik, aspek keselamatan juga harus dititikberatkan.
Di Eropah, sebuah hatchback elektrik saiz kecil Dongfeng Nammi Box sekadar meraih skor tiga bintang daripada markah penuh lima bintang dalam ujian pelanggaran Euro NCAP.
Dalam ujian terbaharu yang dijalankan tersebut, pihak Euro NCAP mendapati EV tersebut mempunyai kegagalan pada beberapa titik kimpalan yang boleh meningkatkan risiko perubahan bentuk (deformation) kabin dan menjejaskan perlindungan terhadap penumpang.
Masalah tersebut dikesan ketika ujian pelanggaran pertindihan separa dibuat, di mana Dongfeng Box yang bergerak pada kelajuan 50 km/j bertembung dengan penghalang boleh berubah bentuk seberat 1,400 kg yang juga bergerak pada kelajuan 50 km/j.
Selain struktur badan yang tidak stabil, Dongfeng Box juga mempunyai masalah seperti mekanisme penguncian yang gagal dibuka selepas impak, tekanan beg udara stereng yang tidak mencukupi untuk melindungi kepala pemandu, serta struktur papan pemuka yang boleh menyebabkan kecederaan pada kaki penumpang hadapan.
Box juga dilapor gagal untuk mengurangkan impak penumpang-kepada-penumpang di baris hadapan sekiranya berlaku pelanggaran impak sisi.
Disebabkan itu, Dongfeng Box hanya sekadar mencatatkan skor 69 peratus dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa dan 67 peratus untuk kategori Perlindungan Terhadap Pengguna Jalan Raya.
Menurut Euro NCAP, saiz kenderaan bukanlah isu utama, memandangkan terdapat beberapa EV saiz kecil yang telah diuji sebelum ini berjaya meraih skor empat atau lima bintang.
“Terdapat beberapa EV mampu milik seperti BYD Dolphin Surf, firefly, MINI Cooper e, Lynk & Co 02, serta Renault 4 dan Renault 5 yang mencatatkan skor empat atau lima bintang, dan ini menyerlahkan lagi jurang keselamatan antara EV tersebut dengan Dongfeng Box.”
“Kegagalan ini perlu ditangani supaya ia padan dengan model pesaing di dalam pasaran EV yang pesat berkembang,” jelas Euro NCAP dalam satu kenyataan.
Menjelang Japan Mobility Show 2025, Toyota mendedahkan sebuah lagi model baharu sebagai pelengkap kepada keluarga Land Cruiser sedia ada, dinamakan sebagai Land Cruiser FJ.
Dengan saiz yang lebih kompak, Land Cruiser FJ diposisikan sebagai sebuah LC aras mula tanpa mengorbankan aspek ketahanan, kebolehpercayaan dan prestasi pemanduan off-road.
Land Cruiser FJ 2026 ini akan dipamerkan di reruai Toyota di Japan Mobility Show 2025 yang akan berlangsung pada 30 Oktober ini.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Land Cruiser FJ 2026:
1. Kongsi plaform Hilux
Tidak seperti Land Cruiser 300 Series dan 250 Series yang dibina berdasarkan platform TNGA-F, Land Cruiser FJ pula menggunakan platform IMV.
Ini bermakna, FJ merupakan adik-beradik kepada model seperti Hilux, Fortuner dan dua generasi terawal Innova.
Biarpun menggunakan pelantar yang agak berusia, Toyota tetap melengkapkan FJ ini dengan pendakap tambahan bawah lantai serta badan yang lebih tegar untuk memastikan pengendalian yang lebih stabil.
2. Dimensi
Land Cruiser FJ berukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,580 mm – jauh lebih kecil berbanding Land Cruiser 300 Series dan 250 Series.
Jika diletakkan bersebelahan dengan Corolla Cross, FJ mempunyai kelebihan 114 mm dari segi panjang, namun jarak antara roda 58 mm lebih pendek.
3. Luaran
Reka bentuk Land Cruiser FJ berpetak itu banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Land Cruiser 250 Series.
Seperti contoh, FJ boleh didapati dengan dua rekaan muka hadapan yang berbeza, satu daripadanya menampilkan DRL berbentuk C dan sebuah lagi menggunakan DRL berbentuk bulat.
Kehadiran tayar simpanan saiz penuh yang tergantung di belakang menambahkan lagi imej lasak FJ.
Menurut Toyota, model ini turut hadir dengan sudut bampar depan dan belakang yang mudah untuk digantikan, selain boleh dimuatkan dengan bermacam-macam aksesori.
Antaranya ialah Land Hopper, sebuah kenderaan mobiliti peribadi berkuasa elektrik dengan tetapan tiga roda, dengan rekaan yang boleh dilipat dan disimpan di dalam ruang kargo.
4. Ruang kabin
Ruang kabin FJ ini masih lagi menampilkan gugusan butang kawalan fizikal yang besar dan mudah untuk dicapai.
Selain skrin infohibur di tengah, terdapat juga skrin kluster digital disediakan untuk memudahkan urusan pemandu.
Di bahagian konsol tengah terdapat tombol gear fizikal yang lengkap dengan tuil brek tangan serta dial rotari yang khusus untuk pemanduan off-road.
5. Enjin
Land Cruiser FJ dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2TR-FE 2.7 liter menghasilkan kuasa 163 PS dan daya kilas 246 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan empat roda separuh masa 4WD menerusi transmisi automatik Super ECT 6 nisbah kelajuan.
Dalam pada itu, Toyota tidak merancang untuk memasarkan ‘baby’ Land Cruiser ini untuk pasaran seperti Amerika dan Eropah.
Sebaliknya, Toyota akan memfokuskan Land Cruiser FJ ini untuk pasaran seperti Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin dan juga Timur Tengah.
SUV off-road ini akan dipasang di kilang Toyota yang terletak di Thailand.